Wednesday, November 13, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Natural Resources and Environmental Sustainability | 6 November 2024

  6 November 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan Malaysia telah menandatangani Global Methane Pledge pada tahun 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas metana sebanyak 30% menjelang 2030:

a) apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian sejak 2021; dan

b) adakah rancangan untuk mewujudkan halatuju/pelan kebangsaan penurunan pelepasan gas metana.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua, 

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan laporan Malaysia’s Fourth Biennial Update Report (BUR-4) pada tahun 2022, pelepasan gas metana pada tahun 2019 di Malaysia adalah sebanyak 740, 000 tan karbon dioksida setara (tonne CO2 equivalent).

2. Antara punca utama pelepasan gas metana adalah dari sektor tenaga iaitu aktiviti pembakaran bahan api fosil termasuk pelepasan fugitif dari sektor minyak dan gas, sektor sisa iaitu dari sisa buangan industri, dan sektor pertanian daripada aktiviti penanaman padi. Memandangkan gas metana mempunyai potensi pemanasan global (global warming potential – GWP) 25 kali ganda lebih tinggi dari pelepasan karbon dioksida, kerajaan telah melaksanakan pelbagai tindakan mitigasi pelepasan gas metana. Antara tindakan mitigasi pelepasan gas metana yang dilaksanakan adalah pengurangan “venting and flaring” gas metana daripada aktiviti pemprosesan minyak dan gas, pemerangkapan metana dari efluen pembuangan loji minyak kelapa sawit, dan program pensijilan pertanian organik.

3. Selain itu juga, Malaysia juga menyertai perikatan Global Methane Pledge pada tahun 2021 bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam menangani pelepasan gas metana. Di bawah perikatan ini, pihak Kesatuan Eropah juga bercadang untuk meluncurkan Methane Abatement Partnership Roadmap di sela-sela persidangan UNFCCC COP-29 di Baku, Azerbaijan pada tahun ini. Pelan tersebut memberi tumpuan kepada usaha pengurangan pelepasan gas metana daripada aktiviti penghasilan bahan api fosil seperti sektor minyak dan gas.

Tuan Yang di-Pertua,

 4. Selain kerajaan, pihak swasta juga aktif terlibat di dalam inisiatif antarabangsa untuk menangani pelepasan gas metana. Sebagai contohnya, pihak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menjadi ahli kepada Oil and Gas Methane Partnership 2.0 (OGMP 2.0) di bawah United Nations Environment Programme (UNEP).

5. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan pelan hala tuju kebangsaan untuk menangani pelepasan gas metana pada masa hadapan. Bagi tujuan ini, kerajaan akan menerokai potensi untuk mendapatkan pembiayaan daripada Rancangan Malaysia dan juga sokongan teknikal serta pembangunan kapasiti daripada organisasi pelbagai hala antarabangsa seperti UNFCCC dan UNEP atau melalui kerjasama dua hala dengan negara maju di bawah perikatan Global Methane Pledge.

Sekian, terima kasih.