17 July 2024, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)
SOALAN
YB PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERUMAHAN
DAN KERAJAAN TEMPATAN menyatakan keadaan flat kos rendah :
(a) jumlah flat kos rendah yang belum beralih dari sistem meter air pukal
ke meter individu. Nyatakan langkah-langkah Kementerian untuk
membantu proses peralihan ini; dan
(b) apakah langkah-langkah untuk memastikan penyelenggaran flat kos
rendah adalah self-sustainable pada masa depan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat,
Kerajaan MADANI berpaksikan teras kemampanan dan kesejahteraan
sosial, sentiasa ingin menitikberatkan kualiti kehidupan rakyat yang
harmoni berasaskan kepada pengurusan bangunan berstrata yang lebih
efektif dan holistik. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(KPKT) terus menelusuri dan memberi perhatian terhadap isu-isu
yang berlaku di perumahan berstrata terutamanya yang melibatkan
pengurusan harta bersama oleh Badan Pengurusan Bersama atau
Perbadanan Pengurusan (JMB/MC) dan akses universal dari segi
infrastruktur asas seperti kemudahan bekalan air buat rakyat.
Pelaksanaan migrasi meter pukal kepada meter individu telah
dikuat kuasakan pada 1 Februari 2014 dan telah diwajibkan oleh pihak
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berada di bawah
pemantauan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES),
seperti yang terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan “Kaedah
kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air Dan Pemasangan Paip)
2014”. Menerusi penguatkuasaan warta tersebut, pihak JMB/MC perlu
membuat permohonan kepada pihak syarikat air untuk proses migrasi
dilaksanakan.
Usaha migrasi meter pukal kepada meter individu membolehkan
penghuni berpeluang untuk menikmati kadar tarif air yang lebih
rendah dan juga adil dari segi kadar pembayarannya kerana ia adalah
mengikut tahap penggunaan masing-masing berbanding meter pukal bagi
perumahan berstrata.
Oleh kerana permohonan migrasi dikemukakan secara terus
kepada pihak syarikat air yang tertakluk di bawah kawal selia SPAN
(di bawah NRES), maka KPKT tidak mempunyai maklumat
keseluruhan mengenai jumlah permohonan tersebut dan jumlah flat
kos rendah yang belum beralih dari meter pukal ke meter individu.
Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli Yang Berhormat juga,
terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan penuh migrasi meter
pukal kepada meter individu iaitu:
i. kekangan sumber kewangan oleh JMB/MC berikutan isu
pembayaran caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas di
mana terdapat pemilik-pemilik unit culas atau gagal untuk membuat
pembayaran; dan
ii. tunggakan bayaran bil utiliti yang tidak dijelaskan seperti
tunggakan air, akan menyebabkan proses migrasi terjejas.
Justeru, KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap
PBT, sentiasa memberikan penekanan kepada JMB/MC terutamanya
apabila notis migrasi telah dikeluarkan oleh SPAN. KPKT juga sentiasa
bekerjasama dengan penghuni serta pengurusan bangunan dalam
melaksanakan proses migrasi meter pukal kepada meter individu
tersebut melalui program pendidikan dan pemerkasaan komuniti
strata.
Berkaitan penyelenggaran flat kos rendah agar perumahan adalah
bersifat self-sustainable, untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli
Yang Berhormat, KPKT giat berusaha meningkatkan kecekapan dan
menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat:
i. Penyaluran peruntukan kepada PBT bagi mengadakan Program
Pendidikan dan Pemerkasaan Komuniti Strata setiap tahun untuk
memberikan pendedahan dan kesedaran akan pentingnya caj
penyelenggaraan sebagai tanggungjawab bersama di pembangunan
berstrata. KPKT telah menyalurkan peruntukan sebanyak
RM76,810.00 untuk penganjuran 23 program pada tahun 2022
dan RM77,750.00 untuk 21 program pada tahun 2023. Manakala
bagi tahun 2024, sebanyak RM80,000 telah diperuntukkan bagi
penganjuran melibatkan 22 program pendidikan/pemerkasaan
komuniti strata;
ii. Meningkatkan kemampuan sumber kewangan di perumahan
berstrata melalui kutipan caj penyelenggaraan dan juga
caruman kepada kumpulan wang penjelas untuk mengurus dan
menyelenggara perumahan berstrata dengan berkesan. Dalam hal
ini, JMB/MC bertanggungjawab untuk membuat perancangan
perbelanjaan yang diperlukan bagi menguruskan harta bersama
di sesebuah skim strata dan membentangkan dalam mesyuarat
agung tahunan kepada penduduk. Berdasarkan perancangan
tersebut, JMB/MC perlu menetapkan kadar kutipan caj
penyelenggaraan yang wajar dikenakan kepada penduduk/pemilik
strata; dan
iii. JMB/MC turut bertanggungjawab meningkatkan kesedaran
terhadap tanggungjawab pemilik petak untuk membayar caj
penyelenggaraan dan juga caruman kepada kumpulan wang
penjelas selaras dengan seksyen 52 Akta Pengurusan Strata 2013
[Akta 757] yang menyatakan “setiap pemilik hendaklah membayar caj
dan caruman kumpulan wang penjelas kepada perbadanan
pengurusan bagi penyelenggaraan dan pengurusan bangunan atau
tanah yang dipecah bahagi dan harta bersama di dalam suatu
kawasan pemajuan.”
KPKT melalui Pesuruhjaya Bangunan (COB) di PBT akan sentiasa
memastikan kerjasama erat dengan JMB/MC dalam perkara ini agar
masing-masing melaksanakan peranan yang lebih proaktif dalam
memastikan pengurusan perumahan berstrata, termasuk di flat kos
rendah yang efisien.
Sekian, terima kasih.