23 May 2023, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi masalah stunting dan wasting di kalangan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa prihatin dan proaktif dalam menjalankan langkah-langkah pencegahan dan intervensi bermula daripada seawal persediaan kehamilan bagi menangani masalah bantut (stunting) dan susut (wasting) dalam kalangan kanak-kanak bawah lima (5) tahun di Malaysia. Program program yang sedang dijalankan oleh KKM adalah:
(i) Advokasi dan pendidikan kepada wanita sebagai persediaan kehamilan dan selepas bersalin;
(ii) Pengurusan wanita hamil anemia di Klinik Kesihatan;
(iii) Pemantauan peningkatan berat badan ibu antenatal di Klinik Kesihatan;
(iv) Pencegahan dan kawalan kekurangan mikronutrien melalui inisiatif fortifikasi zat besi dan asid folik dalam tepung gandum dan pengiodinan garam secara universal;
(v) Advokasi Penyusuan Susu Ibu; (vi) Advokasi Pemakanan Bayi dan Kanak-kanak; (vii) Program Pemulihan Kanak-kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM); (viii) Program Community Feeding Bersasar;
(ix) Inisiatif Hospital Rakan Bayi; (x) Inisiatif Klinik Rakan Bayi; dan
(xi) Program memerangi masalah bantut dalam kalangan kanak kanak bawah 5 tahun
2. Pihak KKM juga berkolaborasi erat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Desa dan Wilayah dalam menangani masalah bantut dan susut melalui:
(i) Cadangan dan semakan menu sihat di TASKA, TABIKA, TADIKA dan prasekolah;
(ii) Latihan Modul Penyediaan Makanan kepada pengusaha dan penyedia makanan di TASKA, TABIKA, TADIKA dan prasekolah; dan
(iii) Aktiviti Pemakanan Melibatkan Ibu Bapa seperti ceramah, demonstrasi masakan, permainan interaktif.
3. Selain itu, pihak KKM turut menjalankan kerjasama bersama pihak universiti dan badan antarabangsa seperti UNICEF dalam pelaksanaan aktiviti bagi meningkatkan status pemakanan kanak-kanak dan kesedaran ibu bapa/ penjaga berkaitan permasalahan ini.
4. Langkah-langkah ini diperkukuhkan lagi dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (whole government approach) melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-kanak yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Jawatankuasa Khas ini dianggotai oleh 16 Jemaah Menteri dan Pengurusan Tertinggi pelbagai Kementerian serta Jabatan dan agensi yang berkaitan bagi memperkukuh kolaborasi yang berkesan di setiap peringkat. Kolaborasi ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan Kanak-kanak Malaysia, 2023 – 2030 dengan memfokuskan 5 Strategi Utama dengan 31 inisiatif iaitu;
Strategi 1 : Pengukuhan tadbir urus kesejahteraan pemakanan melalui perundangan, komitmen politik dan pemegang taruh;
Strategi 2 : Peningkatan kualiti dan akses perkhidmatan pemakanan;
Strategi 3 : Pemantapan persekitaran dan masyarakat kondusif;
Strategi 4 : Memperkasakan pembangunan kapasiti dan modal insan; dan
Strategi 5 : Sinergi advokasi pemakanan kanak-kanak.
Sekian, terima kasih.