BELANJAWAN 2017 NEGERI SELANGOR MEMBANGUN BANGSA, MEMAKMUR NEGERI
A. PENDAHULUAN
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
1. Kita menutup tirai 2016 dengan pelbagai
kegembiraan untuk rakyat dan negeri. Pada 31 Ogos 2016, tatkala negara
menyambut Hari Kemerdekaan, rakyat Selangor bergembira mendapat berita bahawa
DYMM Sultan Selangor selamat diijabkabulkan dengan Tengku Permaisuri Selangor,
Tengku Permaisuri Norashikin. Marilah kita mendoakan semoga Duli-Duli Yang Maha
Mulia Tuanku akan kekal bahagia dan terus bersemayam di atas takhta Negeri
Selangor.
2. Dua minggu yang lalu, rakyat Negeri
Selangor sekali lagi meraikan Istiadat Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran
Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris
Shah Alhaj sebagai Raja Muda Selangor ke 7 yang mewarisi Takhta Kesultanan
Selangor. Majlis yang penuh dengan istiadat dan warisan ini menjadi tumpuan
generasi muda tentang kelangsungan institusi kesultanan Melayu Negeri Selangor.
3. Kerajaan Negeri berikrar mempertahankan
institusi Raja Berperlembagaan. Selagi ada bulan dan matahari, begitulah
kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.
4. Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar
bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai. Raja dan rakyat
berpisah tiada. Institusi Raja Berperlembagaan adalah payung kestabilan dan
kemakmuran Negeri Selangor untuk kekal sebagai sebuah negeri maju yang peduli
rakyat.
5. Di bawah naungan ini, kita bertemu sekali
lagi untuk membuat persiapan menghadapi tahun hadapan. Pertemuan pagi ini turut
dihadiri oleh Imam-Imam dari semua daerah, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung,
Ahli-Ahli Majlis, wakil-wakil NGO yang mewakili budayawan dan penggiat seni,
Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan aktivis masyarakat.
Muafakat membawa berkat.
6. Kita akan membentangkan belanjawan dalam
serba keyakinan. Kita telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Pada 30 Oktober
2015 yang lalu, saya membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM 630 juta
untuk menjana pembangunan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Kita
bersyukur sehingga 14 Oktober 2016 kedudukan kewangan negeri berada pada tahap
lebihan sebanyak RM 351.38 juta.
7. Kutipan hasil negeri sudah mencecah 96.9
peratus, sementara belanja pembangunan sudah mencapai tahap 60.0 peratus
manakala belanja mengurus pula pada tahap 77.1 peratus. Sehingga 14 Oktober
2016, rizab negeri berada pada tahap RM 3.62 bilion.
8. Kejayaan hari ini bukan helah untuk
mengambil sikap selesa. Berkat kewangan yang kukuh, kita merangka Belanjawan
2017 untuk membangun bangsa dan memakmur negeri. Dasar mesra pasaran telah
meningkatkan pelaburan domestik dan luar negara.
9. Pelabur mahukan kepimpinan yang mempunyai
visi yang jelas, dasar yang tuntas dan berpegang kepada prinsip integriti dan
kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negeri.
10. Sementara Kerajaan Negeri bersikap mesra
pasaran, kita tidak percaya tangan ghaib pasaran boleh membawa kemakmuran yang
merata. Bahkan pasaran bebas yang tidak terkawal akan menyebabkan kesenjangan
pendapatan dan peminggiran golongan berpendapatan rendah. Fenomena ini akan
menyemai benih konflik sosial. Maka, kerajaan mempunyai peranan strategik untuk
mencapai keadilan sosial sebagai asas pembangunan bangsa dan kemakmuran negeri.
11. Pelaksanaan GST telah menguncupkan
pendapatan isi rumah dan menyumbang kepada ketidakupayaan melebarkan domestic
consumption.
12. Sebagai sebuah Kerajaan yang peduli
rakyat, Belanjawan 2017 akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk
meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kalangan kumpulan isi
rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
B. SENARIO EKONOMI
13. Malaysia mengakhiri tahun 2015 dengan
merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus didorong oleh prestasi positif
dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan. Keadaan ekonomi negara pada
suku tahun pertama pula telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus namun
mengalami penurunan kepada 4.0 peratus pada suku tahun kedua kesan dari
kemerosotan permintaan dalam pengeluaran eksport bersih dan pengeluaran stok
yang besar.
14. Pertumbuhan ekonomi negara bagi
keseluruhan tahun 2016 pula dijangka mengalami penurunan dengan kadar
pertumbuhan yang diunjurkan pada 4.0 – 4.5 peratus, bukan sahaja ekoran ekonomi
dunia yang berkembang pada paras lebih sederhana kesan daripada ketidaktentuan
pasaran kewangan di peringkat global tetapi kegagalan Putrajaya menangani
masalah struktural seperti hutang awam, keyakinan pelabur dan daya saing
ekonomi negara.
15. Walaupun Putrajaya gagal menangani isu
fundamental, prestasi ekonomi Negeri Selangor bagi 2017 dijangka kekal pada
landasan pertumbuhan antara 5.0 – 5.5 peratus iaitu pada kadar yang sama
sebagaimana tahun 2016.
16. Keyakinan ini didorong oleh jangkaan
pertumbuhan sederhana di peringkat global, asas ekonomi negeri yang kukuh
melalui permintaan domestik yang berdaya tahan dan berterusan, sumber
pertumbuhan yang pelbagai dan kadar pengangguran yang rendah, dipacu oleh
perbelanjaan sektor swasta. Sektor perkhidmatan dan pembuatan dijangka akan
terus kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor.
17. Kerajaan Negeri senantiasa berusaha
untuk mengekalkan pelaburan sedia ada dan tuntas meningkatkan jumlah pelaburan
asing dan domestik di Negeri Selangor. Berdasarkan statistik terbaharu daripada
Malaysia Investment Development Authority (MIDA), Negeri Selangor sehingga Jun
2016 mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 3.04 bilion daripada 130 projek
yang telah diluluskan.
18. Antara daya tarikan untuk mengekalkan
Selangor sebagai destinasi pelaburan adalah tadbir urus yang baik, kecekapan
pentadbiran dan dasar ekonomi proaktif yang mesra pasaran.
19. Jabatan Perangkaan Negara dalam laporan
bertarikh 30 September 2016 mengesahkan bahawa Negeri Selangor bukan sahaja
kekal sebagai penyumbang utama kepada KDNK negara, namun bagi tahun 2015,
sumbangan Negeri Selangor telah meningkat kepada 22.6 peratus. Inilah Selangor,
kekal sebagai gedung kuasa ekonomi negara.
C. PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Kedudukan Kewangan
20. Jumlah wang awam Kerajaan Negeri
Selangor yang terdiri dari wang tunai dan pelaburan yang dipegang bagi
ketiga-tiga Kumpulan Wang Disatukan iaitu Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah
Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan pada 31 Disember 2015 adalah berjumlah
Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua Ratus Lima Puluh Lapan Juta Enam Ratus Sepuluh
Ribu Dan Empat (RM 3,258,610,004) berbanding Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua
Ratus Juta Sembilan Ratus Sebelas Ribu Sembilan Ratus Sebelas (RM
3,200,911,911) pada 31 Disember 2014.
21. Kumpulan Wang Disatukan atau rizab
negeri pada tahun 2015 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus atau
RM 57.7 juta berbanding tahun 2014. Prestasi kewangan semasa Kerajaan Negeri
pada 14 Oktober 2016 kekal kukuh dengan lebihan semasa berjumlah RM 351.38
juta.
22. Alhamdulillah, kita bersyukur, rizab
negeri sehingga 14 Oktober 2016 telah melonjak kepada RM 3.62 bilion berbanding
RM 3.26 bilion pada 31 Disember 2015.
D. BELANJAWAN 2017
Anggaran Hasil
23. Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun
2015 adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion Lima Ratus Dua Puluh Tujuh Juta Enam
Ratus Sembilan Puluh Ribu Lapan Ratus Tiga Puluh Sembilan (RM2,527,690,839).
Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM 607.16 juta, Hasil Bukan Cukai
sebanyak RM 1.70 bilion dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 218.43 juta.
24. Sehingga 28 Oktober 2016, Kerajaan
Negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM 2.27 bilion atau pencapaian
sebanyak 101.2 peratus berbanding dengan anggaran hasil bagi tahun 2016
sebanyak RM 2.25 bilion.
25. Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak
RM 556.64 juta (92.8 peratus), Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 1.54 bilion (109.3
peratus) dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 182.18 juta (74.6 peratus). Ini
membuktikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjaya menutup segenap lubang
ketirisan dan memperteguh integriti.
26. Kutipan hasil bagi tahun 2017
dianggarkan meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM 2.55 bilion berbanding RM
2.25 bilion bagi tahun 2016. Penyumbang utama kepada Hasil Kerajaan Negeri
adalah daripada premium tanah (54.2 peratus), hasil cukai tanah (19.5 peratus)
dan urusniaga berkaitan tanah (8.0 peratus). Kutipan hasil tersebut menyumbang
sebanyak 81.7 peratus daripada keseluruhan anggaran hasil negeri bagi Tahun
2017.
27. Selain itu, hasil negeri turut
disumbangkan oleh keuntungan daripada pelaburan simpanan tetap (3.2 peratus),
cukai hiburan (2.2 peratus) dan cukai hasil hutan iaitu daripada pengeluaran
kuari (1.9 peratus).
28. Usaha Kerajaan Negeri untuk
mempelbagaikan sumber pendapatan negeri bagi membiayai pembangunan akan
terlaksana apabila pelaksanaan kutipan cukai petak untuk hakmilik strata mula
dilaksanakan pada tahun 2018.
29. Pada tahun 2017 iaitu tempoh peralihan
pelaksanaan cukai petak ini, Kerajaan Negeri akan menyelesaikan masalah kutipan
cukai tanah tertunggak yang melibatkan pembangunan berstrata yang dijangka
berjumlah RM 8 juta yang mana tuan punya petak boleh membayar cukai bahagian
mereka sahaja. Ini akan menyumbang kepada peningkatan urusniaga dan bukan
urusniaga strata yang dijangka meningkat kepada 30 peratus daripada jumlah
kutipan semasa.
30. Pengenalan cukai petak bagi pembangunan
hakmilik berstrata akan memberi kemudahan kepada pemilik untuk melaksanakan
sebarang urusniaga ke atas hartanah mereka tanpa perlu terikat dengan
syarat-syarat yang tertakluk pada ‘master title’ selari dengan Akta Hakmilik
Strata (Pindaan) 2016.
31. Usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri
adalah sebahagian daripada peranan DEIG bagi memperkukuhkan agenda keadilan
sosial khususnya program berpaksikan rakyat seperti perumahan, kesihatan dan
pendidikan. Untuk menjayakannya, adalah penting syarikat-syarikat anak kerajaan
negeri (GLC) melakukan kajian strategik terhadap semua kegiatan korporat dan
memaksimumkan pulangan pelaburan dan meningkatkan paras keuntungan. Kegagalan
melaksanakan ini bukanlah satu pilihan.
Anggaran Perbelanjaan
32. Berdasarkan kedudukan kewangan negeri
yang kukuh dan terus berdaya tahan, maka Kerajaan Negeri mencadangkan agar
anggaran perbelanjaan Tahun 2017 berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion Empat
Ratus Lima Puluh Juta (RM 3,450,000,000) bagi melaksanakan semua perancangan
dan agenda Kerajaan Negeri.
33. Daripada jumlah tersebut, Ringgit
Malaysia Satu Bilion Enam Ratus Lima Puluh Juta (RM 1,650,000,000) atau 47.8
peratus adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan Ringgit Malaysia Satu
Bilion Lapan Ratus Juta (RM 1,800,000,000) atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan
pembangunan. Belanjawan 2017 dijangka akan mengalami defisit berjumlah Ringgit
Malaysia Sembilan Ratus Juta (RM 900,000,000) berpunca dari peningkatan
substantif dalam perbelanjaan pembangunan untuk memenuhi keperluan pembangunan
mampan yang berkualiti untuk rakyat.
