Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Home Affairs| 14 November 2023

14 November 2023, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan mengapa rakyat di Lembah Klang perlu beratur dari awal-awal pagi sama ada di ofis Jabatan Imigresen atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) untuk mendapatkan nombor bagi tujuan pembaharuan pasport.


JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sentiasa komited dalam melaksanakan penambahbaikan perkhidmatan dan sentiasa peka terhadap keluhan orang ramai berhubung perkhidmatan permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Bagi mengatasi kesesakan di pejabat-pejabat permohonan pasport, JIM telah memperkenalkan perkhidmatan Permohonan Pasport Secara Dalam Talian (MyOnline Passport) bermula pada 13 Januari 2017.

Sebagai langkah proaktif, untuk menangani kesesakan pejabat-pejabat permohonan pasport khususnya di Lembah Klang, Jabatan ini bermula pada 1 Jun 2023 telah memperkenalkan perkhidmatan secara dalam talian (online) melalui sistem MyOnline Passport sepenuhnya di tiga (3) cawangan terpilih iaitu: 

i) Pejabat Imigresen Kajang;
ii) Pejabat Imigresen Kelana Jaya; dan
iii) Pejabat Imigresen Wangsa Maju.

Ini bermaksud, pejabat cawangan ini hanya menerima permohonan secara dalam talian bagi permohonan pembaharuan pasport seperti berikut:
i) Pemohon berumur 13 hingga 18 tahun;
ii) Pemohon berumur 18 hingga 59 tahun; dan
iii) Pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas. 

Walau bagaimanapun, ketiga-tiga pejabat ini masih menerima permohonan terus di kaunter bagi:
i) Permohonan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah;
ii) Pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas;
iii) Bakal Jemaah Haji (yang menerima tawaran Tabung Haji);
iv) Pelajar berumur 21 tahun ke bawah (yang menerima tawaran pengajian di luar negara);
v) Permohonan Orang Kurang Upaya (OKU); dan
vi) Ahli keluarga yang mengiringi pemohon kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.

Bagi menyelaras dan mempercepatkan kelulusan MyOnline Pasport, Pusat Operasi Pasport (POC) telah ditubuhkan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Putrajaya bagi pemprosesan secara berpusat. Inisiatif ini telah mula dilaksanakan sejak Disember 2022.

Selain itu, dalam usaha untuk menambah baik lagi perkhidmatan secara dalam talian, Jabatan ini akan memperkenalkan perkhidmatan MyOnline Passport untuk permohonan kali pertama dalam masa terdekat bagi:
i) Pemohon berumur 18 hingga 59 tahun; dan
ii) Pemohon Warga Emas berumur 60 tahun ke atas.

Selain dari itu, JIM juga telah membuka Pejabat Pengeluar Pasport di KLIA mulai 19 Januari 2023 dan merancang untuk membuka satu Pejabat Pengeluar Pasport baharu di Shaftsbury Putrajaya.