Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Natural Resources, Environment and Climate Change | 14 March 2023

14 March 2023, Tuesday


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan langkah langkah Kementerian bagi mengurus e-waste domestik yang semakin meningkat dan apakah status terkini peraturan e-waste. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, buangan elektrik dan elektronik atau dikenali sebagai sisa elektronik (electronic waste - e-waste) adalah merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi, lama atau usang. E-waste adalah merupakan salah satu buangan yang semakin hari semakin meningkat kerana penggunaannya adalah sangat meluas ketika ini.

2. Buangan e-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual kerana ianya mengandungi komponen berbahaya seperti merkuri, kadmium, kromium dan lain-lain bahan berbahaya. Sehubungan itu, pengurusan e waste perlu dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

3. Sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pengurusan e-waste, Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan pelbagai program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (communication, education, and public awareness - CEPA) khususnya berkaitan pengurusan e-waste. 

4. Program komunikasi CEPA ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai mengenai pengurusan e-waste secara environmentally sound management (ESM). Selain daripada itu, program CEPA juga diharap dapat memberi pendedahan dan perkongsian mengenai pengurusan e-waste yang sedang dibangunkan oleh JAS termasuk memperkenalkan konsep shared responsibility dan extended producer responsibility (EPR). 

5. Untuk makluman, usaha-usaha kesedaran pengurusan e-waste yang dijalankan oleh JAS pada tahun 2021 telah menunjukkan peningkatan kesedaran dikalangan orang awam. Salah satu indikator kepada keberkesanan kempen kesedaran oleh JAS adalah terdapatnya peningkatan kutipan e-waste pada tahun 2021 kepada 2,650 MT (metric tan) dan jumlah ini adalah melebihi daripada sasaran asal yang ditetapkan iaitu sebanyak 800 MT.

6. Selain daripada tu, penglibatan di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak korporat dan swasta di dalam program dan kempen e-waste juga telah menunjukkan peningkatan. Kementerian mengucapkan ribuan terima kasih atas penglibatan semua pihak akan kesedaran pengurusan e-waste yang lestari.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Berhubungan cadangan peraturan sisa elektronik isi rumah (household e-waste), Kementerian melalui JAS telah mengadakan sisa libat urus terutamanya dengan pihak Jabatan Peguam Negara dan lain lain agensi yang berkaitan. Secara kesimpulannya, cadangan suatu peraturan berkaitan e-waste ini masih memerlukan penelitian lanjut dan sesi libat urus bersama pemegang taruh untuk dimuktamadkan.

Sekian, terima kasih.