Wednesday, November 13, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Health | 7 November 2024

 7 November 2024, Thursday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan :

(a) adakah rancangan untuk mengadakan expanded New Born Screening (NBS) di hospital awam dan mewujudkan national registry untuk penyakit jarang jumpa; dan

(b) berapa penderma yang telah menderma ke Akaun Amanah bagi Rawatan Penyakit Jarang Jumpa sejak penubuhan dan jumlah dana ini.


JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Pada masa ini, Program Newborn Screening (NBS) adalah meliputi congenital hypothyroidism, G6PD deficiency, pendengaran dan penyakit jantung kongenital. Perancangan untuk memperluaskan lagi program NBS kepada Expanded Newborn Screening (ENBS) di hospital-hospital KKM telah pun dimasukkan dalam perancangan jangka panjang Pelan Strategik Program Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia 2020 – 2030.

 2. Program ENBS ini bertujuan mengenal pasti bayi yang berisiko terhadap penyakit tertentu lebih awal, termasuk penyakit jarang jumpa seperti Inborn Error of Metabolism (IEM), Congenital Adrenal Hyperplasia (CAH), Severe Combined Immunodeficiency (SCID) dan penyakitpenyakit lain.

3. Selain itu, pewujudan registri untuk penyakit jarang jumpa juga merupakan salah satu inisiatif yang digariskan dalam perancangan jangka sederhana Pelan Strategik Program Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia 2020-2030. 

4. Setakat ini, sebanyak RM105,000.00 telah disumbangkan oleh Persatuan Penyakit Lisosomal Storage Disease (MLDA) ke dalam Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Natural Resources and Environmental Sustainability | 6 November 2024

  6 November 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan Malaysia telah menandatangani Global Methane Pledge pada tahun 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas metana sebanyak 30% menjelang 2030:

a) apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian sejak 2021; dan

b) adakah rancangan untuk mewujudkan halatuju/pelan kebangsaan penurunan pelepasan gas metana.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan laporan Malaysia’s Fourth Biennial Update Report (BUR-4) pada tahun 2022, pelepasan gas metana pada tahun 2019 di Malaysia adalah sebanyak 740, 000 tan karbon dioksida setara (tonne CO2 equivalent).

2. Antara punca utama pelepasan gas metana adalah dari sektor tenaga iaitu aktiviti pembakaran bahan api fosil termasuk pelepasan fugitif dari sektor minyak dan gas, sektor sisa iaitu dari sisa buangan industri, dan sektor pertanian daripada aktiviti penanaman padi. Memandangkan gas metana mempunyai potensi pemanasan global (global warming potential – GWP) 25 kali ganda lebih tinggi dari pelepasan karbon dioksida, kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan mitigasi pelepasan gas metana. Antara tindakan mitigasi pelepasan gas metana yang dilaksanakan adalah pengurangan “venting and flaring” gas metana daripada aktiviti pemprosesan minyak dan gas, pemerangkapan metana dari efluen pembuangan loji minyak kelapa sawit, dan program pensijilan pertanian organik.

3. Selain itu juga, Malaysia juga menyertai perikatan Global Methane Pledge pada tahun 2021 bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani pelepasan gas metana. Di bawah perikatan ini, pihak Kesatuan Eropah juga bercadang untuk meluncurkan Methane Abatement Partnership Roadmap di sela-sela persidangan UNFCCC COP-29 di Baku, Azerbaijan pada tahun ini. Pelan tersebut memberi tumpuan kepada usaha pengurangan pelepasan gas metana daripada aktiviti penghasilan bahan api fosil seperti sektor minyak dan gas.

Tuan Yang di-Pertua,

 4. Selain kerajaan, pihak swasta juga aktif terlibat di dalam inisiatif antarabangsa untuk menangani pelepasan gas metana. Sebagai contohnya, pihak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menjadi ahli kepada Oil and Gas Methane Partnership 2.0 (OGMP 2.0) di bawah United Nations Environment Programme (UNEP).

5. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan pelan hala tuju kebangsaan untuk menangani pelepasan gas metana pada masa hadapan. Bagi tujuan ini, kerajaan akan menerokai potensi untuk mendapatkan pembiayaan daripada Rancangan Malaysia dan juga sokongan teknikal serta pembangunan kapasiti daripada organisasi pelbagai hala antarabangsa seperti UNFCCC dan UNEP atau melalui kerjasama dua hala dengan negara maju di bawah perikatan Global Methane Pledge.

Sekian, terima kasih.

Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Domestic Trade and Living Costs | 17 October 2024

17 October 2024, Thursday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP menyatakan adakah Kementerian akan membentangkan "Lemon Law" bagi lebih melindungi hak pengguna terutamanya pembeli kereta. Jika ya, apakah perkembangan pendrafan. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law di Malaysia sejak Jun 2024. Antara gerak kerja kajian yang sedang berjalan meliputi:

1. Analisis mendalam berkaitan akta dan peraturan sedia ada yang berkaitan dengan Lemon Law di Malaysia;

2. Analisis konteks akta dan peraturan di Malaysia dan perbandingan perundangan dengan negara-negara terpilih iaitu Filipina, Singapura, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada (Quebec) yang mengamalkan perundangan Lemon Law;

3. Bengkel dan temu bual bersama pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada Kementerian seperti Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Agensi kerajaan seperti Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii), NGO Kepenggunaan, Syarikat dan Persatuan Automatif; dan

4. Sesi khas bersama Department of Trade and Industry Phillipines (DTI) untuk perkongsian pengalaman tentang pelaksanaan ‘Lemon Law’ di negara mereka.

Kajian kini telah berada di fasa akhir, dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law telah mengarahkan pasukan perunding untuk membuat komponen kajian tambahan berkaitan beberapa cadangan baharu terhadap kajian. Dengan komponen tambahan yang digariskan, disasarkan laporan penuh kajian dibentangkan kepada Kementerian pada bulan November 2024.

Kajian tersebut akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan untuk menggariskan keputusan dasar di peringkat Kementerian bagi menetapkan hala tuju penambahbaikan kerangka perundangan, sebelum sebarang syor diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Sekian, terima kasih. 

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Natural Resources, Environment and Climate Change

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE FIRST PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status terkini penghantaran kontena plastik haram dan kontena e-waste haram kepada negara asal serta nyatakan negara yang terlibat. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya membenarkan premis yang mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan mempunyai “Approved Permit” (AP) daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) untuk mengimport buangan plastik untuk dikitar semula di premis mereka. Kerajaan hari ini juga akan meneruskan tindakan dan usaha penghantaran balik kontena buangan plastik yang tidak mematuhi perundangan ke negara pengeksport. 