34. Pembentangan belanjawan defisit ini
mencerminkan sikap jujur dan disiplin fiskal Kerajaan Negeri dalam membuat
perancangan. Pengalaman dua belanjawan yang lalu membuktikan usaha dan dedikasi
penjawat awam dalam mengamalkan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja
cekap dalam memungut hasil dan membasmi pembaziran serta ketirisan telah
berjaya mengubah belanjawan defisit kepada sebuah belanjawan yang berimbang.
Setiap yang hilang kita cari,
Setiap yang cicir kita pungut.
35. Sebagai catatan, Belanjawan 2015
dibentangkan dengan defisit RM 452.5 juta. Namun, prestasi sebenar Kerajaan
Negeri pada 31 Disember 2015 berakhir dengan lebihan sebanyak RM 232.79 juta.
Sementara Belanjawan 2016 dirancang defisit sebanyak RM 630 juta, namun
sehingga 14 Oktober 2016, prestasi kewangan sebenar berakhir dengan lebihan
sebanyak RM 351.38 juta.
Peruntukan Mengurus
36. Di bawah peruntukan mengurus, RM 427.90
juta adalah bagi emolumen dan RM 543.16 juta disediakan bagi perkhidmatan dan
bekalan. Manakala, RM 18.34 juta diperuntukkan kepada pembelian aset. Sejumlah
RM 608.11 juta disediakan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM 52.49
juta untuk perbelanjaan lain.
37. Pertambahan pada anggaran peruntukan
mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 adalah untuk membiayai:
a. Kenaikan gaji tahunan kakitangan awam
berikutan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam yang melibatkan
peruntukan sebanyak RM 20.3 juta;
b. Penggantian skim pinjaman buku teks
berwarna bagi pelajar Tahun 1 hingga 3 di Sekolah Agama Negeri Selangor yang
melibatkan peruntukan sebanyak RM 7 juta.
c.RM 10 juta bagi operasi penyelenggaraan
benteng pantai, sungai dan kolam takungan.
d. Kenaikan jumlah bantuan program Pemberian
Air Percuma 20 Meter Padu Yang Pertama sebanyak RM 13.2 juta.
e. Kenaikan siling Kumpulan Wang Pinjaman
sebanyak RM 150 juta bagi menampung Program Hijrah, Projek Penggantian Paip Air
Lama, Program Pengurusan Sisa Pepejal dan Projek Pemuliharaan dan Pembangunan
Sungai-Sungai di Selangor.
38. Perbelanjaan ini akan memberi manfaat
langsung untuk kesejahteraan rakyat dan mewujudkan kesan gandaan kepada
aktiviti ekonomi.
Peruntukan Pembangunan
39. Prinsip utama mendasari falsafah
perbelanjaan pembangunan adalah semua usaha dan inisiatif mestilah dibuat
secara holistik dan sistematik termasuk menyediakan infrastruktur yang lengkap
di bandar dan di desa. Kerajaan Negeri senantiasa mendengar keluhan rakyat.
40. Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan
pembangunan berjumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion Lapan Ratus Juta (RM
1,800,000,000) atau 52.2 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2017.
41. Negeri Selangor sekali lagi menjadi
peneraju dalam menyediakan peruntukan pembangunan melebihi peruntukan mengurus.
Bajet Persekutuan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri memperlihatkan ketidak
bertanggungjawaban kerana memperuntukkan hanya 18 peratus sahaja untuk
pembangunan.
42. Bagi memacu pembangunan, peruntukan
pembangunan ditingkatkan sebanyak RM 360 juta iaitu peningkatan sebanyak 25
peratus berbanding tahun 2016. Ini adalah peruntukan pembangunan terbesar yang
pernah tercatat dalam Belanjawan Negeri Selangor.
43. Sejumlah Ringgit Malaysia Satu Bilion
Sembilan Puluh Tiga Juta Tiga Ratus Dua Puluh Lima Ribu Dan Sepuluh (RM
1,093,325,010) atau 60.7 peratus diperuntukkan di bawah infrastruktur termasuk
projek pembinaan baru serta menaiktaraf jalan, penyelenggaraan parit dan
saliran serta projek pembangunan bekalan air.
44. Seterusnya, sejumlah Ringgit Malaysia
Dua Ratus Lima Puluh Juta Dua Ratus Lima Puluh Lapan Ribu Satu Ratus Sembilan
Puluh (RM 250,258,190) atau 13.9 peratus diperuntukkan bagi meningkatkan sektor
ekonomi negeri melalui program pembangunan perumahan termasuk perumahan
berstrata kos rendah, pengangkutan, perindustrian dan pelaburan, perbandaran,
perhutanan, veterinar serta perancangan bandar dan desa.
45. Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk
menilai keberkesanan program-program sosio ekonomi dan kebajikan rakyat untuk
tujuan memperkukuhkan agenda peduli rakyat. Untuk tujuan itu, sejumlah Ringgit
Malaysia Dua Ratus Empat Puluh Tujuh Juta Satu Ratus Lima Puluh Enam Ribu Lapan
Ratus (RM 247,156,800) atau 13.7 peratus diperuntukkan bagi melaksanakan
program perkhidmatan masyarakat, pendidikan, pemberdayaan modal insan dan
usahawan, pembangunan belia dan sukan serta pembangunan wanita dan keluarga.
46. Peruntukan sebanyak RM 183.2 juta
disediakan untuk program air percuma bagi tahun 2017. Walau bagaimanapun,
Kerajaan Negeri menyarankan air percuma dimanfaatkan secara berhemah. Air
adalah sumber yang sangat bernilai dan pengguna perlu membudayakan amalan konservasi
air.
47. Manakala bagi sektor kesihatan dan luar
bandar, Kerajaan Negeri bercadang sejumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Sembilan
Juta Dua Ratus Enam Puluh Ribu (RM 209,260,000) atau 11.6 peratus diperuntukkan
bagi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care),
program menangani wabak denggi dan zika, pembangunan ekonomi luar bandar serta
membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan
kampung.
E. STRATEGI BELANJAWAN 2017
48. Untuk menterjemah gagasan Membangun
Bangsa dan Memakmur Negeri maka, strategi Belanjawan 2017 Negeri Selangor
adalah :
a. Smart Selangor Teras Kemajuan;
b. Menjamin Perlindungan Dan Mensejahtera
Rakyat;
c. Pengupayaan Pendidikan & Latihan;
d. Membingkai Muafakat;
e. Memacu Industri Sukan & Pelancongan,
Menyemarak Budaya & Intelektual
STRATEGI PERTAMA : Smart Selangor Teras
Kemajuan
49. Gagasan Smart Selangor yang dicetuskan
pada tahun lalu kini telah menjadi teras utama untuk memacu pembangunan negeri
mencapai status Smart State. Gagasan ini bukan hanya tertumpu kepada inisiatif
pembangunan infrastruktur Smart semata-mata. Ianya juga menggarap nilai-nilai
kerohanian, kemanusiaan, amalan tatakelola yang baik dan menjamin keadilan
sosial untuk segenap lapisan masyarakat.
50. Antara aspek terpenting urus tadbir
adalah konsep “Open Government”. Dalam hal ini, inisiatif Smart Selangor
bertujuan merealisasikan objektif ini selain daripada pembangunan ekonomi yang
lebih mampan, sistem penyampaian yang lebih berkesan bagi menjamin kualiti
kehidupan yang lebih baik untuk rakyat.
51. Ini telah dimulakan pada tahun 2016
dengan pembangunan Blueprint Smart Selangor dan membangunkan Smart Solutions
untuk empat domain utama iaitu Smart Governance, Smart Waste Management, Smart
Transport and Mobility dan Smart Digital Infrastructure.
52. Blueprint dan Smart Solutions ini adalah
hasil pendapat dan maklum balas agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan
stakeholders termasuk rakyat berdasarkan prinsip mass collaboration di antara
rakyat dan kerajaan menerusi beberapa siri temu-tembung dan makmal yang
dianjurkan oleh pihak Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang telah melibatkan
hampir 10,000 orang peserta.
Membangun Infrastruktur Digital
53. Kejayaan Selangor sebagai Smart State
yang bergantung kepada pelaksanaan dasar-dasar serta inisiatif peduli rakyat
harus bergerak seiring dengan pembangunan inkrimental ekosistem digital. Dunia
terus menyaksikan kepantasan kemaraan digital; mana-mana bangsa yang dulu, kini
dan selama-lamanya kaku, hanya bergerak ke belakang.
54. Dalam ekosistem ini, bentuk-bentuk
baharu pemprosesan (processing) sedang dicipta bagi memberdaya pembuatan
keputusan yang lebih mantap, meneroka ‘insight’ dan mengoptimakan proses. Dari
segi ini, Big Data Analytics memainkan peranan yang semakin kritikal. Ianya
merangkumi prinsip 3V yakni ‘high volume’, ‘high velocity’ dan ‘high variety’
yang bernilai tinggi.
55. Dalam konteks ekosistem digital Selangor
yang berkembang maju, kita membayangkan Big Data Analytics dapat mempermudah
Kerajaan Negeri dan agensi-agensinya untuk membuat keputusan yang pantas dan
mengambil tindakan yang berkesan. ‘Real-time monitoring’ contohnya, dapat
dikembang-luaskan skop dan penggunaannya yang bakal membantu memenuhi sasaran
pencapaian perkhidmatan.
56. Big Data Analytics tidak boleh dipandang
secara terpisah malahan ianya berkembar dengan Internet of Things (IoT),
e-dagang dan penggunaan aplikasi dan penyelesaian pintar di bawah payung konsep
jangka panjang Smart State yang bersepadu.
57. Kerajaan Negeri akan menerokai
bidang-bidang kerjasama bersama gergasi-gergasi teknologi maklumat global
menerusi penggunaan teknologi terkini bagi menghasilkan dasar-dasar yang lebih
tepat dan berkesan kepada rakyat.
58. Peruntukan sebanyak RM 14 juta akan
disediakan untuk membangunkan Smart Digital Eco-system yang merangkumi Big Data
Command & Control Centre dan Smart Apps Development Platform, manakala RM 8
juta untuk Internet of Things (IoT) enabler dan pemerkasaan WiFi Smart Selangor
yang merupakan komponen penting dalam pembangunan Smart Digital Eco-system.
Penyelenggaraan Pintar Jalan Raya
59. Kerjasama di antara Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) dengan Google Asia Pacific menerusi Waze Connected Citizens
Programme telah dimeterai pada 23 September 2016. Para pengguna jalanraya kini
boleh melaporkan lokasi jalan berlubang (potholes) menerusi aplikasi Waze yang
kemudiannya akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk diperbaiki
dalam tempoh maksima 5 hari.
60. Sebuah sistem middleware akan
dibangunkan untuk mengumpulkan aduan jalan berlubang dan memantau tempoh
pembaikan. Dengan adanya sistem ini, kerajaan negeri akan berupaya untuk
memetakan hayat jalan raya (heat map of road age) untuk tujuan perancangan
program preventative maintenance yang lebih berkesan tanpa mengganggu
keselesaan pengguna jalan raya.
61. Selain aduan jalan berlubang, pihak
berkuasa bertanggungjawab memuatnaik maklumat jalan yang ditutup bagi sesuatu
tujuan supaya pengguna jalan raya mendapat maklumat sebelum merancang
perjalanan. Setakat ini, MBPJ, MPSJ, MPAJ dan MPKj telah bersama dalam program
ini.
Kutipan Sisa Pepejal Yang Efisyen
62. Sebagai langkah penstrukturan semula
pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kecekapan operasi, Kerajaan Negeri
telah melantik KDEB Waste Management Sdn. Bhd. untuk melaksanakan sebuah projek
perintis di Majlis Perbandaran Klang bermula 1 Julai 2016.
63. Keberkesanan operasi ini adalah hasil
daripada penggunaan teknologi pengesan operasi dan pergerakan lori kutipan,
para penyelia kawasan dan penggunaan sistem aduan berasaskan aplikasi iClean
Selangor yang dipantau terus melalui kaedah real time monitoring oleh sebuah
Command Centre. Sistem ini juga mampu mengesan lokasi aduan untuk memudahkan
pemantauan dan mempercepatkan tindakan pematuhan.
64. Prihatin dengan keluhan rakyat yang
mahukan operasi kutipan sisa pepejal yang lebih efektif dan pantas, Kerajaan
Negeri akan mengembangkan penggunaan sistem iClean Selangor kepada empat PBT
dalam tahun 2017 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 45 juta.
