29 November 2023, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan penggulungan Syarikat TH Heavy Engineering yang dimiliki oleh Kementerian. Berapa cukai rakyat yang terbabit dalam sejarah syarikat ini dari permulaaan, pengoperasian ke penggulungan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Selaras dengan kelulusan Jemaah Menteri pada 7 Disember 2018 dan 5 April 2019 berhubung Pelan Penstrukturan Dan Pemulihan Lembaga Tabung Haji (TH), Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB), sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ditubuhkan bagi menerima aset-aset TH yang tidak berdaya saing yang dipindahkan dengan nilai buku (book value) sebanyak RM19.9 bilion berbanding nilai pasaran (market value) hanya sekitar RM9.7 bilion.
TH Heavy Engineering Berhad (“THHE”) merupakan salah satu aset yang tidak berdaya maju tersebut yang dipindahkan kepada UJSB sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji.
Sebagai makluman, ketika diambil alih oleh UJSB pada tahun 2018, Syarikat THHE sudah pun diklasifikasikan sebagai sebuah syarikat awam berstatus Nota Amalan 17 atau Practice Note 17 semenjak April 2017. Sebagai sebuah syarikat berstatus Nota Amalan 17 ini, Syarikat THHE dikenalpasti sebagai sebuah syarikat yang menghadapi pelbagai masalah dan perlu dilaksanakan transformasi perubahan.
Syarikat ini dibelenggu oleh pelbagai kepincangan termasuk isu-isu kewangan dan aliran tunai yang berpanjangan (dengan mencatat kerugian semenjak tahun 2016), isu berkenaan pemiutang, isu berkaitan kegagalan melaksanakan projek yang dianugerahkan serta isu-isu legasi perundangan yang dihadapi sebelum diambil alih oleh UJSB.
Selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan aspek kemampanan dan kesejahteraan melalui Reformasi substantif ke arah Malaysia yang lebih maju dan makmur, Kerajaan bersama UJSB telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan nilai aset-aset TH yang dipindahkan termasuk Syarikat THHE. Ini adalah penting bukan sahaja bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen dan keupayaan Kerajaan dalam memelihara aset rakyat tetapi juga sebagai menjaga kebajikan para pekerja dan pihak berkepentingan lain (stakeholder) berkait dengan syarikat ini.
Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dan UJSB bagi memastikan kelangsungan syarikat THHE ini antara lain termasuk, membantu menyusun atur Pelan Regularisasi untuk menyelesaikan status Nota Amalan 17, pemurnian Skim Penstrukturan Pemiutang (Scheme of Arrangement), sokongan bagi membantu aliran tunai, usahama dengan pelbagai syarikat bagi menambahkan nilai buku THHE dan pelbagai lagi inisiatif pemulihan.
Inisiatif-inisiatif ini juga dilaksanakan demi mempertahankan segenap aspek setelah meneliti potensi serta kesan terhadap kakitangan serta pembekal-pembekal yang terlibat dengan THHE yang mana majoritinya adalah warga tempatan Malaysia.
Di sebalik kesemua usaha-usaha yang dizahirkan untuk mengembalikan THHE ke landasan pemulihan, pada 5 September 2022, THHE telah dinyahsenaraikan daripada pasaran ekuiti Bursa Malaysia dan sekaligus tidak lagi mempunyai nilai pemulihan atau recovery value.
Walaupun Kerajaan dan UJSB sudah berusaha memulihkan Syarikat THHE, setelah memperinci serta memperhalusi segenap aspek termasuk peningkatan liabiliti kewangan, kemudaratan daripada litigasi yang berpanjangan berbangkit dari isu-isu legasi yang menyusutkan lagi nilai buku THHE, langkah terbaik yang dikenalpasti adalah dengan melaksanakan penggulungan THHE bagi mengelakkan beban kewangan yang berpanjangan yang bukan sahaja mendatangkan kerugian tambahan terhadap UJSB malah MKD dan seterusnya menyukarkan tumpuan diberikan bagi memulihkan aset TH yang lain.
Tambahan pula, isu-isu perundangan serta penghakiman terhadap THHE telah mendatangkan impak kewangan yang amat besar kepada syarikat tersebut. Proses penggulungan ini telah dimulakan pada awal September 2023, dan masih dalam proses pelaksanaan.
Proses likuidasi ketika ini melibatkan pelikuidasi sementara (Interim Liquidator) yang telah dilantik oleh pihak syarikat. Proses penggulungan yang dilaksanakan ini akan mengambil masa dan ianya perlu dilaksanakan dengan teliti dan terperinci demi memelihara kepentingan para pekerja, Kerajaan serta pemiutang (creditors) tanpa menjejaskan kredebiliti syarikat UJSB dalam melaksanakan mandat yang diamanahkan kepadanya.
Sekian, terima kasih.