2. Bermula September 2019 sehingga Disember 2022, sebanyak 286 kontena yang mengandungi buangan plastik melibatkan 23 negara telah berjaya dihantar pulang melalui tiga (3) pelabuhan iaitu Pelabuhan Klang, Selangor, Pelabuhan Senari, Kuching, Sarawak dan Pelabuhan Pulau Pinang. Manakala bagi kontena yang mengandungi e-waste, sejumlah 261 kontena telah dihantar pulang ke negara asal melalui dua (2) pelabuhan iaitu Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Johor.

3. Negara-negara yang terlibat bagi penghantaran pulang kontena plastik dan e-waste sehingga Disember 2022 adalah seperti berikut: 



Sekian, terima kasih.



Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Natural Resources, Environment and Climate Change

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE FIRST PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan statistik terperinci penghasilan sisa elektronik di Malaysia mengikut kategori sisa elektronik, negeri dan sebagainya.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membangunkan satu mekanisme pengurusan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Malaysia. Mekanisme pengurusan e-waste yang dibangunkan ini mengawal enam (6) jenis peralatan elektrik dan elektronik iaitu telefon bimbit, komputer peribadi, televisyen, peti ais, pendingin hawa dan mesin basuh. Mekanisme yang dibangunkan ini telah memberi fokus kepada konsep Extended Producer Responsibility (EPR) dimana pengeluar bertanggungjawab untuk memastikan produk peralatan elektrik dan elektronik diuruskan secara mesra alam sehingga tamat jangka hayat.

2. Berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2015 hingga 2018, menjelang pada tahun 2025 dianggarkan sebanyak 24.5 juta unit e waste akan dihasilkan di Malaysia. Berdasarkan kajian tersebut, unjuran pecahan kuantiti e-waste yang dianggarkan mulai 2016 hingga 2025 mengikut jenis adalah seperti berikut:


Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation | 22 October 2024

22 October 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan:

(a) sebab respon kurang memberangsangkan dalam bidaan yang diadakan oleh Energy Exchange (Enegem) bagi tenaga boleh baharu (TBB) eksport ke Singapura; dan

(b) langkah yang diambil untuk memperbaiki respon pemain TBB dan meningkatkan daya tarikan TBB Malaysia di pasaran Singapura. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi bidaan bagi projek rintis pembekalan tenaga boleh baharu (TBB) merentas sempadan ke Singapura telah dilaksanakan melalui Energy Exchange Malaysia atau ENEGEM. Sebanyak 16 syarikat yang layak dari Singapura telah mendaftarkan minat untuk menyertai proses bidaan ini.

2. Daripada jumlah tersebut, hanya 3 syarikat yang berjaya memenuhi semua syarat untuk menyertai bidaan atas talian pada 16 Jun 2024. Bekalan elektrik hijau berjumlah 100MW telah berjaya dibida oleh 2 syarikat dari Singapura dan proses untuk memuktamadkan perjanjian pembekalan elektrik merentas sempadan sedang dilakukan.

3. Dalam melaksanakan perdagangan TBB merentas sempadan ini, Kerajaan mengambil pendirian untuk memastikan kepentingan dan manfaat kepada negara adalah terpelihara dan terjamin. Oleh itu, keutamaan akan diberikan untuk memastikan keperluan bekalan elektrik hijau dalam negara, yang dijangka meningkat dapat dipenuhi terlebih dahulu.

4. Pada masa yang sama, fokus negara juga adalah untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang memerlukan bekalan elektrik hijau termasuk dari Singapura ke negara ini, terutamanya ke kawasan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura atau Johor Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), bagi mewujudkan peluang ekonomi dan menjana sumber kekayaan baharu dalam pelbagai bidang ekonomi kepada rakyat termasuk pemain industri TBB tempatan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2024 to the Minister of Tourism, Arts and Culture

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE FIRST PROCEEDING, TERM 3, THE 15TH PARLIAMENT, 2024 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

YB PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan :

(a) jumlah peserta Malaysia My Second Home (MM2H) yang aktif; dan

(b) jumlah peserta baru MM2H dan Malaysian Premium Visa Programme (PVIP) untuk tahun 2021, 2022 dan 2023. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga 31 Januari 2024, pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang aktif adalah berjumlah 56,066 peserta merangkumi prinsipal dan tanggungan. Program Premium Visa Programme (PVIP) adalah di bawah kawal seliaan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Berdasarkan input daripada KDN sehingga 15 Februari 2024, sebanyak 47 Malaysian Premium Visa Programme (PVIP) telah dikeluarkan seperti jadual di bawah:


Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Tourism, Arts and Culture | 24 June 2024

24 June 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan :

(a) jumlah pelancong asing yang melawat Malaysia dan jumlah pendapatan yang dijana (international tourism receipts) pada tahun 2022, 2023 dan 2024 (setakat sekarang) dan perbandingan dengan negara negara ASEAN yang lain; dan

(b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan jumlah pelancong dan perbelanjaan setiap orang


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Malaysia telah merekodkan jumlah kemasukan pelancong asing seramai 7,560,642 (Tujuh Juta Lima Ratus Enam Puluh Ribu Enam Ratus Empat Puluh Dua) orang dari Januari hingga April 2024 iaitu peningkatan sebanyak 27.5% jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2023. Manakala sebanyak 20,141,846 (Dua Puluh Juta Satu Ratus Empat Puluh Satu Lapan Ratus Empat Puluh Enam) orang pada tahun 2023 dan 10,070,964 (Sepuluh Juta Tujuh Puluh Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Empat) orang pada tahun 2022.

2. Untuk tempoh Januari hingga April, Thailand merupakan negara ASEAN yang mencatatkan ketibaan pelancong asing tertinggi iaitu seramai 12,127,447 diikuti dengan Malaysia seramai 7,560,642, Vietnam seramai 6,199,331, Singapura seramai 5,709,110 dan Indonesia seramai 4,098,714 orang pelancong.

3. Pada suku pertama 2024 jumlah pendapatan pelancong yang dijana adalah sebanyak RM22.23 bilion iaitu peningkatan sebanyak 66% berbanding suku tahun pertama 2023. Pada tahun 2023 pendapatan pelancong adalah sebanyak RM71.31 bilion dan RM28.23 bilion pada tahun 2022.

