15 June 2023, Thursday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERTANIAN
DAN KETERJAMINAN MAKANAN menyatakan status :-
(a) Dana Obligasi Sosial berjumlah RM37 juta yang belum dikutip untuk
tahun 2021 (menurut Laporan Ketua Audit Negara 2021); dan
(b) Penubuhan akaun amanah bagi maksud pelaksanaan obligasi
sosial oleh syarikat konsesi pengurusan industri padi dan beras.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berhubung dana obligasi
sosial berjumlah RM37 juta, sebanyak RM12 juta telah diterima
manakala baki RM25 juta akan disalurkan kepada Kementerian
Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) secara berperingkat
mengikut kemajuan projek atau sepertimana yang diarahkan oleh pihak
Kerajaan yang termaktub di dalam Klausa 18, 19 dan Lampiran F
Perjanjian Konsesi Kerajaan dengan Padiberas Nasional Berhad
(BERNAS). RM12 juta dana telah diterima oleh pihak KPKM meliputi
RM2 juta dana stok penimbal benih padi negara dan RM10 juta dana
bencana tanaman padi. Manakala RM25 juta dana yang belum diterima
adalah RM5 juta dana pembangunan sistem maklumat padi dan beras
dan RM20 juta dana pembangunan nutrien tanah yang mana pihak
BERNAS boleh membayar secara berperingkat mengikut kemajuan
projek atau sepertimana yang diarahkan oleh pihak Kerajaan
berdasarkan Klausa 18, 19 dan Lampiran F Perjanjian Konsesi
Kerajaan dengan BERNAS.
Pembayaran pada setiap tahun juga akan dipantau secara rapi
melalui Jawatankuasa Pemantauan Konsesi BERNAS dan
Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua
Setiausaha KPKM.
b) Penubuhan akaun amanah telah pun dilaksanakan dengan
kelulusan oleh Kementerian Kewangan pada 1 Jun 2023.
Sekian, terima kasih.