Thursday, September 5, 2024

Parliamentary Debate on Auditor General's Report 2024

 9 July 2024 (Bahasa Malaysia version)


1.    Terima kasih Tan Sri Speaker kerana izinkan Puchong untuk turut serta dalam Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara.

 

Tan Sri Speaker,

 

2.    Puchong telah membaca ringkasan kedua-dua laporan ketua audit negara dan mendapati bahawa antara 9 aktiviti dan 8 syarikat persekutuan yang diaudit oleh Ketua Audit Negara, lebih daripada separuh, iaitu 5 aktiviti dan 5 syarikat persekutuan tidak mencapai sasaran atau objektif yang ditetapkan oleh kerajaan. 

 

3.    Selain itu, Puchong juga dapati bahawa yang lain kebanyakannya hanya setakat mencapai objektif dan ketua audit negara jarang menggunakan perkataan “baik” dalam rumusan audit beliau untuk setiap audit yang dijalankan dalam kedua-kedua laporan ini.

 

4.    Ini adalah sangat menyedihkan.

 

5.    Malaysians deserve the best from their government, not just mediocrity. Rakyat Malaysia berhak mendapat yang terbaik daripada kerajaan mereka, bukan sekadar ok-ok sahaja.

 

6.    Dengan ini, Puchong ingin menyeru YAB Perdana Menteri dan kerajaan untuk menyuntik spirit of pursuit of excellence - semangat untuk mengejar kecemerlangan di seluruh jentera kerajaan.

 

Tan Sri Speaker,

 

7.    Antara aktiviti yang tidak mencapai objektif termaksud: i. pengurusan River of Life, ii. pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), iii. pengurusan projek bekalan air luar bandar Sarawak dan Sabah, iv. pengurusan kediaman berstrata di Wilayah Persekutuan bagi pengeluaran serentak pemilikan kosong (VP) dan hak milik strata dan akhirnya, v. pengurusan air negara.

 

8.    Antara syarikat persekutuan yang tidak mencapai objektif termaksud: i. Majlis Profesor Negara, ii. Rangkaian Hotel Seri Malaysia, iii. MARA Inc, iv. Pembangunan Sumber Manusia Berhad, dan v. i2M Ventures Sdn Bhd.

 

9.    Soalan Puchong ialah selepas teguran audit yang kata tidak mencapai objektif, tadbir urus yang tidak baik, dll, adakah kementerian-kementerian yang terlibat ini akan mengambil tindakan-tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab?

 

10. Dengan pendek kata, will any head roll?  (dengan izin)

 

11. Seterusnya, Puchong ada beberapa soalan berkenaan dengan isu-isu berbangkit di 2 laporan ini:

 

a.    Pertama, untuk Projek River of Life: ketua audit negara telah melaporkan hanya 50 daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaiktaraf. Puchong ingin tahu apakah perancangan PETRA untuk loji-loji rawatan yang sepatutnya dinaiktaraf tetapi sekarang tidak? 

 

b.    Kedua, walaupun pengurusan program infrastruktur jalur lebar telah mencapai sasaran kerajaan, ketua audit negara melaporkan bahawa pengurusan langganan point of presence (PoP) sekolah antara KK dan KPM tidak diselaraskan di mana,

                                      i.     99% daripada 599 sekolah masih belum melanggan rangkaian internet projek PoP;

                                     ii.     337 (56.4%) daripada 597 sekolah tidak menggunakan teknologi fiber walaupun infrastruktur PoP telah disediakan.

 

Apakah tindakan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Malaysia supaya sekolah-sekolah boleh memanfaatkan projek jaringan jalur lebar kerajaan?

 

Tan Sri Speaker,

 

12. Seterusnya, Puchong ingin secara spesifik tanya 4 soalan berkenaan dengan HRDCorp

 

a.    Satu, ketua audit negara telah melaporkan HRD Corp telah melabur dana berlebihan daripada levi yang dikutip sejumlah RM3.727 bilion setakat 30 Jun 2023 tetapi pada masa yang sama, bagi tahun 2020 hingga 2023, HRD Corp telah menerima geran peruntukan daripada MOF dan KESUMA berjumlah kira-kira RM400 juta untuk pelaksanaan 13 program latihan dengan tujuan penggalakan dan pembangunan sumber manusia.

 

Jika HRD Corp sudah ada lebihan berbilion untuk pelaburan, kenapa kerajaan perlu memberi peruntukkan lagi untuk latihan dan pembangunan sumber manusia?

 

b.    Kedua, apakah tindakan HRD Corp bagi levi tunggakan yang berjumlah RM205 juta?

 

c.     Ketiga, bagaimana pula dengan dana yang dibazirkan dengan  seramai 3,726 peserta yang telah mengikuti latihan melebihi sekali di bawah skim yang sama melibatkan bayaran berjumlah RM51.69 juta dan 234 permohonan yang meragukan bagi Skim Gerak Insan Gemilang bagi tempoh tahun 2020 hingga 2023 dengan menggunakan nama dan nombor kad pengenalan yang sama berulang kali?

 

d.    Keempat, HRD Corp perlu jelaskan kenapa proses pembayaran deposit bagi pembelian hartanah Menara Ikhlas berjumlah RM120 juta adalah tidak teratur dan tidak selaras dengan klausa perjanjian.

 

13. Secara keseluruhannya, ketua audit negara telah melapor dan saya memetik di sini: “amalan tadbir urus korporat PSMB adalah tidak memuaskan. Terdapat tindakan dan keputusan yang diambil oleh pengurusan PSMB tidak mematuhi prosedur dan tidak menjaga kepentingan PSMB dalam mencapai fungsi penubuhannya.”

 

14. Soalan terakhir saya ialah kenapa top management HRD Corp masih lagi bertugas? Dengan salah laku yang begitu terang, mereka yang bertanggungjawab sepatutnya digantung atau sekurang-kurangnya dicutikan sementara menunggu siasatan dijalankan.