Tuan Yang di-Pertua,

4. MOTAC melalui Tourism Malaysia memperhebatkan usaha promosi industri pelancongan negara dengan menekankan aspek melancong dengan selamat serta mengenengahkan experiential tourism bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk bercuti dan melancong ke Malaysia.   

5. Antara usaha yang dilaksanakan adalah:
(i) penyertaan dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa;

(ii) mengadakan promosi pelancongan yang merangkumi roadshow di pasaran sasaran seperti Australia, China, Eropah, India, Jepun, Korea, Negara-Negara Teluk dan Nordic;

(iii) melaksanakan promosi pelancongan melalui saluran digital seperti promosi melalui media sosial untuk terus meletakkan visibiliti Malaysia di mata pelancong dan ejen pelancongan dipasaran-pasaran sasaran;

(iv) mempromosi produk pelancongan mengikut segmentasi pelancong dan permintaan pasaran tertentu bagi memenuhi dan menepati kehendak mereka seperti pelancongan minat khas;

(v) meningkatkan kemudahsampaian melalui penambahan kekerapan penerbangan dan jumlah tempat duduk;

(vi) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mempermudahkan kemasukan pelancong asing seperti visa on arrival (VOA), multiple entry visa, eVisa dan transit visa; dan

(vii) menarik minat pasaran pelancong Muslim ke Malaysia, sebuah pasaran yang semakin berkembang di seluruh dunia dengan menggerakkan lebih ramai lagi penggiat industri pelancongan untuk mendapatkan pengiktirafan mesra-Muslim.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Finance | 28 October 2024

28 October 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:

(a) berapa jumlah yang telah dilabur ke Fashion Valet oleh Khazanah, PNB dan jika ada Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) lain ; dan 

(b) jumlah kerugian akibat penurunan nilai dan penjualan saham Fashion Valet. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Pada tahun 2018, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah : RM27 juta, PNB : RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet).

Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada mandat Khazanah pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapatkan pendedahan kepada tesis pelaburan dalam sektor e-dagang yang kian berkembang. Pada masa yang sama, tesis pelaburan PNB adalah untuk menyokong syarikat runcit digital Bumiputera yang sedang berkembang pesat untuk menjadi platform runcit serantau bagi jenama jenama Malaysia. Pelaburan Khazanah dan PNB disalurkan ke dalam syarikat Fashion Valet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.

(b) Namun, berikutan pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan syarikat Fashion Valet telah terjejas teruk dan lanjutan daripada itu, Fashion Valet memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi. Pada akhir tahun 2023, sebuah syarikat Bumiputera iaitu NXBT Partners telah menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam Fashion Valet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut. Sehubungan itu, kesemua pemegang saham telah bersetuju menerima tawaran tersebut.

Penjualan ini merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada Fashion Valet kepada pelabur strategik yang akan dapat terus membantu Fashion Valet untuk menyelesaikan keperluan pembiayaannya secara holistik dan mengembangkan semula perniagaan dalam keadaan industri yang mencabar. Khazanah dan PNB telah menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut. Jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Finance

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE THIRD PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan senarai semua aset hartanah (di seluruh dunia) yang dimiliki oleh Khazanah. Berapa pendapatan Khazanah setiap tahun dari sewaan investment properties Khazanah, umpamanya Marina One dan Duo di Singapura dan lain-lain. 


JAWAPAN 

Tuan Yang di-Pertua,

Bagi pelaburan di luar Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) tidak memegang aset hartanah secara langsung tetapi melabur melalui ekuiti di dalam syarikat yang memiliki aset tersebut, atau dana terkumpul bersama pengurus aset. Khazanah menerima pulangan daripada pelaburan tersebut dalam bentuk dividen atau melalui pelupusan pegangan ekuiti tersebut. Sebagai contoh, Marina One yang dikendalikan oleh M+S Pte Ltd [sebuah syarikat usaha sama (JV) bersama Temasek Holdings Limited] akan memberi dividen atau membuat pengagihan kepada Khazanah atas lebihan pendapatan daripada operasi syarikat tersebut.

Sekian, terima kasih.



Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Prime Minister | 9 October 2023

9 October 2023, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa jumlah yang dibayar oleh Kerajaan kepada Putrajaya Holdings untuk sewaan bangunan-bangunan Kerajaan di Putrajaya setiap tahun. Beri perincian mengikut Kementerian. 


JAWAPAN

YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Yang Berhormat, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (“PjH”) dan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Government Buildings Concession Agreement (“GBCA”) bagi pembangunan dan sewaan bangunan Kerajaan di Putrajaya yang tertakluk kepada terma dan syarat terkandung di dalam GBCA.

2. Secara ringkasnya, kadar sewaan yang dikenakan kepada pihak kerajaan adalah mengikut kaedah Bina, Sewa dan Pindahmilik (Build, Lease & Transfer) di mana kadar sewaan adalah ditentukan dengan mengambil kira tempoh pembayaran kos pembangunan yang dibayar selama 25 tahun daripada tarikh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance).

3. Dalam hal ini, pengemukaan perincian kadar sewaan setiap bangunan kerajaan adalah tertakluk kepada syarat kerahsiaan non disclosure yang termaktub di dalam GBCA.

4. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya maklumat terperinci pembayaran sewaan seperti yang dipohon dimajukan secara terus kepada Kementerian Kewangan, selaku pihak pembayar dan bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Prime Minister | 14 June 2023

14 June 2023, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN : 

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sebab JPA menghentikan penajaan biasiswa untuk pelajar perubatan, pergigian dan farmasi di universiti tempatan pada tahun ini. 


JAWAPAN

DIJAWAB OLEH YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL SABAH, SARAWAK DAN TUGAS-TUGAS KHAS)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sehingga kini, penajaan JPA bagi 4,420 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi masih diteruskan sehingga tamat pengajian pada tahun 2027.

2. Dasar penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah berdasarkan unjuran keperluan gunatenaga sektor awam dan negara. Penangguhan penajaan baharu JPA bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi mulai tahun 2023, adalah berdasarkan laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjangkakan berlaku lebihan tenaga kerja dalam bidang berkenaan bermula pada tahun 2026.

3. Selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri, JPA dan KKM telah meneliti semula dasar sedia ada dengan mengambil kira unjuran keperluan kesemua agensi kerajaan.

4. Sehubungan itu, Kerajaan akan menawarkan penajaan dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi. Tarikh permohonan penajaan bagi tahun 2023 akan diumumkan dalam jangka masa terdekat ini.