Pembersihan, Pemuliharaan dan Pembangunan
Sungai Klang
65. Sungai Klang yang sekian lama tercemar
dengan sampah sarap terapung kini telah semakin bersih. Sebanyak RM 5 juta
telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2016 untuk membersihkan
Sungai Klang. Hebat Abadi Sdn. Bhd. telah berjaya mengeluarkan 4,869 tan metrik
sampah terapung sehingga akhir September 2016 dan 48 perangkap sampah telah
dibina di kunci-kunci air utama di sepanjang Sungai Klang. 5 tapak pelupusan
haram dikesan hasil daripada operasi pembersihan sungai ini.
66. Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk
mewujudkan sebuah agensi pengurusan sungai bagi menyelaras kerja-kerja
pemuliharaan dan pembangunan Sungai Klang. Agensi ini dipertanggungjawabkan
untuk memulihara kawasan rizab sungai dan menyediakan pelan pembangunan tebing
sungai sebagai sumber pendapatan baru bagi Kerajaan Negeri.
67. Kerajaan Negeri bercadang untuk
memperuntukkan sebanyak RM 15 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan dan
pembangunan Sungai Klang. Untuk mempromosikan Sungai Klang kepada dunia,
Kerajaan Negeri merancang untuk menganjur Klang River Marathon dalam tahun
2017.
Kajian Penyelidikan dan Pembangunan
(R&D)
68. Kerajaan Negeri sedang giat berusaha
untuk meneroka dan menarik pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi seperti
industri aero-angkasa, automotif, bioteknologi dan industri halal.
69. Negeri Selangor akan meneraju industri
halal yang lebih inovatif dan bersifat ‘game changer’ melalui pembentukan
Majlis Halal International Selangor dengan geran pelancaran sebanyak RM 5 juta.
70. Menurut laporan Pertubuhan Kerjasama dan
Pertumbuhan Ekonomi (OECD), penggunaan bioteknologi akan menjana pertumbuhan
‘Bioekonomi’ yang merangkumi sektor pertanian, industri dan kesihatan.
71. Kerajaan Negeri menyokong usaha ke arah
pemerkasaan ‘Bioekonomi’ di Selangor. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri
bercadang untuk menyediakan dana awal (seed capital) berjumlah RM 10 juta bagi
membiayai R&D bioteknologi di Bio Bay, Pulau Indah.
Penciptaan Pekerjaan Baru
72. Negeri Selangor telah membuat satu
anjakan strategik ke arah industri berasaskan pengetahuan dan berteknologi
tinggi serta mempergiat sektor ekonomi menerusi Industri Kecil dan Sederhana
(SME).
73. Kerajaan Negeri memberi fokus lima teras
utama yang mampu mengembangkan peluang SME seperti industri aeroangkasa,
bioteknologi, sains hayat, e-dagang dan industri halal.
74. Industri strategik seperti aeroangkasa
dan otomotif yang melabuh di Negeri Selangor dengan jumlah pelaburan hampir RM
3 bilion oleh syarikat gergasi UMW Aerospace Sdn. Bhd. di Serendah dan UMW
Toyota Motor Sdn. Bhd. di Bukit Raja, Klang akan mencipta lebih 1,200 pekerjaan
dalam perkhidmatan sokongan termasuk pekerja mahir (skilled workers).
75. Bagi tempoh dari tahun 2008 sehingga
suku ketiga 2016, sejumlah 183,889 pekerjaan telah dicipta melalui 2,258 projek
perkilangan. Daripada jumlah penduduk Negeri Selangor seramai 6.14 juta, negeri
ini mempunyai tenaga kerja seramai 3.2 juta.
STRATEGI KEDUA : Menjamin Perlindungan Dan
Mensejahtera Rakyat
76. Penyair Latin, Juvenal, dalam sebuah
satira berkata, “Mens sana in corpore sano” – akal yang cerdas datangnya dari
badan yang sihat. Putrajaya gagal memberikan perhatian kepada penjagaan
kesihatan asas (primary health care) yang merupakan hak asasi rakyat seperti
yang termaktub dalam Artikel 12 International Covenant on Economic, Social and
Cultural Rights 1966.
77. Rakyat umumnya merasa tertekan dan
terhimpit dengan ketidaktentuan ekonomi dan kecelaruan kepimpinan. Rakyat
terdedah kepada kos sara hidup yang tinggi, ketidakupayaan untuk mendapatkan
akses kepada rawatan yang berkualiti, tidak berpeluang memiliki kediaman yang
selesa dan affordable, dikesampingkan kebajikan dan hak asasi mereka dalam
kehidupan.
78. Maka sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang
peduli rakyat, Belanjawan 2017 ingin memperkenalkan beberapa inisiatif baru
yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Skim Peduli Sihat
79. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
mencadangkan perbelanjaan kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan sebanyak 5
peratus daripada KDNK. Namun begitu, pada tahun 2014, WHO melaporkan kadar
perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK
berbanding negara-negara lain seperti Cuba 11.1 peratus, Brazil 8.3 peratus,
Vietnam 7.1 peratus dan Thailand 6.5 peratus.
80. Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap
tahap kesihatan rakyat yang boleh menjejaskan produktiviti. Biarpun Kerajaan
Negeri tidak mempunyai sumber pendapatan sebesar Putrajaya, namun kita memiliki
rasa kepedulian yang raksasa.
81. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim
perlindungan perubatan dan kesihatan (medical and healthcare coverage) atau
Skim Peduli Sihat bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah
(B40) iaitu kelompok yang paling tertekan berikutan daripada kenaikan kos sara
hidup.
82. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri
bercadang memperuntukkan sejumlah RM 125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli
Sihat yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250
ribu keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah
RM 3,000 ke bawah.
83. Skim Peduli Sihat yang diuruskan oleh
Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator akan membiayai
rawatan kesihatan asas (primary care) setiap keluarga yang layak sehingga RM
500 setahun. Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik
berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.
84. Mereka yang dilahirkan atau telah
menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini. Pendaftaran
boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah,
klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti
atau pengesahan pendapatan.
85. Setiap peserta akan menerima kad
kesihatan Peduli Sihat. Pemegang akaun utama Peduli Sihat beserta tanggungannya
– isteri serta anak-anak di bawah umur 21 tahun boleh menerima rawatan doktor
(general practicioner) di klinik-klinik berdaftar menurut had gunaan dan
kelayakan yang telah ditetapkan.
86. Klinik-klinik yang berdaftar dengan
Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak
membebankan rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan
Perubatan Malaysia (MMA).
Menangani Denggi & Zika
87. Kerajaan Negeri bercadang meningkatkan
peruntukan kawalan dan pencegahan denggi dan zika secara holistik bagi tahun
2017 kepada RM 5 juta berbanding hanya RM 1.5 juta bagi tahun 2016. Peruntukan
ini akan digunakan untuk menambah aktiviti kawalan dengan menambah penggunaan
Pest Controller Operator (PCO) di PBT. Penguatkuasaan undang-undang akan
dipertingkatkan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyumbang
kepada wabak ini.
88. Tanggungjawab ini juga harus dipikul
bersama oleh semua pihak termasuk pimpinan masyarakat seperti Ahli Dewan
Negeri, Ahli Majlis, JKKK dan penduduk setempat bagi memastikan tiada lagi tempat
pembiakan nyamuk Aedes.
Program Dialisis Rakyat
89. Kerajaan Negeri sedar bahawa kos rawatan
dialisis amat membebankan pesakit – kos rawatan yang tinggi manakala pesakit
juga tidak dapat bekerja untuk menampung kos sara hidup keluarga. National
Renal Transplant Registry 2014 melaporkan terdapat 6,890 orang pesakit dialisis
di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan untuk membiayai
kos rawatan dialisis. Kelazimannya, setiap pesakit perlu menjalani rawatan
sebanyak 13 kali sebulan melibatkan kos hampir RM 3,000 sebulan.
90. Sehingga 24 Oktober 2016, seramai 504
orang pesakit telah menerima manfaat daripada program ini dengan kos yang
ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM 1.45 juta. Kerajaan Negeri
bercadang untuk meningkatkan peruntukan bagi program rawatan dialisis daripada
RM 1.7 juta setahun kepada RM 5 juta bagi Tahun 2017.
Early Intervention Programme (EIP)
91. Untuk mewujudkan masyarakat penyayang,
Kerajaan Negeri akan mengambil langkah untuk menjayakan Program Intervensi Awal
(Early Intervention Programme) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas.
Program ini akan menyediakan pendidikan dan pelbagai jenis terapi seperti
physiotherapy, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy.
92. Program ini membantu ibu bapa mengambil
langkah awal untuk mengelakkan berlakunya masalah sampingan pada keadaan
fizikal anak-anak mereka di masa akan datang. Pada masa yang sama, Program
Intervensi Awal akan membantu kanak-kanak berkeperluan khas beradaptasi dalam
masyarakat tanpa merasa terpisah kerana mereka juga mempunyai kebolehan dan
potensi yang tersendiri. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan
sejumlah RM 3 juta untuk membantu institusi dan badan kebajikan yang
menjalankan Early Intervention Programme (EIP) di Negeri Selangor.
Merancak Program HIJRAH
93. Skim Mikrokredit (micro financing
scheme) adalah aspek penting untuk mengupaya usahawan-usahawan kecil yang
memerlukan modal perniagaan awal bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan.
Program ini seiring dengan visi Kerajaan Negeri untuk melebarkan golongan kelas
menengah.
94. Pada tahun 2016, Yayasan Hijrah Selangor
telah menerima pembiayaan sebanyak RM 125 juta termasuk RM 5 juta sebagai dana
khas untuk kumpulan sasar OKU dan Ibu Tunggal. Sehingga suku ketiga tahun 2016,
seramai 28,231 orang telah menerima manfaat dengan pengeluaran pembiayaan
berjumlah RM 144.8 juta.
95. Alhamdulillah, peratusan kutipan bayar
balik adalah tinggi dan menggalakkan. Program HIJRAH yang terbukti mampu
mengupayakan peniaga-peniaga kecil dijangka akan terus mendapat sambutan dan
disasarkan meningkat kepada 56,000 orang pada tahun 2018.
96. Kejayaan program HIJRAH mendorong
Kerajaan Negeri untuk mencadangkan peruntukan tambahan sejumlah RM 50 juta
dalam bentuk pinjaman bagi tahun 2017 kepada Yayasan Hijrah. Program HIJRAH
akan menyediakan dana pusingan berjumlah RM 185 juta bermula awal tahun 2017
hasil daripada bayaran semula yang kini berada pada paras RM 59.7 juta. Dua
kumpulan sasar baru akan menikmati pembiayaan HIJRAH iaitu veteran angkatan
tentera dan wanita ladang.
Perumahan Untuk Rakyat
97. Pendemokrasian milikan rumah adalah
dasar Kerajaan Negeri hari ini. Dasar ini adalah cerminan kepada sebuah
kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan kesenjangan pendapatan di kalangan
rakyat. Sebagai sebuah ekonomi manusiawi dan negeri yang mengamalkan demokrasi
yang matang, Kerajaan Negeri terus memperhebatkan usaha agar rakyat Negeri
Selangor memiliki kediaman yang affordable dan selesa untuk keluarga.
Program Ceria
98. Kerajaan Negeri sering mendengar keluhan
para pemilik dan penghuni rumah pangsa kos rendah yang tidak mampu untuk
menyelenggara lif dan menceriakan blok masing-masing. Kos penyelenggaraan lif
adalah tinggi dan di luar kemampuan pemilik, penghuni dan Badan Pengurusan
Bersama (JMB).
99. Kerajaan Negeri senantiasa peduli dengan
masalah komuniti rumah pangsa kos rendah. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri
ingin mencadangkan peruntukan bagi penyelenggaraan lif dan pengindahan rumah
pangsa kos rendah dinaikkan daripada RM 25 juta kepada RM 55 juta.
100. Pertimbangan ini adalah atas kesedaran
Kerajaan Negeri untuk pembinaan komuniti bandar yang dinamik dan ceria sebagai
dimensi pembangunan bangsa. Langkah ini akan memastikan lif di kawasan pemajuan
tersebut sentiasa diselenggara untuk menjamin keselamatan dan keselesaan
penghuni rumah pangsa serta menceriakan blok perumahan berkenaan.
