Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Tourism, Arts and Culture | 24 June 2024

24 June 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA menyatakan :

(a) jumlah pelancong asing yang melawat Malaysia dan jumlah pendapatan yang dijana (international tourism receipts) pada tahun 2022, 2023 dan 2024 (setakat sekarang) dan perbandingan dengan negara negara ASEAN yang lain; dan

(b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan jumlah pelancong dan perbelanjaan setiap orang


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Malaysia telah merekodkan jumlah kemasukan pelancong asing seramai 7,560,642 (Tujuh Juta Lima Ratus Enam Puluh Ribu Enam Ratus Empat Puluh Dua) orang dari Januari hingga April 2024 iaitu peningkatan sebanyak 27.5% jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2023. Manakala sebanyak 20,141,846 (Dua Puluh Juta Satu Ratus Empat Puluh Satu Lapan Ratus Empat Puluh Enam) orang pada tahun 2023 dan 10,070,964 (Sepuluh Juta Tujuh Puluh Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Empat) orang pada tahun 2022.

2. Untuk tempoh Januari hingga April, Thailand merupakan negara ASEAN yang mencatatkan ketibaan pelancong asing tertinggi iaitu seramai 12,127,447 diikuti dengan Malaysia seramai 7,560,642, Vietnam seramai 6,199,331, Singapura seramai 5,709,110 dan Indonesia seramai 4,098,714 orang pelancong.

3. Pada suku pertama 2024 jumlah pendapatan pelancong yang dijana adalah sebanyak RM22.23 bilion iaitu peningkatan sebanyak 66% berbanding suku tahun pertama 2023. Pada tahun 2023 pendapatan pelancong adalah sebanyak RM71.31 bilion dan RM28.23 bilion pada tahun 2022.

Tuan Yang di-Pertua,

4. MOTAC melalui Tourism Malaysia memperhebatkan usaha promosi industri pelancongan negara dengan menekankan aspek melancong dengan selamat serta mengenengahkan experiential tourism bagi memberi keyakinan kepada pelancong untuk bercuti dan melancong ke Malaysia.   

5. Antara usaha yang dilaksanakan adalah:
(i) penyertaan dalam pameran-pameran pelancongan antarabangsa;

(ii) mengadakan promosi pelancongan yang merangkumi roadshow di pasaran sasaran seperti Australia, China, Eropah, India, Jepun, Korea, Negara-Negara Teluk dan Nordic;

(iii) melaksanakan promosi pelancongan melalui saluran digital seperti promosi melalui media sosial untuk terus meletakkan visibiliti Malaysia di mata pelancong dan ejen pelancongan dipasaran-pasaran sasaran;

(iv) mempromosi produk pelancongan mengikut segmentasi pelancong dan permintaan pasaran tertentu bagi memenuhi dan menepati kehendak mereka seperti pelancongan minat khas;

(v) meningkatkan kemudahsampaian melalui penambahan kekerapan penerbangan dan jumlah tempat duduk;

(vi) mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mempermudahkan kemasukan pelancong asing seperti visa on arrival (VOA), multiple entry visa, eVisa dan transit visa; dan

(vii) menarik minat pasaran pelancong Muslim ke Malaysia, sebuah pasaran yang semakin berkembang di seluruh dunia dengan menggerakkan lebih ramai lagi penggiat industri pelancongan untuk mendapatkan pengiktirafan mesra-Muslim.

Sekian, terima kasih.