Sekian, terima kasih.  

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Prime Minister | 16 March 2023

16 March 2023, Thursday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta PERDANA MENTERI menyatakan status terkini PT Eagle High Plantation Tbk. 


JAWAPAN

YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)

Tuan Yang di-Pertua,

1. FIC Properties Sdn Bhd (FICP) iaitu syarikat subsidiari milik penuh FELDA yang mempunyai pelaburan sebanyak 37% pegangan saham dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) telah melaksanakan Put Option pada 11 Januari 2019 atas asas Trigger Event dengan mengeluarkan Notis Put Option bertarikh 11 Januari 2019 kepada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) menghendaki RCI dan/atau RC membeli saham tersebut (Put Option 2019) kerana RCI telah gagal memastikan EHP memperolehi pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dalam tempoh 18 bulan daripada Tarikh Penyempurnaan Perjanjian Jual Beli saham tersebut.

2. Bagaimanapun, RCI dan RC telah membantah Notis Put Option 2019 tersebut. RCI dan RC telah memulakan prosiding timbang tara di Singapore International Arbitration Centre (SIAC) pada 30 Januari 2019. Namun keputusan berpihak kepada RCI.

3. Seterusnya, FICP telah sebelum itu pada 11 Mei 2022 melaksanakan Put Option (Put Option 2022) atas dasar sole and absolute discretion. RCI dan/atau RC sepatutnya memindahkan Option Price sebanyak USD678.09 juta ke akaun FICP selewat-lewatnya pada 25 Mei 2022. Bagaimanapun, RCI tidak bersetuju dengan Put Option 2022.

4. Terkini, FICP telah menfailkan Notis Timbang tara pada 17 Januari 2023 ke Singapore International Arbitration Centre (SIAC) bagi merujuk tuntutan FICP terhadap RCI dan RC melalui Put Option 11 Mei 2022 bagi RCI / RC membeli Saham Put Option di dalam EHP.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Prime Minister | 27 June 2024

27 June 2024, Thursday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa penerima biasiswa JPA bagi kategori-kategori seperti sarjana muda (tempatan), sarjana muda (luar negara), lepasan ijazah (tempatan) dan lepasan ijazah (luar negara). Berapa peruntukan yang dibelanja bagi kohort setiap kategori pada tahun 2023.  


JAWAPAN

YB DR. ZALIHA BINTI MUSTAFA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(WILAYAH PERSEKUTUAN)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bermula tahun 2016, penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengalami perubahan dasar dan penajaan semasa yang ditawarkan adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat.

2. Pada tahun 2023, bagi kategori ijazah sarjana muda, Kerajaan telah menaja seramai 2,183 orang pelajar ke luar negara dan 55,648 orang pelajar di dalam negara. Jumlah tersebut adalah bagi penajaan baharu dan juga tertanggung.

3. Manakala bagi kategori ijazah lanjutan, Kerajaan telah menaja seramai 54 pelajar ke luar negara dan 107 pelajar di dalam negara. Jumlah ini juga adalah bagi penajaan tertanggung.

4. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah memberikan penajaan kepada 57,992 orang pelajar ke program pengajian peringkat tertiari dengan peruntukan sebanyak RM797.55 juta.

Sekian, terima kasih.  

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Human Resources | 20 March 2024

20 March 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan pencapaian dasar kerjasama swasta-kerajaan dalam memperkasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan di Belanjawan 2023 :

a) berapakah institusi dan kursus TVET yang telah melibatkan pihak swasta. Senaraikan; dan

b) berapakah jumlah pelajar yang terlibat. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selaku Sekretariat Majlis TVET (MTVET) giat meneroka peluang kerjasama melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dalam usaha meningkatkan dan melibatkan lebih banyak pihak industri dalam pelaksanaan program TVET dan seterusnya merealisasikan transformasi program TVET negara sebagai mana yang diberi penekanan oleh Kerajaan.

2. MoC berkonsepkan payung kerjasama ini menjadi penghubung yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET awam dalam membuka ruang kerjasama erat bersama pihak industri. Bagi tahun 2023, sebanyak 60 MoC telah berjaya dimeterai yang memanfaatkan seramai 311,405 orang pelajar yang terlibat dalam 4,162 kursus yang ditawarkan di 669 buah institusi.

3. MoC ini melibatkan kerjasama dalam pelbagai cakupan bidang seperti teknologi automotif, teknologi minyak dan gas, teknologi telekomuniksi yang melibatkan syarikat seperti PETRONAS Berhad, DRB-HICOM Berhad, FGV Holdings Berhad, Bermaz Auto Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.

4. Skop kerjasama melalui pemeterian MoC ini melibatkan komponen utama iaitu perkongsian kepakaran industri bagi tujuan pembangunan kurikulum dan rekabentuk penyampaian latihan, dan peningkatan kemahiran tenaga pengajar melalui inisiatif dengan izin Train of Trainers (ToT). Selanjutnya, kerjasama turut melibatkan perkongsian mahupun sumbangan peralatan berteknologi terkini kepada institusi TVET bagi memastikan berlakunya pemindahan ilmu dan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa industri.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Natural Resources, Environment and Climate Change | 14 March 2023

14 March 2023, Tuesday


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan langkah langkah Kementerian bagi mengurus e-waste domestik yang semakin meningkat dan apakah status terkini peraturan e-waste. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, buangan elektrik dan elektronik atau dikenali sebagai sisa elektronik (electronic waste - e-waste) adalah merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi, lama atau usang. E-waste adalah merupakan salah satu buangan yang semakin hari semakin meningkat kerana penggunaannya adalah sangat meluas ketika ini.

2. Buangan e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual kerana ianya mengandungi komponen berbahaya seperti merkuri, kadmium, kromium dan lain-lain bahan berbahaya. Sehubungan itu, pengurusan e waste perlu dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

3. Sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pengurusan e-waste, Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (communication, education, and public awareness - CEPA) khususnya berkaitan pengurusan e-waste. 

4. Program komunikasi CEPA ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai pengurusan e-waste secara environmentally sound management (ESM). Selain daripada itu, program CEPA juga diharap dapat memberi pendedahan dan perkongsian mengenai pengurusan e-waste yang sedang dibangunkan oleh JAS termasuk memperkenalkan konsep shared responsibility dan extended producer responsibility (EPR). 