Memperluas Akses Pemilikan – Rumah
Selangorku
101. Usaha Kerajaan Negeri untuk membina
rumah mampu milik secara aktif mulai tahun 2014 mendapat sambutan yang menggalakkan.
Sehingga hari ini, saya telah melancarkan 18 projek pembangunan rumah mampu
milik yang melibatkan 22,494 unit kediaman melebihi sasaran awal berjumlah
15,000 unit kediaman.
102. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor
(LPHS) telah dipertanggungjawabkan untuk memantau kemajuan projek-projek ini
setiap dua minggu bagi memastikan projek ini dapat diserahkan pemilikannya
kepada pembeli dalam tempoh yang ditetapkan.
103. Walau bagaimanapun, pembeli rumah
berdepan dengan masalah ‘end-financing’ atau pembayaran akhir di mana kadar
penolakan pinjaman oleh bank-bank tempatan telah meningkat kepada lebih 50
peratus. Berdasarkan laporan LPHS, daripada 17,546 tawaran yang dibuat, 8,770
tidak berjaya mendapat pembiayaan daripada institusi perbankan.
104. Oleh kerana itu, Bank Negara Malaysia
(BNM) digesa untuk menyemak semula garis panduan bagi membantu pembeli rumah
pertama mendapatkan pinjaman bank untuk pembiayaan rumah yang bernilai RM
250,000 ke bawah.
Skim Smart-Sewa
105. Atas keprihatinan kepayahan pembeli
rumah untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan,
Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Skim Smart-Sewa bagi membantu orang
awam yang berpendapatan sederhana menyewa dan akhirnya berupaya untuk memiliki
rumah di Negeri Selangor.
106. Kerajaan Negeri telah membeli 134 unit
kediaman yang bersesuaian di lokasi yang strategik pada tahun 2016 untuk
dijadikan rumah sewa kepada mereka yang berkelayakan. Bagi tahun 2017, Kerajaan
Negeri akan menyediakan peruntukan sejumlah RM 100 juta melalui Tabung Amanah
Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera & Pengecualian Sumbangan Pembinaan
Rumah Kos Rendah, Kos Sederhana Rendah dan Rumah Kos Sederhana bagi mengembangkan
lagi Skim Smart Sewa.
107. Tempoh sewaan minima bagi setiap
penyewa adalah selama dua tahun dan maksima selama lima tahun. Menerusi program
ini, penyewa akan mendapat balik 30 peratus daripada jumlah sewaan yang dibayar
apabila mereka tidak lagi tinggal di unit yang berkenaan. Pengembalian 30
peratus wang sewaan boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian
Rumah Selangorku.
Perkhidmatan Air Yang Holistik
108. Sementara proses penstrukturan semula
industri perkhidmatan air Selangor sedang dimuktamadkan, Kerajaan Negeri telah
mengambil langkah proaktif bagi menyediakan perkhidmatan air yang efisyen
termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) dan mengganti paip-paip
lama.
Projek Penggantian Paip Air &
Mengurangkan NRW
109. Kerajaan Negeri meletakkan sasaran
untuk mengurangkan kadar NRW daripada 35 peratus kepada 29 peratus pada 2019.
Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 324 juta
diperuntukkan untuk mengatasi masalah paip pecah dan program penggantian paip-paip
lama di 84 kawasan hotspot yang meliputi 422.5 kilometer untuk tempoh tiga
tahun mulai tahun 2016.
110. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri
bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 100.6 juta kepada Air Selangor bagi
kerja-kerja penggantian paip.
Pembangunan Loji Rawatan Air
111. Bagi menjamin kemampanan bekalan air
terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kerajaan Negeri bersedia
menggunakan sebahagian rizab negeri untuk pembangunan termasuk membina Loji
Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang yang menelan kos RM
800 juta. Pembangunan 2 buah loji rawatan air yang dibiayai sepenuhnya oleh
Kerajaan Negeri adalah untuk mewujudkan ekosistem perkhidmatan air yang
holistik dan efisyen serta melengkapkan sistem agihan bekalan air di Negeri
Selangor.
112. Kerajaan Negeri yakin pembangunan
loji-loji rawatan air ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor
ekonomi dan industri sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih pesat
di kawasan tengah dan selatan Negeri Selangor. Sebagai penyumbang utama kepada
KDNK negara, Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk mengekalkan momentum
persekitaran pelaburan yang kondusif untuk memastikan jumlah pelaburan dan
aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi di Negeri Selangor.
113. Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2
dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan menggunakan kaedah storm water hiliran
sungai sebagai sumber air terawat. Konsep pembangunan Off River Storage (ORS)
mampu mengekalkan bekalan air mentah sekalipun berlaku pencemaran sungai, dapat
mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air dari empangan dan berfungsi
sebagai kolam takungan bagi mengelakkan risiko banjir di penempatan hiliran
sungai.
114. Kerajaan Negeri ingin mencadangkan
peruntukan sejumlah RM 192.7 juta bagi tahun 2017 untuk pembangunan Loji
Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang. Kedua-dua loji
rawatan air ini akan menambah bekalan air terawat sebanyak 400 JLH. Kerja-kerja
pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dijangka siap pada Disember 2017 manakala
Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan mula beroperasi sepenuhnya pada
pertengahan tahun 2018.
115. Projek Mitigasi 2 telah siap sepenuhnya
pada 20 April 2016 dan telah dioperasikan oleh Air Selangor. Dengan siapnya
projek Mitigasi 2, tambahan sebanyak 220 JLH air terawat dapat dibekalkan
melalui sistem agihan yang dinaiktaraf. Bekalan tambahan ini dapat menampung
permintaan pengguna yang semakin meningkat terutamanya di kawasan Lembah Klang
dan Klang sehingga ke Pulau Indah.
116. Kerajaan Negeri sedang melaksanakan
Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Projek Menaiktaraf Rumah
Pam di 11 lokasi yang menelan kos RM 98 juta. Kedua-dua projek ini bertujuan
untuk memastikan bekalan air terawat dapat diagihkan kepada pengguna tanpa
sebarang gangguan. Bagi tahun 2017, sejumlah RM 44 juta diperuntukkan bagi
melaksanakan projek ini.
117. Setelah pengambilalihan pengurusan
bekalan air, audit telah dilaksanakan ke atas semua aset-aset bekalan air dan
mendapati terdapat sejumlah 50 kolam dan 40 rumah pam tidak pernah digunapakai
disebabkan pelbagai masalah seperti kebocoran pada kolam, kerosakan pada
peralatan dan perkakasan, pencerobohan, kecurian dan vandalisme. Jumlah
kapasiti simpanan air daripada sejumlah 50 kolam ini adalah sebanyak 239 JLH.
118. Dalam menghadapi sebarang kemungkinan
pada tahun hadapan, perancangan telah dibuat untuk melaksanakan kerja pembaikan
dan menggunapakai kolam dan rumah pam ini. Penggunaan semula aset-aset ini
dapat meningkatkan jumlah simpanan air dalam kolam dan seterusnya mengurangkan
gangguan bekalan air kepada pengguna. Selain itu, ia juga mempercepatkan
pemulihan bekalan air sekiranya berlaku gangguan berjadual mahupun tidak
berjadual. Ini secara langsung akan meningkatkan reliabiliti sistem bekalan
air.
119. Air Selangor telah memperuntukkan
sejumlah RM 27 juta untuk membaiki dan menggunapakai semula kolam-kolam ini.
Pada tahun 2016, sejumlah 11 kolam dan rumah pam sedang dibaiki dan dirancang
untuk digunapakai semula setelah kerja-kerja pembaikan selesai dilaksanakan.
120. Walaupun ada pihak secara sinis
mempertikaikan usaha dan keupayaan Kerajaan Negeri untuk mengurus air, hari ini
kita membuktikan bahawa perancangan untuk meningkatkan kemudahan dan kecekapan
dalam pengurusan air telahpun dilaksanakan mengikut jadual pelaksanaan projek.
Pengurusan Sumber Bekalan Air
121. Fenomena pemanasan global dan perubahan
iklim dunia yang mengakibatkan cuaca panas yang ekstrim dan kering, ancaman
water stress serta banjir kilat dan air laut pasang besar perlu ditangani dengan
kepakaran kejuruteraan dan pengurusan yang bersepadu. Bagi menangani fenomena
ini, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 17 juta untuk tahun 2017 bagi
menjamin kesinambungan bekalan air dan sumber air melalui usaha berikut :
a. Operasi pembenihan awan (cloud seeding)
yang membolehkan hujan turun di kawasan tadahan dan lembangan sungai;
b. Meneruskan dan menguruskan operasi
pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa menjejaskan
kualiti sumber air tersebut.
122. Kerajaan Negeri turut mencadangkan
peruntukan berjumlah RM 2.0 juta untuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi
meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air termasuk pembangunan stesen
pemantauan kualiti dan kuantiti secara online dan pemantauan “aerial
surveillance” menggunakan “drone” untuk memantapkan pemantauan in situ bagi
mengenaplasti punca pencemaran.
123. Kerajaan Negeri memandang serius
aktiviti pencemaran sungai oleh pihak tertentu yang membuang bahan-bahan toksik
secara terancang yang menyebabkan Air Selangor terpaksa menutup loji rawatan
air untuk menjamin keselamatan dan kesihatan penggunaan. Kelakuan ini bukan
sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Justeru itu, Kerajaan
Negeri terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi
menangani masalah ini kerana pelakuan sabotaj ini tidak berlaku di dalam sungai
di Negeri Selangor tetapi berpunca di kawasan-kawasan di luar Selangor.
124. Kerajaan Negeri menghargai usaha gigih
dan komitmen pegawai-pegawai LUAS, JPS dan Air Selangor yang menjalankan
kerja-kerja pemantauan sungai secara berterusan.
125. Pihak industri digalakkan untuk melabur
dalam penggunaan teknologi hijau termasuk teknologi kitar semula air selaras
dengan amalan terbaik antarabangsa.
Pembinaan Jalan Baru
126. Jaringan jalan raya merupakan aspek
utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan mobiliti sosial. Kerajaan Negeri
berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan
jaringan jalan raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri
mencadangkan sejumlah RM 390 juta diperuntukan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR)
bagi tahun 2017.
127. Antara langkah yang diambil untuk
menyelesaikan masalah penyuraian trafik, JKR diberikan tanggungjawab untuk
menaiktaraf 26 jajaran jalan negeri dengan peruntukan sebanyak RM 197.4 juta.
128. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan
membina jalan baru dengan peruntukan sebanyak RM 51.3 juta :
a. Membina Jalan Alternatif Shah Alam ke
Banting;
b. Membina Jalan Sambungan Kota Warisan
(B20).
129. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 102.8
juta untuk pembinaan jambatan dan jejantas termasuk RM 80 juta untuk menyiapkan
pembinaan Jambatan Ketiga Klang; RM 10.5 juta bagi penggantian jambatan lama di
Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor; RM 5 juta untuk penggantian jambatan di
Jalan Kundang, Daerah Gombak dan RM 1.8 juta untuk menggantikan jambatan
Kampung Pasir, Sungai Lalang, Semenyih.
130. Aspek keselamatan juga diberi perhatian
dengan memperuntukkan sejumlah RM 33.5 juta termasuk pemasangan lampu isyarat
dan tanda amaran serta pembaikan cerun.
Penyelenggaraan Jalan Raya
131. Infrastruktur asas seperti jalan
merupakan aspek penting kepada pembangunan negeri serta mewujudkan jaringan
penghubung yang memberi akses kepada pelbagai aktiviti yang memberi manfaat
ekonomi dan sosial kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor.
132. Kerajaan Negeri bercadang
memperuntukkan sejumlah RM 600 juta sebagai siling peruntukan MARRIS Tahun 2017
kepada agensi pelaksana dengan pecahan berikut:
a. Sejumlah RM 196 juta diperuntukkan kepada
Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelenggara Jalan Raya Negeri;
b. Sejumlah RM 372 juta diperuntukkan kepada
12 PBT Negeri Selangor untuk menyelenggara Jalan Raya Perbandaran termasuk
lorong-lorong belakang dan jalan-jalan industri;
c. Sejumlah RM 30 juta diperuntukkan kepada
9 Pejabat-Pejabat Daerah / Tanah (PDT) untuk menyelenggara Jalan-Jalan Kampung;
dan
d. Sejumlah RM 2 juta diperuntukkan kepada
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelenggara Jalan Pertanian.
