SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapa jumlah yang dibayar oleh Kerajaan kepada Putrajaya Holdings untuk sewaan bangunan-bangunan Kerajaan di Putrajaya setiap tahun. Beri perincian mengikut Kementerian.
JAWAPAN
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Yang Berhormat, Putrajaya Holdings Sdn Bhd (“PjH”) dan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Government Buildings Concession Agreement (“GBCA”) bagi pembangunan dan sewaan bangunan Kerajaan di Putrajaya yang tertakluk kepada terma dan syarat terkandung di dalam GBCA.
2. Secara ringkasnya, kadar sewaan yang dikenakan kepada pihak kerajaan adalah mengikut kaedah Bina, Sewa dan Pindahmilik (Build, Lease & Transfer) di mana kadar sewaan adalah ditentukan dengan mengambil kira tempoh pembayaran kos pembangunan yang dibayar selama 25 tahun daripada tarikh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance).
3. Dalam hal ini, pengemukaan perincian kadar sewaan setiap bangunan kerajaan adalah tertakluk kepada syarat kerahsiaan non disclosure yang termaktub di dalam GBCA.
4. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya maklumat terperinci pembayaran sewaan seperti yang dipohon dimajukan secara terus kepada Kementerian Kewangan, selaku pihak pembayar dan bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Sekian, terima kasih.