5. Untuk makluman, usaha-usaha kesedaran pengurusan e-waste yang dijalankan oleh JAS pada tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan kesedaran dikalangan orang awam. Salah satu indikator kepada keberkesanan kempen kesedaran oleh JAS adalah terdapatnya peningkatan kutipan e-waste pada tahun 2021 kepada 2,650 MT (metric tan) dan jumlah ini adalah melebihi daripada sasaran asal yang ditetapkan iaitu sebanyak 800 MT.

6. Selain daripada tu, penglibatan di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak korporat dan swasta di dalam program dan kempen e-waste juga telah menunjukkan peningkatan. Kementerian mengucapkan ribuan terima kasih atas penglibatan semua pihak akan kesedaran pengurusan e-waste yang lestari.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Berhubungan cadangan peraturan sisa elektronik isi rumah (household e-waste), Kementerian melalui JAS telah mengadakan sisa libat urus terutamanya dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan lain lain agensi yang berkaitan. Secara kesimpulannya, cadangan suatu peraturan berkaitan e-waste ini masih memerlukan penelitian lanjut dan sesi libat urus bersama pemegang taruh untuk dimuktamadkan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Natural Resources and Environmental Sustainability | 9 July 2024

9 July 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan berapa panjang tempoh perbicaraan sehingga keputusan mahkamah dibuat bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling. Apakah langkah-langkah Kementerian untuk menyingkatkan tempoh perbicaraan. Apakah pendirian Kementerian terhadap kewujudan environmental court.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah berpengalaman dalam mengendalikan perbicaraan kes-kes pencemaran alam sekitar. Berdasarkan Arahan Amalan Bil. 7 Tahun 2015, kes-kes tuntutan alam sekitar (sivil) hendaklah diselesaikan dalam tempoh sembilan (9) bulan dari tarikh ia mula-mula didaftarkan di mahkamah tersebut, manakala bagi kes jenayah alam sekitar hendaklah diselesaikan dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh tertuduh pertama kali dituduh di mahkamah selaras dengan Arahan Amalan Bil. 3 Tahun 2012. Namun begitu, tempoh perbicaraan akan dipanjangkan sekiranya kes tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut bergantung kepada prosedur-prosedur tertentu bagi sesuatu kes dan juga pihak-pihak termasuk mahkamah, pendakwa raya dan peguambela.

2. Environmental Court sememangnya telah wujud menerusi penubuhan Mahkamah Sesyen Khas yang mengendalikan kes berkaitan jenayah alam sekitar selaras dengan Arahan Amalan Ketua Pendaftar Bil 3/2012 manakala Mahkamah Alam Sekitar bagi kes sivil ditubuhkan melalui Arahan Amalan Ketua Pendaftar Bil 7/2015 bagi tujuan menyegerakan kes tuntutan sivil alam sekitar. Menerusi amalan ini, beberapa Mahkamah Tinggi, Sesyen Dan Majistret tertentu telah dipilih untuk mengendalikan prosiding tuntutan sivil alam sekitar.

3. Mahkamah ini mempunyai kepakaran khusus dalam undang-undang alam sekitar serta memastikan kes-kes berkaitan alam sekitar ditangani dengan lebih cekap dan adil. Di samping itu, Mahkamah Alam Sekitar juga akan dapat mempercepatkan penyelesaian kes-kes alam sekitar dan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Science, Technology and Innovation | 28 March 2023

28 March 2023, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

Minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan sebab Malaysia Space Agency (MYSA) memberi surat sokongan kepada Serba Dinamik pada tahun 2021 dan apakah status terkini kerjasama antara kedua-dua pihak ini.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

1. Selaras dengan Teras 4 Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030, Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggalakkan penglibatan industri tempatan dalam pembangunan sektor angkasa yang berterusan bagi menyumbang kepada penjanaan sumber ekonomi negara. Kerajaan melalui MOSTI sentiasa membuka peluang bagi kerjasama strategik di antara Kerajaan dan industri melalui mekanisme Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership - PPP) dan komited untuk memudah cara dalam pengoperasian teknologi dan inovasi serta memberikan khidmat nasihat perundangan dalam bidang angkasa.  

2. Berdasarkan Kajian Ekosistem Industri Angkasa yang dijalankan oleh MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), sehingga tahun 2020, terdapat sekurang-kurangnya 63 syarikat tempatan telah dikenalpasti terlibat dalam aktiviti berkaitan teknologi angkasa di Malaysia.

3. MOSTI melalui MYSA sentiasa memberi sokongan dan menggalakkan kepada syarikat-syarikat tempatan yang bergiat secara aktif khususnya melalui Private Funding Initiative (PFI) bagi merancakkan pertumbuhan industri angkasa seterusnya berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

4. Pada tahun 2021, MOSTI melalui MYSA juga telah memberikan surat sokongan terhadap perancangan sebuah syarikat tempatan iaitu Serba Dinamik Group Berhad (Serba Dinamik) yang berhasrat meneroka potensi teknologi pelancaran satelit dan perkhidmatan teknologi angkasa berkaitan di Malaysia melalui kaedah PFI.

5. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini, perancangan oleh Serba Dinamik ini tidak dilaksanakan dan surat sokongan MOSTI adalah hanya sebagai galakan kepada usaha mereka, dan tidak mengikat Kerajaan untuk memberikan apa-apa komitmen kepada syarikat berkenaan.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Housing and Local Government | 17 July 2024

17 July 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

YB PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan keadaan flat kos rendah :

(a) jumlah flat kos rendah yang belum beralih dari sistem meter air pukal ke meter individu. Nyatakan langkah-langkah Kementerian untuk membantu proses peralihan ini; dan

(b) apakah langkah-langkah untuk memastikan penyelenggaran flat kos rendah adalah self-sustainable pada masa depan. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, Kerajaan MADANI berpaksikan teras kemampanan dan kesejahteraan sosial, sentiasa ingin menitikberatkan kualiti kehidupan rakyat yang harmoni berasaskan kepada pengurusan bangunan berstrata yang lebih efektif dan holistik. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus menelusuri dan memberi perhatian terhadap isu-isu yang berlaku di perumahan berstrata terutamanya yang melibatkan pengurusan harta bersama oleh Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan (JMB/MC) dan akses universal dari segi infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air buat rakyat.

Pelaksanaan migrasi meter pukal kepada meter individu telah dikuat kuasakan pada 1 Februari 2014 dan telah diwajibkan oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berada di bawah pemantauan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan “Kaedah kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air Dan Pemasangan Paip) 2014”. Menerusi penguatkuasaan warta tersebut, pihak JMB/MC perlu membuat permohonan kepada pihak syarikat air untuk proses migrasi dilaksanakan.