133. Kerajaan Negeri berharap usaha ini akan
meningkatkan mutu penyelenggaraan jalan setaraf dengan status negeri maju.
Mempertingkat Perkhidmatan Percuma Bas Smart
Selangor
134. Kerajaan Negeri gembira dapat
menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang terbaik kepada rakyat.
Sejak dilancarkan pada tahun 2015, perkhidmatan ini telah beroperasi di 11 PBT
dengan pencapaian bilangan pengguna sehingga 31 Ogos 2016 sebanyak 2.8 juta
penumpang.
135. Inisiatif yang dimulakan dengan
peruntukan sebanyak RM 3.5 juta pada tahun 2015 telah ditingkatkan kepada RM 10
juta pada tahun 2016.
136. Perkhidmatan ini bertujuan menggalakkan
penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat dan mampu
mengurangkan pelepasan karbon. Program ini memberi manfaat untuk golongan
berpendapatan rendah dan sederhana serta pelajar dan pekerja.
137. Bagi memenuhi permintaan pengguna
pengangkutan awam, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan perkhidmatan percuma
Bas Smart Selangor ditambah daripada RM 10 juta kepada RM 20 juta bagi tahun
2017 untuk menambah laluan baru di semua PBT termasuk kawasan desa.
Pemuliharaan Tapak Pelupusan
138. Selangor perlu melangkah ke hadapan
dalam mengurus sisa pepejal dengan penggunaan teknologi baru. Pada ketika ini,
sebanyak 6,000 tan sisa pepejal dihasilkan sehari oleh rakyat Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri mengajak rakyat untuk bersedia menerima teknologi baru yang
selamat dan terbukti dapat menghasilkan produk sampingan seperti penjanaan
tenaga.
139. Penyediaan tapak pelupusan sampah yang sempurna
dari aspek pembinaan serta pengurusan yang bersepadu dan sistematik amat
penting bagi memastikan ianya dapat mengurangkan impak negatif kepada alam
sekitar. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan menyediakan sejumlah RM 7.3
juta bagi melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan, menaiktaraf, penutupan selamat
dan penyelenggaraan tapak pelupusan di Selangor.
Penyelenggaraan Saliran & Tebatan Banjir
140. Perubahan suhu dan iklim dunia adalah
fenomena baru yang menuntut kita untuk mengambil langkah proaktif. Bencana
seperti cuaca panas yang ekstrim dan kering, banjir kilat serta penyakit
berjangkit perlu diurus dan ditangani supaya tidak memberi kesan buruk kepada
rakyat dan ekonomi.
141. Kerajaan Negeri senantiasa peka dan
prihatin terhadap kepentingan pembangunan sistem pengairan dan saliran untuk
menampung air larian permukaan.
142. Justeru itu, Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) perlu menyediakan perkhidmatan kepakaran kejuruteraan dan
pengurusan sumber air yang merangkumi pengurusan lembangan sungai, zon pantai
serta pengurusan banjir dan kemarau secara bersepadu. Kerajaan Negeri tidak
akan mengabaikan sama sekali sebarang usaha dan sokongan yang diperlukan oleh
JPS untuk melaksanakan tanggungjawab ini.
143. Bagi maksud itu, Kerajaan Negeri
mencadangkan peruntukan pembangunan untuk JPS dinaikkan sebanyak 68.7 peratus
kepada RM 135 juta berbanding RM 80 juta untuk tahun 2016 bagi menampung
pelaksanaan 85 projek yang telah dikenalpasti. Peruntukan yang disediakan ini
merangkumi antara lain Projek Tebatan Banjir di Sungai Kandis, Klang berjumlah
RM 7.5 juta, Projek Tebatan Banjir Kampung Melayu Subang yang bernilai RM 6
juta dan Projek Tebatan Banjir di Sungai Labu, Sepang bernilai RM 3 juta.
144. Peruntukan ini juga bagi melaksanakan
Projek Pembangunan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai
Langat serta menaiktaraf saliran, menaiktaraf kolam takungan dan pembangunan
pantai.
Menggilap Kemakmuran Desa
145. Kerajaan Negeri bertekad memberdaya
masyarakat desa agar berada dalam arus perdana pembangunan dengan menikmati
kemudahan dan mutu kehidupan yang setara dengan kehidupan moden masyarakat
bandar. Namun, pembangunan desa yang akan dilaksanakan akan tetap mengekalkan
watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, bekerjasama,
harmoni dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi.
146. Demi merealisasikan hasrat ini,
Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan sejumlah RM 72.16 juta untuk
pembangunan luar bandar.
147. Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri
memperuntukkan RM 18 juta untuk sektor pertanian dengan tumpuan pembangunan
kemudahan R&D dan latihan untuk warga tani yang dijangka menelan kos RM 5.3
juta.
148. Kerajaan Negeri komited untuk mendukung
usaha menjadikan sektor pertanian bukan sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi
sebagai sebuah sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Negeri
Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau.
149. Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’
akan terus menjadi asas kepada dasar pertanian Negeri Selangor. Untuk
merealisasikan hasrat ini, pembukaan tanah-tanah baharu akan dilaksanakan di
bawah Program Ladang Smart Selangor dan Kebun Rakyat bagi tujuan projek
pertanian berasaskan penggunaan teknologi moden serta pemilihan jenis tanaman
yang boleh memberikan pulangan hasil yang tinggi. Program Belia Tani,
pembangunan industri padi dan Taman Agroteknologi juga diberikan perhatian
untuk perkembangan sektor pertanian dengan jumlah peruntukan RM 7.3 juta.
150. Selain itu, antara keutamaan bagi tahun
2017 adalah untuk menaiktaraf kemudahan awam termasuk menaiktaraf balai raya
yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan pembangunan kampung baru dengan
peruntukan berjumlah RM 15 juta.
151. Kerajaan Negeri akan menyediakan
peruntukan sejumlah RM 15 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih
jalan-jalan kampung. Ini tidak termasuk peruntukan MARRIS yang berjumlah RM 30
juta untuk tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung.
152. Dalam tahun 2016, Kerajaan Negeri telah
mengambil inisiatif melaksanakan pencerapan jalan-jalan kampung yang masih
belum berdaftar di bawah sistem MARRIS. Usaha ini telah menghasilkan kejayaan
mendaftarkan 1,400 km jalan kampung yang akan meningkatkan peruntukan MARRIS
kepada RM 30 juta bagi tahun 2017. Ini bermakna, peruntukan keseluruhan bagi
tujuan menaiktaraf dan penyelenggaraan jalan kampung bagi tahun 2017 adalah
sebanyak RM 45 juta.
Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal
153. Kerajaan Negeri mengambil serius aduan
ketua-ketua kampung tentang masalah pengurusan sisa pepejal, pembersihan dan
pengutipan sampah pukal di kampung. Kerajaan Negeri tidak pernah meremehkan isu
kebersihan awam kerana ianya boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan
rakyat. Untuk maksud itu, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri ingin mencadangkan
sejumlah RM 20 juta disalurkan kepada PBT berpendapatan rendah bagi kerja-kerja
kutipan sampah di kampung dan kawasan pembangunan strata. Manakala, bagi PBT
berpendapatan tinggi, Kerajaan Negeri akan mencadangkan supaya PBT berkenaan
dapat menyediakan peruntukan bagi maksud yang sama supaya agenda kebersihan
awam menjadi antara agenda utama bagi semua PBT pada tahun 2017.
Menjamin Keselamatan Rakyat
154. Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK)
pernah diwujudkan pada tahun 2013 dengan peruntukan sebanyak RM 2.4 juta bagi
semua kampung. Kerajaan Negeri melihat keperluan pasukan ini dihidupkan semula
dengan sokongan kuat daripada Kerajaan Negeri memandangkan keselamatan rakyat
termasuk di kampung dan desa semakin tercabar ekoran kegawatan ekonomi semasa.
155. Sehubungan dengan itu, untuk tahun
2017, Kerajaan Negeri ingin mewujudkan pasukan keselamatan yang dinamakan
‘Ikatan Desa’ dengan peruntukan berjumlah RM 3.68 juta setahun merangkumi
bantuan kewangan untuk latihan keselamatan dan peralatan yang memberi manfaat
kepada 368 kampung. Pasukan Ikatan Desa akan terus bekerjasama dengan PDRM,
JKKK dan Pejabat Daerah.
Karnival Kampungku Kesayanganku
156. Kerajaan Negeri akan meneruskan program
Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) yang telah diperkenalkan pada tahun 2015
dengan objektif utama untuk melahirkan masyarakat desa yang mengimarah
institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, membangun kampung dari
sudut fizikal, spiritual dan ekonomi serta dapat menyuburkan adat dan warisan
kampung. Sejumlah RM 630,000 dicadangkan untuk melaksanakan program ini bagi
tahun 2017.
Kesejahteraan Komuniti Bandar
157. Kesejahteraan komuniti bandar menuntut
penyediaan kemudahan komuniti yang selesa dan mesra komuniti termasuk kemudahan
untuk golongan OKU seperti Dewan Orang Ramai dan pasar. Untuk maksud ini,
Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM 19.5 juta untuk
pembangunan komuniti bandar.
158. Peruntukan ini merangkumi RM 5 juta
untuk pembangunan kemudahan asas PBT termasuk penyelenggaraan medan selera dan
RM 10 juta untuk menaiktaraf serta membaikpulih dewan orang ramai. Kemudahan
infrastuktur PBT termasuk kemudahan OKU dan penyediaan tong sampah akan
diperuntukkan sebanyak RM 4.5 juta.
159. Berdasarkan penyata kewangan PBT yang
telah diaudit bagi tahun 2015, 12 PBT di Selangor mempunyai rizab sebanyak RM
1.93 bilion. Kerajaan Negeri mendapati MBSA, MBPJ, MPSp, MPKj, MPAJ, MPSJ dan
MPK mempunyai rizab yang tinggi. Maka, untuk mendukung usaha Kerajaan Negeri
membangunkan kawasan perbandaran dengan perkhidmatan yang cekap dan program
pengupayaan komuniti, PBT yang berkenaan digesa untuk menggunakan
sekurang-kurangnya 10 peratus daripada rizab PBT berkenaan untuk maksud ini.
Pembangunan Dewan Banquet
160. Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan
tiga buah Dewan Banquet yang dilengkapi dengan kemudahan dan teknologi moden di
Taman Melawati, Hulu Klang; Taman Bukit Mahkota, Kajang; dan Bukit Beruntung,
Hulu Selangor. Pelaksanaan pembangunan ini akan dilaksanakan oleh pihak Majlis
Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Menteri
Besar Pemerbadanan (MBI) secara pembangunan usahasama antara PBT dan pihak
swasta.
Pembangunan Pasar Rakyat
161. Pasar merupakan nadi ekonomi
masyarakat. Konsep pasar sedia ada perlu ditambah baik dan dijenamakan sejajar
dengan tuntutan zaman dan keperluan rakyat. Adalah menjadi harapan kerajaan
untuk menjadikan pasar-pasar di Negeri Selangor sebagai salah satu “vital
point” perkembangan ekonomi rakyat.
162. Lantaran itu, Kerajaan Negeri
mencadangkan pembangunan ‘Pasar Rakyat’ untuk menemukan pengeluar produk yang
terdiri dari para petani dan peniaga-peniaga dengan pengguna tanpa khidmat
orang tengah. Selain daripada kemudahan, prasarana dan reka bentuk moden, pasar
ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan perkhidmatan harian rakyat seperti kemudahan
perbankan dan khidmat pos.
163. Bagi merealisasikan hasrat ini,
Kerajaan Negeri mencadangkan lima PBT iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis
Perbandaran Sepang (MPSp) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk mengkaji
lokasi yang bersesuaian, strategik dan mudah dikunjungi. Pembangunan Pasar
Rakyat mesti dimulakan seawal tahun 2017 dengan menggunakan peruntukan
pembangunan PBT masing-masing.
