29 February 2024, Thursday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PENDIDIKAN TINGGI menyatakan berapakah speech and language therapist (SLT) yang dihasilkan oleh Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta masing-masing setiap tahun:
(a) adakah ia mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat; dan
(b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan jumlah SLT yang dihasilkan setiap tahun.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman, terdapat lima (5) program pelbagai peringkat kelayakan bidang secara khususnya yang merujuk kepada speech and language therapist (SLT) yang ditawarkan oleh tiga (3) buah Universiti Awam (UA) di Malaysia. Program-program ini turut disenaraikan di dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF).
2. Universiti Awam-Universiti Awam yang menawarkan program speech and language therapist (SLT) adalah:
2.1 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
i. Bachelor of Speech Science with Honours (MQA/SWA13991),
ii. Master of Health Science (Audiology and Speech) (MQA/SWA0199), and
iii. Doctor of Philosophy (Audiology and Speech) (MQA/SWA0190).
2.2 Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan
i. Bachelor in Speech Pathology (Honours) (MQA/SWA16044).
2.3 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)
i. Bachelor of Speech – Language Pathology (Honours) (MQA/SWA4962).
3. Dalam pada itu, melalui standard program pendidikan awal kanak kanak, standard program pendidikan dan standard program sains perubatan dan kesihatan, pendedahan terhadap Speech and Language Therapist (SLT) adalah diterapkan secara bersesuaian di dalam kursus kursus yang berkaitan.
4. Berdasarkan Sistem MyMoheS yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tempoh 2020 hingga 2023, jumlah keluaran pelajar daripada pelbagai bidang pertuturan seperti Patalogi Pertuturan; Pertuturan dan Bahasa; serta Pendengaran dan Pertuturan adalah seramai 167 graduan di pelbagai peringkat pengajian.
5. Berdasarkan maklumat dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga 19 Februari tahun 2024, jumlah pegawai bidang khusus (Terapi Pertuturan-Bahasa) bawah KPM adalah seramai 15 orang. Daripada data tersebut, jumlah Speech Therapist (ST) sedia ada tidak mampu untuk menampung keperluan intervensi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang semakin meningkat di KPM.
6. Selain itu, berdasarkan kepada maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 31 Disember 2023, terdapat sebanyak 187 perjawatan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) [Speech Language Therapist (SLT)] dengan pengisian seramai 157 pegawai (84%). Jumlah ini juga adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk masa kini dengan nisbah 1:1500 (rujukan: Ontario Association of Families of Children with Communication Disorders).
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kementerian ini sentiasa cakna mengenai isu ini. Di peringkat KPT, antara langkah yang dilaksanakan untuk mengatasi kekurangan penawaran bidang Speech Language Therapist (SLT) di Malaysia adalah dengan sentiasa menyediakan ruang untuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) menambah baik kurikulum program yang ditawarkan menerusi Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA).
8. Bagi mengatasi kekurangan penawaran bidang Speech Language Therapist (SLT) di Malaysia, IPT tidak terhad membina kurikulum untuk memenuhi keperluan minimum sahaja, malahan elemen-elemen tambahan terkini boleh dimasukkan ke dalam kurikulum secara inovasi oleh institusi masing-masing.
9. MQA juga sentiasa menekankan keperluan IPT dalam mengurus dan menambahbaik program selaras dengan perkembangan semasa dunia kerjaya. Malah, IPT terus diberi galakan supaya lebih berinovasi dalam penawaran program bagi meningkatkan daya saing graduan.
Sekian, terima kasih.