SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:
(a) apakah dasar perolehan awam berkenaan dengan syarat local content (peratus kandungan produk atau servis mesti dihasilkan di Malaysia); dan
(b) adakah audit berkala diadakan untuk memastikan perolehan perolehan kerajaan memenuhi syarat tersebut.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
a. Kementerian Kewangan telah mewujudkan Pekeliling Perbendaharaan/Perolehan Kerajaan (PP/PK) 1.4 berhubung Dasar Bahan, Barangan Dan Perkhidmatan Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan. Dasar barangan tempatan adalah bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri tempatan melalui penggunaan bahan/barangan tempatan dan penggunaan perkhidmatan syarikat tempatan. Semua perolehan Kerajaan termasuk bekalan, perkhidmatan, perunding dan kerja hendaklah mematuhi dasar barangan tempatan.
Bagi peratusan kandungan produk atau perkhidmatan, mestilah merujuk kepada agensi yang berkaitan seperti yang telah dinyatakan dalam PP/PK 1.4 bagi penentuan peratus kandungan produk atau servis yang mesti dihasilkan di Malaysia.
b. Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) telah menjalankan lawatan pematuhan naziran secara tahunan bermula tahun 2010 bagi Kementerian/Agensi yang dipilih. Sebanyak 116 sesi lawatan naziran telah dilaksanakan di Kementerian/Agensi bagi memastikan peraturan semasa yang berkuat kuasa dipatuhi termasuklah syarat berkaitan local content.
Sekian, terima kasih.