Usaha migrasi meter pukal kepada meter individu membolehkan penghuni berpeluang untuk menikmati kadar tarif air yang lebih rendah dan juga adil dari segi kadar pembayarannya kerana ia adalah mengikut tahap penggunaan masing-masing berbanding meter pukal bagi perumahan berstrata.

Oleh kerana permohonan migrasi dikemukakan secara terus kepada pihak syarikat air yang tertakluk di bawah kawal selia SPAN (di bawah NRES), maka KPKT tidak mempunyai maklumat keseluruhan mengenai jumlah permohonan tersebut dan jumlah flat kos rendah yang belum beralih dari meter pukal ke meter individu.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat juga, terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan penuh migrasi meter pukal kepada meter individu iaitu:

i. kekangan sumber kewangan oleh JMB/MC berikutan isu pembayaran caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas di mana terdapat pemilik-pemilik unit culas atau gagal untuk membuat pembayaran; dan

ii. tunggakan bayaran bil utiliti yang tidak dijelaskan seperti tunggakan air, akan menyebabkan proses migrasi terjejas.

Justeru, KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap PBT, sentiasa memberikan penekanan kepada JMB/MC terutamanya apabila notis migrasi telah dikeluarkan oleh SPAN. KPKT juga sentiasa bekerjasama dengan penghuni serta pengurusan bangunan dalam melaksanakan proses migrasi meter pukal kepada meter individu tersebut melalui program pendidikan dan pemerkasaan komuniti strata.

Berkaitan penyelenggaran flat kos rendah agar perumahan adalah bersifat self-sustainable, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat, KPKT giat berusaha meningkatkan kecekapan dan menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat:

i. Penyaluran peruntukan kepada PBT bagi mengadakan Program Pendidikan dan Pemerkasaan Komuniti Strata setiap tahun untuk memberikan pendedahan dan kesedaran akan pentingnya caj penyelenggaraan sebagai tanggungjawab bersama di pembangunan berstrata. KPKT telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM76,810.00 untuk penganjuran 23 program pada tahun 2022 dan RM77,750.00 untuk 21 program pada tahun 2023. Manakala bagi tahun 2024, sebanyak RM80,000 telah diperuntukkan bagi penganjuran melibatkan 22 program pendidikan/pemerkasaan komuniti strata;

ii. Meningkatkan kemampuan sumber kewangan di perumahan berstrata melalui kutipan caj penyelenggaraan dan juga caruman kepada kumpulan wang penjelas untuk mengurus dan menyelenggara perumahan berstrata dengan berkesan. Dalam hal ini, JMB/MC bertanggungjawab untuk membuat perancangan perbelanjaan yang diperlukan bagi menguruskan harta bersama di sesebuah skim strata dan membentangkan dalam mesyuarat agung tahunan kepada penduduk. Berdasarkan perancangan tersebut, JMB/MC perlu menetapkan kadar kutipan caj penyelenggaraan yang wajar dikenakan kepada penduduk/pemilik strata; dan

iii. JMB/MC turut bertanggungjawab meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab pemilik petak untuk membayar caj penyelenggaraan dan juga caruman kepada kumpulan wang penjelas selaras dengan seksyen 52 Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757] yang menyatakan “setiap pemilik hendaklah membayar caj dan caruman kumpulan wang penjelas kepada perbadanan pengurusan bagi penyelenggaraan dan pengurusan bangunan atau tanah yang dipecah bahagi dan harta bersama di dalam suatu kawasan pemajuan.”

KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT akan sentiasa memastikan kerjasama erat dengan JMB/MC dalam perkara ini agar masing-masing melaksanakan peranan yang lebih proaktif dalam memastikan pengurusan perumahan berstrata, termasuk di flat kos rendah yang efisien.

Sekian, terima kasih. 



Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Agriculture and Food Security | 15 June 2023

15 June 2023, Thursday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan status :- 

(a) Dana Obligasi Sosial berjumlah RM37 juta yang belum dikutip untuk tahun 2021 (menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021); dan 

(b) Penubuhan akaun amanah bagi maksud pelaksanaan obligasi sosial oleh syarikat konsesi pengurusan industri padi dan beras.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berhubung dana obligasi sosial berjumlah RM37 juta, sebanyak RM12 juta telah diterima manakala baki RM25 juta akan disalurkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara berperingkat mengikut kemajuan projek atau sepertimana yang diarahkan oleh pihak Kerajaan yang termaktub di dalam Klausa 18, 19 dan Lampiran F Perjanjian Konsesi Kerajaan dengan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS). RM12 juta dana telah diterima oleh pihak KPKM meliputi RM2 juta dana stok penimbal benih padi negara dan RM10 juta dana bencana tanaman padi. Manakala RM25 juta dana yang belum diterima adalah RM5 juta dana pembangunan sistem maklumat padi dan beras dan RM20 juta dana pembangunan nutrien tanah yang mana pihak BERNAS boleh membayar secara berperingkat mengikut kemajuan projek atau sepertimana yang diarahkan oleh pihak Kerajaan berdasarkan Klausa 18, 19 dan Lampiran F Perjanjian Konsesi Kerajaan dengan BERNAS.

Pembayaran pada setiap tahun juga akan dipantau secara rapi melalui Jawatankuasa Pemantauan Konsesi BERNAS dan Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPKM.

b) Penubuhan akaun amanah telah pun dilaksanakan dengan kelulusan oleh Kementerian Kewangan pada 1 Jun 2023.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 3, THE 15TH PARLIAMENT, 2024 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan senarai syarikat yang mendapat kelulusan dalam kategori solar self-consumption (SELCO) dan kapasiti masing-masing. Adakah setiap syarikat yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu boleh mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga. Nyatakan proses dan berapa panjang tempoh permohonan.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga bulan Disember 2023, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah meluluskan seramai 296 pemegang lesen bagi kategori solar self-consumption (SELCO) dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 380MW.

2. Secara umumnya, terdapat dua (2) jenis lesen yang dikeluarkan oleh ST iaitu Lesen Persendirian dan Lesen Awam bagi kategori solar self consumption (SELCO) ini di mana kedua-dua jenis lesen ini akan dikelaskan berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Setiap permohonan yang diterima akan disemak berdasarkan kriteria dan dokumen yang telah ditetapkan oleh ST serta garis panduan sedia ada iaitu Guidelines On The Connection Of Solar Photovoltaic Installation for Self-Consumption (Versi 2 bertarikh 15 Julai 2023).

3. Bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti kurang 5MW, permohonan lesen boleh dilakukan secara atas talian melalui ecos.st.gov.my. Manakala bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti 5MW dan ke atas serta Lesen Awam, permohonan lesen boleh dilakukan melalui oas.st.gov.my.

4. Tempoh kelulusan permohonan baharu Lesen Persendirian berkapasiti kurang 5MW adalah 30 hari bekerja, manakala bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti 5MW dan ke atas serta Lesen Awam, tempoh kelulusan adalah 60 hari bekerja.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation | 18 March 2024

18 March 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan rancangan berkenaan dengan elektrik yang dihasilkan oleh combined cycle gas turbine power plant di Maharani Energy Gateway (MEG). Adakah ia akan digunakan sendiri (SELCO), dijual kepada TNB melalui power purchase agreement (PPA), ataupun dijual ke Single Buyer melalui New Enhanced Dispatch Arrangement. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan komited untuk memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi (security), secara lestari (sustainable) dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna (affordable). Oleh yang demikian, Kerajaan telah merangka pelbagai perancangan ke arah mencapai sasaran ini.

2. Di peringkat Kementerian, Jawatankuasa Perancangan, Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) telah ditubuhkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac 2007. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Menteri yang bertanggungjawab dalam pembekalan elektrik negara dan dilaksanakan sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh setahun.

3. JPPPET berperanan menentukan perancangan pembekalan tenaga elektrik serta hala tuju industri bekalan elektrik negara, yang merangkumi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

4. Berhubung cadangan projek combined cycle gas turbine power plant di Maharani Energy Gateway (MEG) ini, pihak Kementerian dan Suruhanjaya Tenaga tidak mempunyai sebarang maklumat yang sahih selain daripada apa yang dipaparkan di dalam akhbar tempatan. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk PETRA memberi sebarang ulasan berkaitan cadangan tersebut. Dalam hal ini, PETRA ingin mengingatkan mana-mana syarikat yang ingin terlibat dalam sektor tenaga mestilah melalui proses dan prosedur yang ditetapkan sejajar dengan peraturan semasa yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. 

5. Sebarang perancangan pembinaan projek loji janakuasa hendaklah selari dengan kapasiti penjanaan yang diperlukan di dalam negara. Pertambahan kapasiti penjanaan bekalan elektrik yang tidak mengikut Pelan Pembangunan Penjanaan yang telah diluluskan akan menyebabkan kadar rizab margin meningkat kepada kadar yang lebih tinggi dan ia akan memberi kesan kepada kos keseluruhan pembekalan elektrik, seterusnya kos ini akan dilepaskan di dalam tarif elektrik kepada pengguna.

6. Selain itu, kaedah perolehan bagi kapasiti penjanaan baharu melalui proses bidaan terbuka adalah merupakan langkah terbaik bagi memperolehi tawaran tarif yang lebih kompetitif, pemilihan syarikat yang berpengalaman, lokasi loji yang strategik dan penggunaan teknologi yang lebih efisien.

7. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan pada 3 Mei 2023 telah bersetuju supaya kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) ditingkatkan kepada kira-kira 70% menjelang tahun 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara, selain menarik minat syarikat-syarikat multinasional, khususnya syarikat-syarikat RE100 untuk beroperasi di negara ini. Oleh itu, fokus Kerajaan pada masa ini adalah untuk mempertingkatkan sumber penjanaan tenaga elektrik daripada sumber TBB yang lebih mesra alam dan lestari.

Sekian, terima kasih. 

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation | 15 July 2024

15 July 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)



SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan langkah-langkah penambaikan polisi tenaga boleh baharu (TBB) :

(a) apakah status penyediaan draf rang undang-undang third party access (TPA) bekalan elektrik; dan

(b) adakah Kementerian ada rancangan untuk menambah baik polisi untuk sell-consumption (SELCO) dan solar-atas-bumbung (kelulusan secara berpukal) untuk projek perumahan baru.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sedang dalam usaha untuk menyediakan kerangka pelaksanaan akses pihak ketiga atau third party access (TPA) untuk bekalan elektrik hijau, yang akan membolehkan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau mendapatkannya secara terus daripada pemaju/penjana elektrik TBB dengan menggunakan sistem rangkaian pembekalan elektrik syarikat utiliti. Kerajaan akan mengenakan caj rangkaian yang ditetapkan setimpal dengan kos sebenar untuk pengoperasian dan kawal selia TPA. Kerangka pelaksanaan ini dijangka diumumkan pada Julai dan mula dilaksanakan pada September 2024.

2. Mengenai sama ada Kementerian bercadang untuk menambah baik dasar program self-consumption (SelCo) dan pelaksanaan solar atas bumbung bagi membolehkan kelulusan secara berpukal untuk projek perumahan baru, perkara ini sedang dilakukan bersekali dengan proses menambah baik dasar, kerangka pelaksanaan dan kawal selia semua inisiatif TBB yang dilaksanakan Kementerian ini. Penambahbaikan secara berterusan ini penting bagi memastikan keberkesanan dan daya maju program berkenaan selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan permintaan pengguna semasa.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation | 9 July 2024

9 July 2024, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan apakah perkembangan pengeksportan tenaga boleh baharu (TBB) :

(a) adakah Kementerian akan mengkaji mekanisme lain seperti third-party- access (TPA) atau tripartite contract (TPC) selain daripada Enegem untuk memudahkan eksport TBB; dan 

(b) adakah Kementerian terbuka dengan cadangan pembinaan undersea cable oleh pihak swasta selain TNB.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah menetapkan mekanisme ENEGEM sebagai kaedah untuk mengeksport TBB merentas sempadan setelah mengambil kira manfaat nilai ekonomi serta menjaga kepentingan pemain industri tenaga dan negara dalam urusniaga yang akan dilaksanakan, berbanding kaedah lain termasuk TPA dan TPC.

2. Pendirian ini berdasarkan dapatan perbandingan yang telah dilakukan Kementerian ini semasa membangunkan dasar dan rangka kerja ENEGEM, di mana penjualan tenaga menerusi kaedah ini akan memberikan manfaat yang optima kepada negara.

