Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Finance | 7 June 2023

7 June 2023, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengutip semula duti kastam terkurang kutip bagi kenderaan import yang dibawa keluar dari Pulau Bebas Cukai yang berjumlah RM72.32 juta pada tahun 2021 menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi tujuan melevi duti kastam ke atas barangan import, Pegawai Penaksir Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) perlu membuat klasifikasi dan penilaian selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 13(1) Akta Kastam 1967 berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan ketika taksiran dibuat. Penentuan Nilai Kastam bagi barangan import adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kastam (Kaedah Penilaian) 1999. Penilaian yang dibuat oleh Pegawai Penaksir ini hendaklah dianggap sebagai betul sehingga dibuktikan sebaliknya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 berhubung dengan Kutipan Duti Kastam Bagi Kenderaan Import Di Pulau Bebas Cukai (PBC) telah menyatakan bahawa terdapat sejumlah RM72.32 juta duti kastam telah terkurang dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Perkara ini adalah berdasarkan penemuan audit bahawa borang pengikraran pengimportan kenderaan dari PBC ke Kawasan Utama Kastam (KUK) tidak disokong dengan dokumen taraf pemastautin yang lengkap dan betul serta berlaku kesilapan pengiraan duti kastam oleh pegawai penaksir.

Bagi memastikan peraturan berkaitan dipatuhi sepenuhnya, LKAN 2021 telah mengesyorkan supaya JKDM melaksanakan penambahbaikan dan mengambil tindakan seperti berikut:

(i) Membuat semakan semula terhadap syarat-syarat pembelian kenderaan di PBC supaya memberi faedah kepada Kerajaan;

(ii) Memastikan garis panduan yang dikeluarkan dipatuhi terutamanya semasa membuat penilaian taksiran kenderaan dan menjalankan pengauditan selepas pelepasan import;

(iii) Memastikan pegawai penaksir melaksanakan tugas dengan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa untuk memastikan duti kastam yang dibayar adalah tepat; dan

(iv) Menambah baik peraturan yang berkaitan untuk memastikan keseragaman dalam membuat penilaian ke atas kenderaan bermotor pasang siap yang dibawa keluar dari PBC ke KUK bagi mencegah ketirisan hasil negara.

Sehubungan itu, JKDM telah mengambil tindakan sewajarnya ke atas syor-syor yang telah dicadangkan dalam LKAN 2021 tersebut, antaranya adalah seperti berikut:

(i) Membuat semakan semula dan menambah baik syarat syarat pengikraran serta penaksiran duti dan cukai bagi kenderaan yang dibawa keluar dari PBC ke KUK;

(ii) Memastikan garis panduan berkaitan penilaian dan tatacara penaksiran kenderaan yang dikeluarkan oleh JKDM dipatuhi sepenuhnya oleh pegawai-pegawai penaksir di PBC; dan

(iii) Mewujudkan perancangan untuk menjalankan pengauditan berterusan ke atas pengikraran kenderaan di PBC bagi memastikan keseragaman dalam membuat penilaian dan penaksiran kenderaan pasang siap yang dibawa keluar dari PBC ke KUK.

Pihak JKDM juga telah menjalankan siasatan dalaman berhubung isu pembuktian mastautin pemilik kenderaan seperti yang dinyatakan dalam LKAN 2021 dan melaksanakan penilaian tahap pematuhan pegawai penaksir kenderaan terhadap prosedur kerja berkaitan penaksiran kenderaan import ke PBC yang berkuat kuasa. Siasatan awal mendapati bahawa terdapat elemen penipuan (fraud) ke atas dokumen dokumen pembuktian taraf pemastautin yang telah dikemukakan oleh pemilik kenderaan semasa pengikraran dalam Borang Kastam No. 1 iaitu ketika kenderaan hendak dibawa keluar dari PBC ke KUK. Di antara kaedah penipuan yang telah dapat dikesan adalah pemalsuan surat Akuan Sumpah dan pemalsuan alamat tempat tinggal pemilik kenderaan di PBC. Hasil siasatan juga menunjukkan tiada salah laku atau kegagalan mematuhi prosedur kastam di kalangan Pegawai Penaksir kenderaan JKDM Langkawi.

Sehubungan itu, pihak JKDM telah menubuhkan satu taskforce bagi menjalankan siasatan lanjut ke atas kes-kes yang mempunyai elemen fraud dan sekiranya terbukti berlakunya fraud, tindakan selanjutnya akan diambil ke atas pemilik kenderaan yang terlibat dengan tujuan untuk mengutip semula duti/cukai yang terkurang pungut dan mengenakan hukuman denda atau penalti mengikut kesalahan yang terlibat. 

Merujuk kepada isu kesilapan pengiraan duti eksais oleh pegawai penaksir yang menyebabkan terkurang kutip duti kastam, JKDM telah berjaya mendapatkan kembali amaun duti yang terkurang tersebut pada tahun 2021 setelah mengeluarkan Bil Tuntutan kepada pemilik kenderaan pada tahun yang sama.

Sekian, terima kasih.