Kenyataan media Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin bersama Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair tentang kempen #KamiLayak #KamiSokong, di Petaling Jaya pada hari Khamid 3 Mac 2017.
Pemberdayaan Wanita Manfaat Bagi Seluruh Rakyat Malaysia
Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac menandakan sambutan bagi seluruh wanita dan peranannya dalam masyarakat, arena politik, tempat kerja dan keluarga. Tahun ini, bersempenan dengan Hari Wanita Sedunia, kami bekerjasama untuk menganjurkan sebuah kempen sepanjang satu bulan yang diberi nama ‘#KamiLayak #KamiSokong’ bagi meningkatkan kesedaran tentang hak-hak wanita di Malaysia, selain mengendalikan bengkel-bengkel yang memberi kemahiran praktikal kepada warga wanita. (Lihat di bawah untuk senarai penganjur yang terlibat dalam kempen ini).
Ramai yang merasakan bahawa lelaki dan wanita sudah sama-sama setara di Malaysia, memandangkan wanita boleh mendapatkan pendidikan, bekerja serta mempunyai hak memilih dan dipilih, dalam konteks pilihanraya. Pun begitu, masih ada banyak ruang penambahbaikan bagi merapatkan renggang gender di Malaysia.
World Economic Forum (WEF) menerbitkan Laporan Indeks Jurang Gender Sedunia (Global Gender Gap Index Report) setiap tahun bagi menilai jurang gender mengikut negara, ‘mengikut bagaimana mereka menggunakan sumber wanita, berasaskan indikator-indikator ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.’ Pada tahun 2016, laporan tersebut meletakkan Malaysia di tangga ke-106 daripada 144 negara di dunia, menempatkan kita di belakang bukan sahaja negara Barat tetapi juga Kazakhstan (51), Azerbaijan (86), Tajkistan (93), Bangladesh (72), India (87), China (99), Indonesia (88), Vietnam (65), Thailand (71) dan Brunei (103).
Walaupun tanpa halangan yang jelas, diskriminasi langsung dan corak halangan terlindung yang begitu rumit menghalang wanita di Malaysia mencapai potensi terbaik dalam lapangan ekonomi dan politik. Kami akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan dalam tempoh sebulan mendatang bagi membincangkan isu dan dasar bekait wanita dalam ekonomi, politik dan masyarakat secara keseluruhan di Malaysia.
Kesetaraan gender bukan hanya soal hak wanita malah merupakan soal manfaat keseluruhan bagi sesebuah negara. Memetik kata bekas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, “Dunia tidak akan mencapat 100% sasarannya jika 50% warganya tidak dapat mencapai potensi terbaik mereka.” Laporan WEF menunjukkan kaitan jelas antara indeks kesetaraan gender dengan KDNK per-kapita, Indeks Persaingan Gloal dan Indeks Pembangunan Insan. Dengan kata lain, negara dengan kesetaraan gender yang lebih baik adalah selalunya lebih kaya, lebih berdaya saing dan secara keseluruhan merupakan negara yang lebih baik untuk didiami. Sementara korelasi bukanlah merupakan punca, trend tersebut kelihatan konsisten dengan bertambahnya bukti yang menunjukkan pemberdayaan wanita membawa kepada pengunaan modal insan dengan lebih cekap, dan bahawa mengecilkan jurang gender boleh memperbaiki pertumbuhan ekonomi.
Malaysia perlu bekerja dengan lebih serius ke atas kesetaraan gender bagi merapatkan renggang yang ada, dan ia tidak dapat dilakukan tanpa sokongan kedua-dua kaum wanita dan lelaki. Justeru itu, kami memilih nama kempen yang mempunyai dua elemen: #KamiLayak, bagi para wanita menyedari tentang hak mereka dan mempertahankannya, serta #KamiSokong bagi para lelaki menyoong hak setara dan lapangan sama rata antara lelaki dan wanita di Malaysia. Kami akan melancarkan kempen medial sosial #KamiLayak #KamiSokong, di mana kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk merakamkan video pendek (15 ke 60 saat) dan berkongsi pendapat mereka tentang hak-hak wanita di akaun media sosial masing-masing, kemudian mencalonkan dua rakan mereka untuk melakukan perkara yang sama, bagi menyokong hak wanita di Malaysia, bersempena Hari Wanita Sedunia. Video tersebut haruslah menyertakan kata-kata #KamiLayak bagi wanita, dan #KamiSokong bagi lelaki.
Di samping kempen media sosial, kami juga akan menganjurkan pelbagai forum dan bengkel berkaitan wanita sepanjang bulan Mac di beberapa tempat di Selangor seperti yang tertera dalam senarai. Marilah kita meraikan Hari Wanita Sedunia dengan penuh makna tahun ini!
Pengajur dan/atau penaja kempen:
Pusat Khidmat ADUN Damansara Utama, Pusat Khidmat Rakyat ADUN Subang Jaya, Pusat Khidmat DUN Kinrara, Pusat Komuniti Rakyat Serdang, Pusat Wanita Berdaya Damansara Utama, Pusat Wanita Berdaya Seri Kembangan, Pusat Wanita Berdaya Puchong , Pusat Wanita Berdaya Subang Jaya, Ahli Majlis MPKJ and Ahli Majlis MBPJ.