16 Mac 2023 (Bahasa Malaysia Version)
m/s 246, B23, 050100 m/s 254, P23, 07200 Pengawaseliaan Alam Sekitar
1. Saya ingin menarik perhatian YB2 sekalian perbelanjaan antara dua kod ini dan bandingkan.
2. Kod 050100 Alam Sekitar adalah perbelanjaan untuk Jabatan Alam Sekitar sebanyak RM 115.45 juta manakala kod 07200 adalah perbelanjaan untuk membayar syarikat konsesi PSTW di bawah Environmental Quality Monitoring Program (EQMP) sebanyak RM 86.7 juta.
3. Saya telah berkali-kali membangkit dalam dewan ini sejak penggal yang lalu bahawa kerajaan perlu merunding semula perjanjian konsesi EQMP.
4. Perjanjian konsesi 15 tahun ini ditandatangani pada 2017 degan jumlah nilai RM 952 juta.
5. Objektif asal EQMP ialah untuk melapor status kualiti alam sekitar, menyedia input bagi penguatkuasaan JAS dan memberi amaran awal pencemaran.
6. Walau bagaimanapun, daripada pengalaman insiden Sungai Kim Kim, saya mendapati bahawa EQMP tidak mencapai objektifnya.
7. Selain itu, EQMP tidak membantu banyak tindakan penguatkuasaan JAS - kurang daripada 5% tindakan penguatkuasaan JAS adalah berasal dari amaran EQMP.
8. Mengapa kita perlu bayar RM60-80 juta setiap tahun kepada syarikat swasta yang tidak mencapai objektif utama apabila JAS tahun demi tahun tidak mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk menjalankan tugas mereka dalam pengawalan pencemaran.
9. Jangan kita kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.
10. Jika menteri pergi cawangan-cawangan JAS, menteri akan mendapati JAS tidak ada peralatan yang mencukupi ataupun sudah uzur, kenderaan pun kadang-kala tak cukup perlu pinjam dari PBT untuk operasi dll.
11. Ini adalah kenapa saya mula mengkaji semula perjanjian konsesi EQMP pada 2019, masa saya menteri MESTECC, supaya kita boleh menjimatkan duit melalui rundingan semula dan salurkan penjimatan ini untuk meningkatkan jentera JAS.
12. Malangnya, saya tidak sempat habiskan rundingan semula sebelum Langkah Sheraton.
13. Saya telah sendiri membaca perjanjian konsesi yang setebal 8cm ini. Perjanjian ini sebenarnya ada exit clause yang munasabah dan hanya kira-kira 25% bayaran tahunan adalah fixed cost.
14. Penjimatan dari rundingan semula adalah sekurang-kurangnya RM 20 juta setiap tahun.
15. Oleh itu Puchong berharap menteri boleh memulakan balik rundingan semula dan jika berjaya dapat memberi suntikan kewangan besar kepada JAS tanpa melibatkan lebih banyak duit rakyat.
m/s 248, B23, 071200, MGTC RM 4 juta
1. MGTC telah dijenamah semula dari Malaysian Green Technology Corporation kepada Malaysian Green Technology and Climate Change Center pada October 2019. Tujuannya ialah untuk menjadikan MGTC, Pusat Perubahan Iklim Negara, National Climate Change Center.
2. Salah satu peranan baru penting sebagai MGTC ialah menjadi badan penyelaras tindakan perubahan iklim antara pelbagai kementerian dan kerajaan kerana isu perubahan iklim adalah multifaceted.
3. Puchong ingin tahu adakah MGTC telah pun memain peranan ini? Siapakah sekretariat untuk Malaysia Climate Change Action Council?
4. Selain itu, Puchong ingin mendapatkan status terkini kerjasama di bawah inisiatif UK Partnering for Accelerated Climate Transitions Cooperation (UK-PACT).
m/s 254, P23, 13900, Rancangan Kawalan dan Isyarat Bahaya Banjir
1. Puchong ingin mendapatkan status pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB).
2. Untuk makluman dewan yang mulia ini, PRAB telah diwujudkan selepas banjir besar di 8 negeri dan pada Disember 2014 yang merekodkan 25 kematian, 500,000 orang perpindahan dengan kos kemusnahan RM 3 bilion.
3. Antara objektif utama PRAB adalah untuk meningkatkan keupayaan sistem amaran dan hebahan kepada agensi berkepentingan dan orang awam dari 6 jam kepada 2 hari lebih awal untuk banjir monsun dan 1 hingga 3 jam lebih awal untuk banjir kilat.
4. Tetapi rasanya banjir-banjir besar masih berlaku tanpa amaran.
5. Puchong ingin mendapatkan perincian projek ini.
6. Adakah projek ini telah gagal mencapai objektif asalnya? Berapakah perbelanjaan projek ini?
m/s 255, P23, 80000 Projek Pembentungan Negara
1. Puchong ingin tahu apakah status terkini Langat Centralized Sewage Project.