SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KESIHATAN
menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian untuk mengatasi
masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital awam dan swasta.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Kesihatan dari tahun ke tahun telah melaksanakan
pelbagai inisiatif untuk meningkatkan lagi bilangan Pegawai Perubatan di
Hospital kerajaan. Selain bertujuan untuk meningkatkan penyampaian
perkhidmatan kesihatan, pertambahan bilangan Pegawai Perubatan juga
dibuat bagi memenuhi sasaran satu (1) Pegawai Perubatan kepada 400
penduduk menjelang tahun 2025 selaras dengan Rancangan Malaysia
Kedua Belas (RMKe-12).
2. Kementerian Kesihatan turut mengambil kira kepentingan
perkhidmatan Jururawat bagi memperkukuh serta memantapkan tadbir
urus klinikal dan penggubalan dasar berkaitan kesihatan. Perkembangan
profesion kejururawatan perlu dinamik ekoran kehendak perkhidmatan
semasa, skop tugas yang luas dan kompleks dalam menangani
perubahan drastik yang berlaku dalam sistem kesihatan negara.
3. Peningkatan bilangan Pegawai Perubatan di sektor awam serta
swasta dapat dilihatkan berdasarkan nisbah kepada penduduk pada
tahun 2021, iaitu 1:420 berbanding 1:554 pada tahun 2017. Manakala
bagi Jururawat pula, nisbah Jururawat kepada penduduk pada tahun
2021 adalah 1:283 berbanding 1:302 pada tahun 2017.
4. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 6,985 Pakar
Perubatan, 52,666 Pegawai Perubatan dan 69,608 Jururawat sedang
berkhidmat di fasiliti kesihatan kementerian.
5. Bagi meningkatkan bilangan Pegawai Perubatan di negara ini,
kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif antaranya adalah
dengan:
(i) menyegerakan proses lantikan graduan perubatan melalui
pelantikan secara kontrak tanpa perlu melalui proses temuduga
oleh SPA;
(ii) meningkatkan slot latihan siswazah di KKM daripada 10,835
pada tahun 2013 kepada 12,228 pada tahun 2022;
(iii) menggalakkan lebih ramai Pegawai Perubatan melanjutkan
pengajian dalam program Sarjana Kepakaran;
(iv) meningkatan peluang latihan kepakaran perubatan supaya lebih
ramai doktor pakar dihasilkan melalui Program Latihan
Kepakaran Parallel Pathway (dengan izin) di Kementerian
Kesihatan;
(v) melantik semula Pegawai Perubatan Pakar yang telah tamat
kontrak untuk berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan
mengikut keperluan;
(vi) melantik semula secara kontrak Pegawai Perubatan Pakar
warganegara yang telah bersara wajib untuk berkhidmat dengan
Kementerian Kesihatan mengikut keperluan dan bidang kritikal;
(vii) mendapatkan perkhidmatan kepakaran luar untuk berkhidmat
secara sessional (dengan izin); dan
(viii) menggalakkan Pakar Perubatan warganegara Malaysia yang
berkhidmat di luar negara untuk pulang ke tanah air.
6. Bagi skim perkhidmatan Jururawat di Kementerian Kesihatan,
pengisian kekosongan jawatan tetap akan dibuat berdasarkan kepada
jumlah keluaran pelatih kejururawatan dari Institut Latihan Kementerian
Kesihatan (ILKKM) di seluruh negara.
7. Selain pengisian kekosongan jawatan tetap sedia ada, Kementerian
Kesihatan turut membuat pelantikan secara kontrak Jururawat bagi
memenuhi keperluan segera di fasiliti kesihatan kritikal. Sehingga 31
Disember 2022, seramai 2,336 Jururawat lantikan kontrak berkhidmat di
Kementerian Kesihatan.
Sekian, terima kasih.