20 March 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER
MANUSIA menyatakan pencapaian dasar kerjasama swasta-kerajaan
dalam memperkasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti
diumumkan di Belanjawan 2023 :
a) berapakah institusi dan kursus TVET yang telah melibatkan pihak
swasta. Senaraikan; dan
b) berapakah jumlah pelajar yang terlibat.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selaku Sekretariat Majlis
TVET (MTVET) giat meneroka peluang kerjasama melibatkan syarikat
berkaitan kerajaan dan swasta melalui pemeteraian Memorandum
Kerjasama (MoC) dalam usaha meningkatkan dan melibatkan lebih
banyak pihak industri dalam pelaksanaan program TVET dan seterusnya
merealisasikan transformasi program TVET negara sebagai mana yang
diberi penekanan oleh Kerajaan.
2. MoC berkonsepkan payung kerjasama ini menjadi penghubung
yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET awam dalam membuka
ruang kerjasama erat bersama pihak industri. Bagi tahun 2023, sebanyak
60 MoC telah berjaya dimeterai yang memanfaatkan seramai 311,405
orang pelajar yang terlibat dalam 4,162 kursus yang ditawarkan di 669
buah institusi.
3. MoC ini melibatkan kerjasama dalam pelbagai cakupan bidang
seperti teknologi automotif, teknologi minyak dan gas, teknologi
telekomuniksi yang melibatkan syarikat seperti PETRONAS Berhad,
DRB-HICOM Berhad, FGV Holdings Berhad, Bermaz Auto Berhad,
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.
4. Skop kerjasama melalui pemeterian MoC ini melibatkan komponen
utama iaitu perkongsian kepakaran industri bagi tujuan pembangunan
kurikulum dan rekabentuk penyampaian latihan, dan peningkatan
kemahiran tenaga pengajar melalui inisiatif dengan izin Train of Trainers
(ToT). Selanjutnya, kerjasama turut melibatkan perkongsian mahupun
sumbangan peralatan berteknologi terkini kepada institusi TVET bagi
memastikan berlakunya pemindahan ilmu dan kemahiran yang selari
dengan keperluan semasa industri.
Sekian, terima kasih.