STRATEGI KETIGA : Pengupayaan Pendidikan
& Latihan
Selangor Business School
164. Perkembangan rancak Graduate Business
School yang menawarkan program seperti Master in Business Administration (MBA)
dan Master in Management (MIM) merupakan satu petunjuk kemajuan ekonomi dan
mencerminkan kemajuan agenda bangsa untuk memperkukuhkan pendidikan tinggi.
165. Tatkala Negeri Selangor maju ke arah
knowledge economy, adalah penting untuk kita menubuhkan sekolah sarjana
perniagaan yang akan menghasilkan graduan bagi memenuhi keperluan dan tuntutan
perniagaan, korporat, industri dan sektor awam.
166. Graduan Selangor Business School akan
mempunyai nilai tambah dalam pelbagai kebolehan, dinamik dan berorientasi
global. Mereka berperanan sebagai penyumbang nilai dan pemimpin di pelbagai
peringkat dan bidang strategik. Kumpulan ini akan menyumbang sebagai pemangkin
pembangunan sosio ekonomi bagi negeri pintar.
167. Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang
memperuntukkan RM 5 juta bagi penubuhan Selangor Business School yang akan
menawarkan pengajian MBA. Selangor Business School merupakan sebahagian daripada
program pengembangan Universiti Selangor (UNISEL).
168. Selaras dengan visi transformasi dan
rasionalisasi fakulti, UNISEL kini bersiap siaga untuk menggarap cabaran baru
supaya lebih berdaya saing dan seterusnya menyumbang kepada agenda pendidikan
negeri. Untuk mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telahpun menyalurkan
sejumlah RM 21.5 juta dalam tahun 2016 dan mencadangkan sejumlah RM 44 juta
lagi disediakan bagi tahun 2017.
169. Program Tajaan Yuran Percuma bagi tahun
asas di UNISEL telah menghasilkan kejayaan di mana seramai 211 pelajar dapat
menikmati kemudahan ini dan dijangka jumlah pelajar akan meningkat kepada 1,000
orang pelajar pada tahun 2017.
170. Tambahan kepada usaha ini, Kerajaan
Negeri bersetuju memperuntukkan RM 8 juta untuk menaiktaraf infrastruktur dan
kemudahan pembelajaran di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
171. Untuk memperkasa pendidikan vokasional
yang akan membekalkan tenaga mahir kepada industri, Kerajaan Negeri
mencadangkan sejumlah RM 5 juta untuk program latihan teknikal dan vokasional
(TVET) di Kolej Antarabangsa INPENS.
Program Peduli Siswa
172. Bajet Persekutuan 2017 telah memotong
peruntukan sektor pendidikan tinggi daripada RM 13.38 bilion pada tahun 2016
kepada RM 12.13 bilion. Ini bermakna, peruntukan bagi sektor pengajian tinggi
telah mengalami penurunan sebanyak 9 peratus sekaligus menyebabkan hampir
kesemua universiti mengalami pengurangan peruntukan. Semua IPTA di Selangor
mengalami pemotongan antara 17 hingga 23 peratus bagi tahun 2017. Penguncupan
belanjawan dalam sektor pendidikan akan menggasir kesungguhan pengurusan
universiti untuk meningkatkan kecemerlangan akademik.
173. Sebagai sebuah negeri maju yang
berteknologi tinggi, inovatif dan kreatif, Selangor memerlukan tenaga kerja
berkemahiran dan berilmu. Gagasan ini perlu didukung dengan sokongan dan
bantuan pendidikan untuk pelajar-pelajar.
174. Sebagai usaha awal, Kerajaan Negeri
mencadangkan sejumlah RM 10 juta bagi membiayai pengajian anak-anak Selangor di
UIA, UKM, UPM dan UiTM menerusi Program Peduli Siswa. Program ini menawarkan
pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan
akademik.
Pembinaan & Menaiktaraf Sekolah Rendah
Agama (SRA)
Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri
memperuntukkan RM 42.9 juta untuk membina, menaiktaraf dan membaikpulih Sekolah
Rendah Agama (SRA) di seluruh Negeri Selangor.
Memartabat Golongan Huffaz
175. Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan
positif Maahad Tahfiz dalam melahirkan para huffaz yang menyuntik nilai-nilai
kerohanian dalam masyarakat dan sebuah negeri yang maju dan rencam. Justeru
itu, pendekatan mengintegrasikan pendidikan Al-Quran dengan sains dan teknologi
amat penting selari dengan tuntutan dan cabaran semasa.
176. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan
peningkatan peruntukan untuk Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat
kepada RM 5 juta. Peruntukan ini adalah untuk meneruskan Program Pengajian
Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Peringkat Diploma dan Ijazah di KUIS yang memberi
manfaat kepada 352 pelajar. Peruntukan ini juga akan dikembangkan untuk Program
Dermasiswa Huffaz yang melibatkan lebih kurang 1,000 orang pelajar di Maahad
Tahfiz Swasta di Negeri Selangor dan juga Program Ithbat Hafazan Selangor yang
melibatkan 200 peserta.
Pengupayaan SAR, SJK(C) & SJK(T)
177. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan
sejumlah RM 16 juta semenjak tahun 2013 bagi tujuan infrastruktur pendidikan di
Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T). Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR
dinaikkan kepada RM 9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM 7 juta dan
SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM 5 juta. Pada kesempatan ini, saya ingin
mengucapkan Deepavali Naal Valthukal kepada mereka yang menyambutnya atas
kesedaran mesej Deepavali iaitu, “light overcomes darkness, good overcomes
evil, hope overcomes despair”.
Mission School & SMJK
178. Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 25
buah Mission School dan 5 buah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) iaitu
SMJK Chung Hwa dan SMJK Kwang Hua di Klang, SMJK Yu Hua di Kajang, SMJK Yoke
Kuan di Sekinchan dan SMJK Katholik, Petaling Jaya yang belum pernah mendapat
sebarang bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri. Maka, bagi tahun 2017,
Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi membantu
pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah berkenaan.
Inisiatif Pendidikan Berteknologi
179. Kerajaan Negeri sedar akses kepada
pendidikan adalah hak yang perlu diberikan kepada semua rakyat. Kegagalan dalam
pendidikan boleh membawa kepada natijah putaran ganas kemiskinan. Lantaran itu,
kalangan ibu bapa yang berkemampuan sanggup berbelanja besar untuk menghantar
anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen bagi memastikan anak-anak mereka
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.
180. Maka, Kerajaan Negeri mencadangkan
inisiatif Tuisyen Atas Talian dan beberapa inisiatif pendidikan yang
menggunakan internet dilaksanakan pada tahun 2017 dengan cadangan peruntukan
sejumlah RM 5 juta.
Program PROGRESS
181. Program Boot Camp Akademik atau lebih
dikenali sebagai Programme On Graduate Employability Enhancement For Smart
Selangor (PROGRESS) dilaksanakan bagi memastikan graduan di Selangor memiliki
kebolehpasaran dalam aspek soft skills seperti komunikasi, interaksi, keyakinan
diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan.
182. PROGRESS telah mencatatkan kemajuan
dengan melatih 100 orang kumpulan perintis mulai April 2016. Daripada kumpulan
ini, 73 orang telah mendapat pekerjaan manakala 19 peserta sedang menjalani
on-the-job training.
183. Memandangkan suasana ekonomi negara
hari ini menyumbang kepada pengangguran di kalangan graduan, Kerajaan Negeri
melihat keperluan untuk membesarkan dukungan terhadap program PROGRESS bagi
tahun 2017 dengan menaikkan peruntukan daripada RM 1.5 juta kepada RM 5 juta
dengan sasaran 300 peserta. Kerajaan Negeri yakin PROGRESS akan membantu
mengurangkan pengangguran di kalangan graduan.
STRATEGI KEEMPAT : Membingkai Muafakat
Dialog Antara Agama
184. Selangor sebagai sebuah negeri yang
rencam dan kosmopolitan perlu dibingkai dengan muafakat sebagai teras perpaduan
dan saling hormat menghormati satu sama lain. Prinsip Keadilan dan
Kesederhanaan senantiasa diutamakan.
185. Bertolak dari kejayaan menangani isu
Al-Kitab, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil langkah untuk
menjalin persefahaman seperti yang dianjurkan oleh Al-Quran dalam Surah
al-Hujurat, ayat 13 :
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu
pelbagai bangsa dan puak supaya kamu berkenal-kenalan…”
186. Pada 14 Jun 2016 yang lalu, JAIS
bersama para imam dan ketua agama Kristian seramai 100 orang telah mengadakan
pertemuan dalam Program Iftar Muslim-Christian Unity.
187. Ini disusuli dengan Unity Interfaith
Program pada 26 Jun 2016 yang melibatkan pertemuan imam-imam dengan 120
pemimpin agama Kristian, Hindu, Buddha, Sikh dan Tao.
Pembangunan & Pengimarahan Masjid
188. Menginsafi perintah Allah SWT dalam Surah
Muhammad, ayat 7, Kerajaan Negeri meneruskan usaha untuk membangunkan masjid
sebagai pusat ibadat, kerohanian, pendidikan dan kemasyarakatan.
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu
membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian
kamu.”
189. Justeru itu, institusi masjid dan
kegiatan mengimarahkan masjid perlu disuburkan. JAIS dipertanggungjawabkan
untuk menguruskan hal ehwal Islam secara hikmah, amanah dan berkesan. Bagi
menjana Islam syumul di kalangan ummah, JAIS juga berperanan untuk memberikan
pendidikan agama yang kukuh kepada umat Islam di Negeri Selangor.
190. Prasarana dan kemudahan pendidikan
seperti masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz dan kompleks Islam harus
diselenggara dengan baik untuk mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif
dan selesa. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah
RM 128.5 juta bagi tujuan ini disediakan untuk JAIS bagi tahun 2017.
191. Daripada jumlah tersebut, RM 67.4 juta
diperuntukkan untuk pembangunan 11 buah masjid baharu termasuk Masjid Seksyen
24, Shah Alam; Masjid Kampung Klang Gate, Gombak dan Masjid Putra Heights,
Petaling serta membaikpulih masjid di daerah-daerah.
192. Kerajaan Negeri juga mengambil
perhatian tentang keperluan untuk membaikpulih dan menaiktaraf surau-surau
dengan peruntukan berjumlah RM 6.7 juta.
Yayasan Restu
193. Kejayaan Yayasan Restu menampilkan
risalah keindahan Islam telah meletakkan Negeri Selangor, khususnya Shah Alam,
dalam peta estetik dunia Islam dan memberikan nuansa serta warna khas kepada
penghayatan Islam di Nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan
toleransi.
194. Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan
dan peranan Yayasan Restu. Malah, usaha Yayasan Restu juga telah mendapat
perkenan DYMM Sultan Selangor yang telah mengisytiharkan Kompleks Taman Seni
Islam Selangor dinaiktaraf sebagai Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.
Selaras dengan pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan
sebanyak RM 800,000 bagi tahun 2017 untuk menampung kos penyelenggaraan
bangunan Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Peruntukan ini akan
disalurkan terus melalui peruntukan mengurus JAIS.
Komuniti Sikh
195. Kepelbagaian agama dan kaum adalah
keunikan yang dimiliki oleh Negeri Selangor. Semua kaum diberi perhatian yang
seadilnya dalam aspek kerohanian dan sosio-budaya oleh Kerajaan Negeri termasuk
komuniti Sikh.
196. Justeru, buat julung kalinya Kerajaan
Negeri bercadang untuk memperuntukkan sejumlah RM 500,000 kepada komuniti Sikh
di Selangor mulai tahun 2017 di bawah peruntukan Hal Ehwal Selain Islam bagi
tujuan menambahbaik kemudahan tempat beribadat dan melaksanakan pelbagai
program keagamaan.
Asrama Anak Pekerja Ladang
197. Kerajaan Negeri mahu generasi muda
masyarakat ladang berada dalam arus perdana pembangunan. Anak-anak pekerja
ladang perlu diupayakan supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan yang
berkualiti dan suasana pembelajaran dan pengajaran yang lebih kondusif. Justeru
itu, Kerajaan Negeri berhasrat menempatkan anak-anak pekerja ladang ini di
sebuah asrama yang mempunyai kemudahan yang baik dan selesa.
