Kenyataan media Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama, pada hari Rabu 25 Jun 2014.
Terlalu sedikit dilakukan Putrajaya dalam memerangi pemerdagangan orang di Malaysia bagi mencegah penurunan taraf dalam laporan Pemerdagangan Orang (TIP).
Jumaat lalu Jabatan Dalam Negeri (State Department) Amerika Syarikat menurunkan taraf Malaysia, bersama-sama Thailand dan Venezuela kepada tahap terendah dalam laporan pemerdangan orang (TIP), menjadikan Malaysia salah satu pusat pemerdangan orang terburuk. Ini berikutan pihak mereka menyedari bahawa kerajaan Malaysia tidak menampakkan sebarang usaha untuk menepati standard minima bagi membanteras pemerdagangan.
Penurunan taraf sedemikian amat memalukan kita lantaran dihumban ke kategori yang serupa dengan beberapa rejim yang paling tidak berfungsi dan menindas termasuk Iran, Syria, Zimbabwe dan Korea Utara. Penurunan taraf tersebut mungkin juga membuka ruang kepada negara untuk dikenakan sekatan-sekatan Amerika Syarikat.
Pada hari Isnin Kementerian Luar Negeri mengeluarkan kenyataan menggesa pihak State Department Amerika untuk mempertimbangkan semula penilaiannya, dan berhujah bahawa maklumat yang digunakan untuk menyediakan laporan tersebut adalah salah, tidak tepat dan tidak mencerminkan langkah-langkah yang diambil oleh negara untuk membanteras pemerdagangan orang.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Negeri menyenaraikan beberapa usaha yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia untuk memerangi pemerdagangan orang termasuklah satu dasar baru yang mula dikuatkuasakan 1 Mac 2014, membenarkan mangsa pemerdagangan orang untuk bekerja dan tinggal di Malaysia; pelancaran prosedur operasi standard untuk agensi penguatkuasaan pada November 2013; dan satu projek baru yang siap diatur pada Mac 2014 untuk mendirikan rumah jagaan bersama pihak NGO bagi para mangsa pemerdagangan orang.
Pun begitu, kami percaya bahawa usaha sedemikian adalah terlalu kecil dan terlalu lewat. Kami ingin mengingatkan Putrajaya bahawa Malaysia telah berada dalam pemerhatian di di tahap 2 selama 4 tahun dan diberi kelonggaran selama dua tahun berturut-turut sebelum penurunan taraf tersebut.
Oleh yang demikian, pada masa akan datang, daripada sekadar menafikan laporan, kerajaan mestilah menerima komen dan cadangan dalam laporan TIP tersebut. Jika mereka merasakan maklumat yang diterima pihak State Department adalah salah, maka mereka seharusnya berusaha untuk berkomunikasi dengan pihak State Department.
Satu usaha yang masuk akal yang ingin kami gariskan kepada kerajaan ialah kerjasamanya dengan NGO, di bahagian ini dalam laporan TIP tersebut:
“Ngo - dengan tiada sebarang bantuan dana daripada kerajaan - menyediakan khidmat pemulihan dan kaunseling untuk majoriti mangsa. Pada suatu-suatu masa, kerajaan memberikan akses kepada NGO untuk menemui mangsa di fasiliti kerajaan, namun ia menghalang beberapa organisasi yang memberi bantuan kepada mangsa daripada mendapat izin masuk ke rumah jagaan bagi memberikan khidmat”
Oleh yang demikian, kami berharap kerajaan akan menambahkan pendanaan kepada NGO anti pemerdagangan orang yang telah mempunyai rekod kerja yang terbukti. Tambahan kepada itu, kerajaan juga wajar menggunakan kepakaran dan pengalaman pihak NGO di fasiliti kerajaan. Daripada bergantung sepenuhnya kepada kakitangan sendiri di fasilitnya, kerajaan sewajarnya mempertimbangkan untuk bekerja dengan rapat bersama NGO yang sudah pun mempunyai pengalaman dalam usaha sebegini.
Akhirnya, kami berharap kerajaan akan lebih mendesak dalam usahanya terhadap pemerdangan orang. Kerajaan mesti mempunyai perancangan yang sistematik dan strategik dengan garis masa yang jelas untuk memperbaiki status negara sekurang-kurangnya kembali ke tahap 2 dalam laporan TIP tahun hadapan. Ini boleh dijadikan KPI untuk mengukur keberkesanan negara dalam menangani pemerdagangan orang.
Akhir sekali, kami ingin menegaskan bahawa aspek paling penting dalam memerangi pemerdagangan orang bukanlah kedudukan dalam laporan TIP, tetapi kehidupan dan maruah manusia. Orang yang diperdagang mungkin datang dari negara asing, tetapi mereka tidak sepatutnya dilayan dengan buruk dan dirompak keperluan asas dan maruah mereka di negara kita.
Malaysia mesti bangkit dan menjadi anggota yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa.
Yeo Bee Yin