Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2023 to the Minister of Education | 21 March 2023

21 March 2023, Tuesday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan sama ada Kementerian ada rancangan untuk mengubah kembali tarikh pembukaan sekolah dari Mac ke Januari.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari bahawa sesi persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan akibat penularan COVID-19. Oleh yang demikian, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi persekolahan tahun 2021 sehingga bulan Februari tahun 2022.

KPM telah menetapkan sesi persekolahan bagi kalendar akademik sesi 2022/2023 bermula pada bulan Mac 2022. Pelanjutan sesi ini membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan kesediaan murid untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya.

KPM akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini. Walau bagaimanapun, perkara berkenaan masih belum boleh dilaksanakan tahun hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan kepada pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada bulan Mac 2023 untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.

KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sekian, terima kasih.