198. Selain daripada pembangunan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Desa Coalfield di Kuala Selangor yang sedang
dalam proses pelaksanaan oleh JKR Negeri Selangor, Kerajaan Negeri juga
bercadang untuk membangunkan sebuah asrama di atas tanah Kerajaan bersebelahan
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands di Seksyen 7, Shah Alam dengan
peruntukan sejumlah RM 4 juta.
Pengupayaan Usahawan Muda
199. Pembangunan bangsa bersatu padu yang
kita idamkan perlu melibatkan penyertaan aktif semua golongan dalam sektor
ekonomi yang dinamik. Generasi muda India mempunyai potensi besar untuk maju
sebagai usahawan dengan merebut pelbagai peluang perniagaan yang terbuka dalam
ekonomi Selangor yang rancak.
200. Penglibatan mereka dalam bidang
perniagaan akan menjana mobiliti golongan B40, mengurangkan kebergantungan,
melebarkan kemakmuran di kalangan golongan yang selama ini terpinggir dengan
memperkasakan mereka. Mereka perlu diberikan latihan dan pengupayaan untuk
membina kepakaran, memahami persekitaran perniagaan, pemasaran, penyediaan
cadangan projek, pendaftaran syarikat, e-pemasaran, pengurusan kewangan dan
lain-lain.
201. Untuk maksud ini, sebanyak RM 1 juta
akan diperuntukkan untuk Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor atau
Selangor Indian Entrepreneurship and Capacity Building Programme: Towards
Economic Resilience, Empowerment and Upward Mobility.
Wanita & Keluarga
202. Pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri
adalah bersifat inklusif gender. Saya mengucapkan tahniah kepada wanita
Selangor yang bersifat proaktif, senantiasa pantas merebut segala peluang untuk
memberdayakan kedudukan sosio-ekonomi hawa.
203. Menerusi program HIJRAH, 63.6 peratus
atau 16,209 peserta daripada 25,466 peserta adalah wanita. Penyertaan wanita
dalam program pembangunan usahawan turut diperkukuhkan melalui Pusat Wanita
Berdaya (PWB). Sementara itu, di sektor pendidikan pula, 65 peratus daripada jumlah
penerima Biasiswa Selangorku terdiri daripada pelajar perempuan. Ini
membuktikan Kerajaan Negeri sering memberikan perhatian kepada golongan hawa.
204. Wanita turut menjawat peranan penting
dan strategik dalam pentadbiran dan syarikat negeri. Selangor mempunyai seorang
wanita yang dilantik sebagai Pegawai Daerah dan dua orang Yang Dipertua PBT.
Sementara itu, lima buah agensi negeri adalah dipimpin oleh wanita. Terbaru,
Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS juga dilantik dikalangan wanita
profesional yang berpengalaman dan berwibawa dalam industri hartanah.
Institut Wanita Berdaya
205. Kerajaan Negeri percaya menerusi dasar
yang peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, kaum hawa di Negeri
Selangor akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran yang berubah dan
semakin mencabar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan
Institut Wanita Berdaya sebagai badan pemikir atau think tank khusus untuk
merencana dasar dan inisiatif baru yang lebih progresif demi memartabatkan wanita
di Selangor. Penubuhan badan ini dicadangkan dengan peruntukan awal sebanyak RM
1 juta.
206. Kerajaan Negeri juga berhasrat
memberdaya kaum hawa dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kerjaya dengan
cadangan peruntukan sejumlah RM 9 juta.
Program Mammogram
207. Pelaksanaan Skim Kesihatan Wanita
menerusi Program Mammogram Selangor telah berjaya memberikan perkhidmatan
kepada 22,505 wanita mulai tahun 2008. Sementara Putrajaya menghapuskan
peruntukan untuk program mammogram, Kerajaan Negeri mencadangkan untuk
meneruskan program ini dengan peruntukan RM 1 juta bagi tahun 2017 dan
mensasarkan seramai 5,000 wanita akan mendapat perkhidmatan ini.
STRATEGI KELIMA : Memacu Industri Sukan
& Pelancongan, Menyemarak Budaya & Intelektual.
208. Kerajaan Negeri melihat potensi
industri pelancongan di Negeri Selangor yang mampu menjana pendapatan baru dan
memperkenalkan Negeri Selangor ke khalayak dunia. Beberapa lokasi di pantai
barat Selangor mempunyai potensi untuk menarik pelancong termasuk Kelip-Kelip
Kampung Kuantan, Hutan Paya Bakau di Sungai Sepang Besar dan sawah bendang di
Sekinchan.
209. Untuk menggarap sepenuhnya potensi
industri pelancongan, Sky Mirror merupakan salah satu produk pelancongan yang
sangat berpotensi. Baru-baru ini, gambar Sky Mirror berhampiran Pulau Angsa,
Kuala Selangor, menjadi viral dalam media sosial.
210. Kawasan sepanjang lima kilometer dan
lebarnya tiga kilometer hanya boleh dilawati dua kali sebulan selama enam (6)
hari setiap kali munculnya anak bulan dan bulan penuh.
211. Ketika kemunculan anak bulan dan bulan
penuh ini, pengunjung berpeluang melihat apa sahaja yang dilihat di atas bumi
dan angkasa raya akan tercermin di atas permukaan air yang bersih dan jernih.
Maka, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) harus segera meningkatkan kemudahan
akses ke lokasi Sky Mirror bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri
Selangor.
212. Pelbagai produk pelancongan di Sekincan
telah menarik perhatian ribuan pengunjung pada setiap minggu. Memandangkan
kawasan itu merupakan salah satu daerah tumpuan pelancong, maka Kerajaan Negeri
bercadang mewujudkan sebuah Pusat Maklumat Pelancongan.
213. Kegiatan pelancongan yang semakin
rancak di Selangor turut mencipta peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong
yang terlatih. Untuk maksud itu, Tourism Selangor perlu memberdaya perkhidmatan
pemandu pelancong yang benar-benar memahami produk dan lokasi pelancongan di
Selangor.
214. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri
mencadangkan peruntukan sebanyak RM 7.75 juta untuk industri pelancongan
Selangor.
Sports Tourism
215. Pada 8 Mac 2015, saya berjaya menyertai
marathon, International Malaysia Women’s Marathon, salah satu daripada 5
marathon kaum hawa di dunia. Acara seperti ini dan lain-lain acara sukan
seperti Paragliding Championship Accuracy di Bukit Jugra, Viper Challenge dan
Raja Muda Selangor International Regatta merupakan antara acara yang boleh
menarik pelancong.
216. Kerajaan Negeri akan memberikan
perhatian terhadap pelancongan sukan melalui penciptaan dan penganjuran acara
yang menarik penyertaan masyarakat dunia.
217. Bagi tahun hadapan, Kerajaan Negeri
bercadang untuk meluaskan skala program pelancongan sukan dengan penganjuran
Selangor International Eco-Challenge dengan memasukkan acara sukan lain seperti
Marathon Sungai Klang.
Persediaan SUKMA 2018
218. Industri sukan merupakan antara sektor
ekonomi yang mampu mencipta peluang pekerjaan dan pulangan ekonomi kepada
negeri. Sebagai sebuah negeri maju, Selangor harus segera menjadi peneraju
pembangunan industri sukan yang profesional dan mampu bersaing di arena sukan
dunia.
219. Negeri Selangor telah melakar kejayaan
dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-18 di Sarawak pada bulan Ogos
yang lalu. Selangor meraih 59 pingat emas, 73 perak, 63 gangsa menjadikan
jumlah keseluruhan 195 pingat.
220. Pasukan renang Selangor telah
memonopoli acara renang di SUKMA dan merupakan penyumbang pingat terbanyak buat
kontinjen Selangor dengan meraih 20 pingat emas, 15 perak dan 9 gangsa.
221. Kejuaraan tersebut adalah hasil
daripada perancangan yang strategik, latihan yang bersepadu, tenaga jurulatih
yang mahir, kerjasama yang baik dengan persatuan-persatuan sukan serta para
pegawai yang mempunyai visi untuk memartabatkan industri sukan Negeri Selangor.
222. Kesinambungan daripada kejuaraan SUKMA
yang lalu, Majlis Sukan Negeri telah merangka fasa-fasa latihan sebagai
persediaan awal menuju SUKMA ke-19 di Negeri Perak pada tahun 2018. Untuk
program latihan yang akan bermula seawal tahun 2017, Kerajaan Negeri
mencadangkan peruntukan sejumlah RM 3.35 juta.
Insentif Atlet Paralimpik
223. Negara melonjak gembira dengan
pencapaian cemerlang anak Selangor dari Gombak, Muhammad Ziyad Bin Zolkefli,
yang telah merangkul pingat emas dalam acara lontar peluru di Sukan Paralimpik
Rio, Brazil 2016. Negara juga berbangga kerana Ziyad telah memecah rekod dunia
dalam acara tersebut. Sebagai mengiktiraf kejayaan Ziyad, Kerajaan Negeri dan
rakyat Selangor menyambutnya dengan insentif tunai sebanyak RM 150,000 dan
sebuah rumah bernilai RM 400,000.
224. Sesungguhnya, kejayaan yang dicatatkan
ini membuktikan bahawa atlet Selangor berpotensi untuk bersaing dan berjaya di
arena antarabangsa. Maka sebagai rangsangan kepada cita-cita ini, Kerajaan
Negeri mencadangkan sejumlah RM 14 juta bagi 2017 khusus untuk menaiktaraf
infrastruktur sukan sedia ada serta program pembangunan sukan di bawah Majlis
Sukan Negeri Selangor (MSNS).
Kejohanan Le Tour de Selangor
225. Negeri Selangor berhasrat untuk
menganjurkan Kejohanan Le Tour de Selangor pada tahun 2017 dengan kerjasama
Persatuan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Selangor.
226. Kejohanan yang akan melibatkan peserta
dari negara-negara jiran dan antarabangsa ini akan merentasi semua daerah di
Negeri Selangor. Ini sekaligus dapat mempromosikan produk-produk pelancongan
setiap daerah dan memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Kerajaan Negeri
mencadangkan peruntukan sebanyak RM 2 juta untuk tujuan penganjuran kejohanan
Le Tour de Selangor.
Taman Tasik Shah Alam
227. Taman Tasik Shah Alam merupakan mercu
tanda Bandaraya Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor. Taman ini telah mula
dibina pada tahun 1981 dan siap sepenuhnya pada tahun 1985. Taman ini adalah
hasil cetusan idea Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sempena 25
tahun pemerintahan Baginda.
228. Taman Tasik yang dibangunkan oleh PKNS
dan direkabentuk oleh Mr. Fumiaki Takano dengan mengambil konsep dan rekabentuk
Tasik Hakone, Jepun ini terdiri daripada 3 rangkaian tasik buatan: Tasik Barat
(62.6 ekar), Tasik Tengah (29.2 ekar) dan Tasik Timur (36 ekar) yang meliputi
kawasan seluas 127.8 ekar.
229. Kewujudan Taman Tasik ini memberi
kemudahan rekreasi bukan sahaja kepada masyarakat Shah Alam tetapi juga
pengunjung dari luar. Namun begitu, Kerajaan Negeri memandang serius usaha
penyelenggaraan dan pembaikpulihan Taman Tasik Shah Alam. Untuk maksud itu,
MBSA dipertanggungjawabkan untuk menyegerakan kerja-kerja menaiktaraf dan
pengindahan estetika di Taman Tasik Shah Alam.
230. MBSA juga disarankan untuk memulakan
Hari Tanpa Kenderaan sebagai salah satu usaha awal mengurangkan pelepasan
karbon di Bandaraya Shah Alam selari dengan Inisiatif Hijau Shah Alam.
Taman Persahabatan Selangor-Jepun
231. Hubungan simbiotik dengan para pelabur
asing selama lebih dari tiga dekad telah menjadikan Negeri Selangor sebagai
gedung kuasa ekonomi negara. Komuniti dan pelabur-pelabur Jepun telah sekian
lama setia kekal menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan dan
rumah kedua mereka.
232. Untuk menghargai sumbangan besar
masyarakat Jepun kepada pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri ingin
mencadangkan pembinaan sebuah taman di Shah Alam yang akan memperkenalkan
ciri-ciri estetika Jepun yang akan dinamakan sebagai Taman Persahabatan
Selangor-Jepun. Taman tersebut merupakan simbol kepada kerjasama dua hala dalam
bidang ekonomi dan kebudayaan.
