Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Home Affairs| 24 May 2023

24 May 2023, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah permohonan dan kelulusan Malaysia My Second Home (MM2H) dari tahun 2018 ke 2022 dan Premium Visa Program (PVIP) sejak permulaannya. Adakah Kerajaan akan menyemak semula syarat MM2H.  

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan statistik, program MM2H telah merekodkan sebanyak 5,610 kelulusan bagi tahun 2018 dan 3,929 kelulusan bagi tahun 2019. Ini adalah statistik kelulusan sahaja yang mana maklumat berkenaan permohonan adalah di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Manakala bagi tahun 2020, program MM2H telah dibekukan secara sementara disebabkan penutupan pintu sempadan negara dan bagi menangani penularan pandemik Covid-19. Seterusnya bermula bulan Oktober 2021 sehingga penghujung tahun 2022, program ini telah merekodkan sebanyak 1,468 permohonan kelulusan.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri telah bersetuju untuk mengkaji semula syarat-syarat program MM2H seperti pembuktian aset cair, pendapatan (offshore income), dan deposit simpanan tetap (fixed deposit). Ini bagi meningkatkan kemasukan peserta Program MM2H dan memastikan program tersebut sentiasa relevan dengan dasar semasa serta mengutamakan aspek keselamatan dan kedaulatan negara.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, selepas Program Visa Premium (PVIP) telah dibuka pada 1 Oktober 2022, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menerima sebanyak 28 permohonan terdiri daripada 14 peserta dan 14 tanggungan. Daripada jumlah tersebut, Kementerian telah meluluskan dua (2) permohonan penyertaan meliputi satu (1) prinsipal dan satu (1) tanggungan. Selebihnya, baki permohonan adalah dalam proses semakan tapisan keselamatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sekian, terima kasih.