3. Manakala mengenai keterbukaan Kementerian dengan cadangan pembinaan undersea cable oleh pihak swasta selain TNB, Kementerian sentiasa terbuka dengan apa-apa cadangan yang berdaya maju, tidak menyebabkan kenaikan tarif pengguna yang ketara serta tidak menjejaskan keselamatan dan keterjaminan bekalan serta infrastruktur bekalan elektrik negara.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE FIRST PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan senarai peruntukan Kerajaan ke sekolah-sekolah di Parlimen Puchong dari tahun 2018 hingga 2022. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa komited dalam usaha untuk menyediakan prasarana dan kemudahan infrastruktur pendidikan kepada semua sekolah termasuk di Parlimen Puchong.

Sepanjang tahun 2018 sehingga 2022, KPM telah menyalurkan peruntukan ke sekolah di Parlimen Puchong bagi tujuan penyelenggaraan seperti berikut:


Sekian, terima kasih.



Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE THIRD PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan peratus kelulusan SPM 2022 mengikut subjek - matematik, sains, kimia, biologi, fizik, matematik tambahan serta subjek-subjek STEM lain dan bandingkan tren prestasi untuk tempoh 10 tahun. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan berdasarkan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.

Bagi peperiksaan SPM Tahun 2022, peratus kelulusan calon bagi mata pelajaran Matematik adalah sebanyak 75.7 peratus, mata pelajaran Sains sebanyak 90.0 peratus dan mata pelajaran Sains Tambahan sebanyak 97.2 peratus. Kelulusan bagi mata pelajaran Fizik menunjukkan peratus tertinggi bagi mata pelajaran STEM iaitu sebanyak 99.0 peratus, diikuti dengan mata pelajaran Biologi sebanyak 98.9 peratus, mata pelajaran Kimia sebanyak 96.6 peratus dan mata pelajaran Matematik Tambahan sebanyak 73.8 peratus.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, trend prestasi mata pelajaran STEM yang dilaporkan oleh KPM adalah berdasarkan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Jadual 1 menunjukkan prestasi pencapaian mata pelajaran STEM bagi tahun 2018 hingga 2020. 



Manakala mulai tahun 2021, peperiksaan SPM dilaksanakan menggunakan format pentaksiran baharu selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah. Analisis pencapaian mata pelajaran STEM bagi tahun 2021 dan 2022 adalah seperti di Jadual 2.

 

Sekian, terima kasih.








Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi masalah kesesakan sekolah di kawasan Parlimen Puchong (jumlah sekolah setiap 1,000 kanak-kanak di Puchong adalah terendah berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen yang lain di Malaysia).


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kesesakan murid di kawasan yang mempunyai kependudukan yang tinggi termasuk di sekitar kawasan Puchong adalah dalam perhatian KPM.

Dalam hal ini, KPM telah mengambil langkah yang proaktif untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah tersebut. Perkara ini penting bagi memastikan murid-murid boleh belajar dengan selesa, kondusif dan dapat memberi fokus kepada pembelajaran dengan baik.

Antara langkah dan usaha yang diambil oleh pihak KPM bagi mengatasi masalah tersebut adalah melalui penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak, atau pembinaan sekolah baharu.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, khusus di kawasan Puchong, KPM telah diluluskan pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Seksyen 5 Bandar Kinrara, Selangor dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 2 Tahun 2022. Status projek adalah di peringkat prabina.

Selain itu, KPM juga telah mengemukakan permohonan pembinaan sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Intan, Selangor untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 Tahun 2024. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan. 

KPM meyakini bahawa melalui langkah yang sedang dan akan dilaksanakan ini, isu kepadatan sekolah akan dapat dikurangkan dengan jayanya.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan anggaran kos projek bagi pembinaan sekolah baru seperti Sekolah Kebangsaan Cyberjaya (2), Sepang, Selangor, Sekolah Kebangsaan Setia Alam (2), Petaling Perdana, Selangor, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun, Dungun, Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan Denai Alam, Shah Alam, Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Johan Setia, Klang, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu, Tuaran, Sabah.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan 3 (RP3) tahun 2023, KPM telah diluluskan sebanyak tujuh projek pembinaan sekolah baharu seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Puchong. Anggaran kos untuk kesemua tujuh projek tersebut adalah berjumlah RM560 juta. Skop projek bagi pembinaan sekolah baharu adalah melibatkan kerja awalan, kerja tanah, kerja infrastruktur, pembayaran fee dan caj pembangunan, kerja pembinaan struktur bangunan iaitu blok akademik, blok pentadbiran, kemudahan lain mengikut piawai serta perabot, peralatan dan perkakasan. 

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, anggaran kos semasa permohonan projek dilaksanakan melalui Public Sector Comparator oleh berdasarkan kos projek terdahulu serta pembolehubah lain yang berkaitan. Anggaran kos projek ini adalah secara kasar dan perlu dinilai serta diteliti semula oleh pelbagai pihak seperti Kementerian Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebaik sahaja projek diluluskan. Preliminary Details Abstract (PDA) akan dibangunkan oleh agensi teknikal setelah menjalankan kerja ukur serta siasatan tanah dengan mengambil kira situasi semasa di tapak. Selain itu, selaras dengan Pekeliling Unit Perancang Ekonomi Bil. 1 Tahun 2015, kos projek yang terbaik dan optimum akan ditentukan melalui pelaksanaan pengurusan nilai projek melalui Makmal Kajian Nilai oleh Kementerian Ekonomi serta Makmal Kejuruteraan Nilai oleh pihak JKR.

Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Written Question 2024 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 3, THE 15TH PARLIAMENT, 2024 (BAHASA MALAYSIA VERSION)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan senarai syarikat-syarikat yang mendapat kontrak pembersihan dan sekuriti daripada Kerajaan mengikut zon. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman, maklumat berkenaan syarikat-syarikat kontraktor bagi Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) adalah seperti berikut: 




Sekian, terima kasih.

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 7 November 2023

7 November 2023, Selasa


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sama ada Kementerian akan membawa pindaan kepada Akta Pendidikan untuk menjadi persekolahan mandatori dari tahun 6 ke tahun yang lebih tinggi umpamanya tahun 9 ataupun sehingga SPM.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan draf Rang Undang-undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) bagi cadangan pelanjutan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun persekolahan. Cadangan pelanjutan dasar ini antara lain bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi mengembangkan potensi masing masing sehingga ke peringkat menengah. Bagi memperkemaskan draf rang undang-undang yang sedang digubal, KPM mengambil pelbagai inisiatif termasuk mengadakan sesi libat urus bersama-sama pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian dan agensi kerajaan berkaitan. Draf RUU berkenaan akan dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan pada semua peringkat pembuat keputusan, termasuk dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Sekian, terima kasih.