Kebudayaan & Projek Pencerahan Selangor
233. Kebudayaan bukan sahaja sendi negeri
ini yang sedang giat membangunkan ekonomi, namun ianya juga adalah ruh dan
paras rupa bangsa. Di saat Selangor bergerak pantas untuk menjadikan negeri ini
sebagai negeri serantau terutama dalam sektor ekonomi, iltizam tersebut juga
harus disertakan dengan pemantapan sektor kebudayaan.
234. Selangor hari ini sudah bersiap siaga
untuk memainkan peranan lebih besar. Untuk maksud itu, Kerajaan Negeri akan
menganjurkan sebuah Festival Bahasa dan Persuratan Melayu Serantau pada tahun
2017 dengan penglibatan semua genre sastera dan persuratan Melayu.
235. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan
Projek Pencerahan Selangor dengan menterjemah karya agung ke dalam Bahasa
Melayu yang akan meningkatkan korpus buku-buku bernilai tinggi ke dalam Bahasa
Melayu.
236. Untuk maksud kebudayaan dan Projek
Pencerahan Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM 5
juta.
F. PENUTUP
Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya
237. Sebagai sebuah negara demokratik, kita
harus menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Negeri
berpendirian bahawa Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan
Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah pada 15 September 2016 khususnya
berkaitan dengan Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip yang ditetapkan di bawah para 2 Jadual
Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
238. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa
penyisihan pengundi dari kawasan mereka tanpa alasan yang sah adalah satu
penafian hak ke atas rakyat kepada wakil-wakil dan perwakilan pilihan mereka.
239. Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak akan
berganjak dengan pendirian untuk menggunakan ruang perlembagaan melalui proses
perundangan bagi membantah cadangan SPR ini. Kita tidak mahu SPR menjadi alat
untuk mempertahankan kepentingan penguasa.
Pengupayaan Veteran Angkatan Tentera
Malaysia (ATM)
240. Kerajaan Negeri amat menghargai peranan
dan pengorbanan anggota keselamatan khususnya veteran Angkatan Tentera Malaysia
(ATM). Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa daripada sejumlah 378,274 orang
bekas tentera di seluruh negara, seramai 263,494 orang merupakan veteran
angkatan tentera yang tidak berpencen.
241. Untuk maksud melindungi dan memelihara
kebajikan lebih 28,000 veteran angkatan tentera yang bermastautin di Negeri
Selangor, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM 1 juta diperuntukkan bagi
tujuan program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera termasuk
membantu keperluan perubatan dan kebajikan 89 orang veteran cedera perang di
Negeri Selangor. Sebanyak RM 500,000 akan diperuntukkan terus ke dalam Tabung
Pahlawan ATM.
242. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung
tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki
sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga. Maka, LPHS telah menetapkan kuota
10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada
RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform
berkuatkuasa 1 September 2016.
Pengecualian Cukai Taksiran
243. Salah satu inisiatif peduli Kerajaan
Negeri untuk menyantuni pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung
tradisi, kampung baru dan kampung bagan pada tahun 2016 adalah dengan
mengecualikan cukai taksiran. Peniaga-peniaga kecil juga senantiasa mendapat
perhatian daripada Kerajaan Negeri dengan menikmati pengecualian fi lesen
perniagaan pada tahun 2016. Kedua-dua inisiatif ini memberi impak kewangan
kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 62 juta.
244. Memandangkan rakyat masih dihisap darah
mereka melalui pelaksanaan cukai GST dan Bajet 2017 Putrajaya yang mengikat
perut rakyat, maka pada tahun 2017, Kerajaan Negeri terpanggil untuk meneruskan
program pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan bagi kumpulan sasar
yang sama. Kerajaan Negeri meminta semua PBT mengambil tindakan awal bagi
memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017.
Imam Pemangkin Pembangunan Ummah
245. Sejajar dengan arus perkembangan zaman,
peranan imam bukan hanya memimpin ibadat di masjid dan surau tetapi merangkumi
aspek pembangunan ummah seperti pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan.
Menyedari tanggungjawab imam yang semakin mencabar, elaun imam telah dinaikkan
kepada RM 900 mulai tahun 2015 sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri
terhadap imam-imam di seluruh Negeri Selangor.
246. Menyedari iltizam imam-imam untuk terus
mengimarah institusi masjid sebagai wahana memberdaya ummah, maka mulai Januari
2017, Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan elaun tambahan sebanyak RM 300
sebulan menjadikan jumlah elaun bulanan imam sebanyak RM 1,300. Seramai 734
orang imam akan menerima manfaat ini dengan peruntukan sejumlah RM 3.96 juta.
Ketua Kampung Agen Perubahan
247. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan
peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh 368 orang Ketua Kampung Tradisi dan
78 orang Ketua Kampung Baru dan Kampung Bagan. Ketua Kampung merupakan pemimpin
akar umbi yang dekat dengan denyut nadi rakyat dalam membantu memperjelaskan
dasar-dasar Kerajaan Negeri, memupuk perpaduan dan keharmonian masyarakat desa.
Justeru, sebagai menghargai khidmat bakti Ketua-Ketua Kampung Tradisi, Kampung
Baru dan Kampung Bagan, Kerajaan Negeri mencadangkan kenaikan elaun Ketua
Kampung sebanyak RM 300 kepada RM 1,200 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak
RM 6.4 juta. Kerajaan Negeri juga mencadangkan kenaikan elaun Ketua Komuniti
India sebanyak RM 200.
Pemerkasaan Perkhidmatan Ahli Dewan Negeri
248. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, kita
berada di dewan ini kerana demokrasi.
Kalau tidak kerana hayat,
Tidak usia memanjat dini;
Kalau tidak kerana rakyat,
Tidak kita berada di sini.
249. Peruntukan Ahli Dewan Negeri telah
disemak beberapa kali untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Pada
tahun 2016, Ahli Dewan Negeri Kerajaan diperuntukkan sejumlah RM 700,000
setahun untuk menjalankan projek-projek kecil bagi meningkatkan infrastruktur
awam serta menjalankan aktiviti mesra rakyat di kawasan masing-masing.
Manakala, Ahli Dewan Negeri Pembangkang menikmati peruntukan sebanyak RM
200,000 setahun.
250. Untuk Belanjawan 2017, saya ingin
mencadangkan peruntukan Ahli Dewan Negeri Kerajaan dinaikkan kepada RM 800,000
setahun.
251. Kerajaan Negeri akan meneruskan
peruntukan untuk Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan Negeri Selangor sejumlah RM
300,000 setahun.
Penjawat Awam Tulang Belakang Pentadbiran
252. Setiap manusia mempunyai tulang
belakang. Tulang belakang yang kuat membolehkan kita berdiri tegak dan gagah
serta berlari pantas. Penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negeri.
253. Kerajaan Negeri Selangor bersyukur dan
bertuah kerana mempunyai pasukan penjawat awam yang kuat, profesional dan
berintegriti. Di bawah pimpinan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri,
pegawai-pegawai pantas bekerja, belum dipanggil sudah datang, belum suruh sudah
dibuat. YB Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, asyik membelek buku kira-kira,
memerah otak untuk menambah hasil negeri dan memerangi ketirisan.
254. Dato’ Bandar dan Yang Di-Pertua Majlis
Daerah turun ke lapangan, bergeser bahu dengan rakyat, merayau-rayau di
sepanjang jalan, kalau-kalau ada jalan berlubang; mengintai-intai lorong,
kalau-kalau ada sampah yang tidak dipungut. Pegawai Daerah memerah keringat dan
membanting tulang memungut hasil negeri dan menyantuni rakyat dengan kasih
sayang. Kerajaan Negeri tidak pernah lupa sumbangan dan kerjasama jabatan dan
agensi Kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri dalam membangun Negeri
Selangor. Inilah tulang belakang pentadbiran negeri. Walhasil, tahap kepuasan
rakyat terhadap prestasi Kerajaan Negeri melonjak kepada 73 peratus.
255. Sebagai menghargai kejayaan ini,
Kerajaan Negeri bersetuju memberikan bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan
gaji. Pembayaran sebanyak satu setengah bulan telah pun dilakukan pada 1 Julai
2016 yang lalu. Untuk melengkapi bantuan khas kewangan tersebut, setengah bulan
lagi akan dibayar pada 20 Disember 2016 untuk membantu penjawat awam membuat
persediaan persekolahan anak-anak.
256. Pembayaran bantuan khas kewangan dua
bulan gaji memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM 57.25
juta. Barang diingat, pembayaran ini menggunakan peruntukan tahun ini, dan
dibayar tahun ini.
Tuan Speaker,
257. Tahun 2017 kita mengemukakan
perbelanjaan yang berhemah. Kita tidak mengikat perut rakyat. Kita berbelanja
tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan. Jika kita tidak
mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa ini tidak akan punya masa
hadapan.
258. Tatkala saya mengambilalih pentadbiran
negeri pada bulan September 2014, peruntukan pembangunan berada pada tahap 36.7
peratus. Peruntukan pembangunan 2015 ditambah kepada 48 peratus dan
ditingkatkan lagi kepada 50 peratus untuk tahun 2016. Kita perlu mengambil
keputusan yang berani untuk Selangor terus maju, mengekalkan diri sebagai
negeri peneraju di Malaysia dan menjadi sebuah negeri yang berdaya saing dengan
wilayah-wilayah di rantau ini.
259. Mengungkap kata-kata Brutus dalam drama
Julius Caesar karangan William Shakespeare:
There is a tide in the affairs of man.
Which, taken at the flood, leads on to fortune;
Omitted, all the voyage of their life
Is bound in shallows and in miseries.
On such a full sea are we now afloat,
And we must take the current when it serves,
Or lose our ventures.
260. Rizab negeri yang kini mencecah RM 3.6
bilion adalah ibarat air pasang yang dibayangkan oleh Shakespeare. Maka, kita
jangan teragak-agak dan lengah untuk mengangkat sauh dan mengembangkan layar,
meluncur kapal negeri sebagai sebuah smart state dan negeri serantau.
261. Para pelabur suka melabuh di Selangor
kerana pentadbiran negeri ini ibarat air jernih, bila dilihat nampak terus ke
dasarnya. Tidak ada kekeruhan yang menutup onak dan duri rasuah dan korupsi.
Bukan sahaja syarikat gergasi yakin melabur di Selangor, peniaga kecil terus
diupaya dan dipimpin.
262. 987 orang peneroka Rancangan Revolusi
Hijau Peringkat II dan III di Ijok bergembira mendapat kediaman baru yang
selesa ekoran kejayaan Kerajaan Negeri memulihkan dan menyiapkan projek
tersebut bersama syarikat swasta.
263. Model kejayaan Selangor dalam memacu
pertumbuhan bersekali menjamin integriti dalam pentadbiran telah menggamit
pelabur-pelabur asing dan pemimpin dunia datang ke Selangor dan menjalin
kerjasama ekonomi. Pemimpin Singapura minat bicara soal keselamatan rantau di
Laut China Selatan. Saudagar Jepun petah bicara peluang pelaburan. Pemimpin
Britain tertarik dengan kecekapan pentadbiran. Pemimpin dunia melihat Selangor
sebagai model kejayaan dan terus menjadi tumpuan. Alhamdulillah.
264. Kejayaan kita mula dicemburui oleh
gerombolan perasuah dan anti kesejahteraan rakyat. Mereka menabur fitnah,
merekayasa tohmahan dan memesong fakta. Kita akan lawan segala petualang,
kelapa komeng dan pencemburu yang sakit hati.
265. Kita akan lawan dengan pencerahan,
demokrasi dan suara rakyat. Kita akan lawan sebarang dakyah yang berniat untuk
melunturkan kuasa rakyat dan menodai demokrasi. Kita mendampingi BERSIH kerana
BERSIH adalah sifat-sifat yang mulia dan terpuji. Kita akan terus menjamin hak
demokrasi rakyat.
266. Kita menyeru kepada perpaduan, kita
bekerja untuk kesentosaan dan kita berazam untuk keadilan.
Kain tekat sultan perkasa,
Maharani cantik di dalam taman;
Negeri molek rakyat sentosa,
Pemimpin adil dikenang zaman.
Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan.