Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Oral Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation | 18 March 2024

18 March 2024, Monday (Bahasa Malaysia Version)


SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan rancangan berkenaan dengan elektrik yang dihasilkan oleh combined cycle gas turbine power plant di Maharani Energy Gateway (MEG). Adakah ia akan digunakan sendiri (SELCO), dijual kepada TNB melalui power purchase agreement (PPA), ataupun dijual ke Single Buyer melalui New Enhanced Dispatch Arrangement. 


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kerajaan komited untuk memastikan sumber tenaga elektrik negara dapat dibekalkan dengan mencukupi (security), secara lestari (sustainable) dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna (affordable). Oleh yang demikian, Kerajaan telah merangka pelbagai perancangan ke arah mencapai sasaran ini.

2. Di peringkat Kementerian, Jawatankuasa Perancangan, Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) telah ditubuhkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Mac 2007. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Menteri yang bertanggungjawab dalam pembekalan elektrik negara dan dilaksanakan sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh setahun.

3. JPPPET berperanan menentukan perancangan pembekalan tenaga elektrik serta hala tuju industri bekalan elektrik negara, yang merangkumi Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

4. Berhubung cadangan projek combined cycle gas turbine power plant di Maharani Energy Gateway (MEG) ini, pihak Kementerian dan Suruhanjaya Tenaga tidak mempunyai sebarang maklumat yang sahih selain daripada apa yang dipaparkan di dalam akhbar tempatan. Oleh itu, adalah tidak wajar untuk PETRA memberi sebarang ulasan berkaitan cadangan tersebut. Dalam hal ini, PETRA ingin mengingatkan mana-mana syarikat yang ingin terlibat dalam sektor tenaga mestilah melalui proses dan prosedur yang ditetapkan sejajar dengan peraturan semasa yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga. 

5. Sebarang perancangan pembinaan projek loji janakuasa hendaklah selari dengan kapasiti penjanaan yang diperlukan di dalam negara. Pertambahan kapasiti penjanaan bekalan elektrik yang tidak mengikut Pelan Pembangunan Penjanaan yang telah diluluskan akan menyebabkan kadar rizab margin meningkat kepada kadar yang lebih tinggi dan ia akan memberi kesan kepada kos keseluruhan pembekalan elektrik, seterusnya kos ini akan dilepaskan di dalam tarif elektrik kepada pengguna.

6. Selain itu, kaedah perolehan bagi kapasiti penjanaan baharu melalui proses bidaan terbuka adalah merupakan langkah terbaik bagi memperolehi tawaran tarif yang lebih kompetitif, pemilihan syarikat yang berpengalaman, lokasi loji yang strategik dan penggunaan teknologi yang lebih efisien.

7. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan pada 3 Mei 2023 telah bersetuju supaya kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) ditingkatkan kepada kira-kira 70% menjelang tahun 2050 bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara, selain menarik minat syarikat-syarikat multinasional, khususnya syarikat-syarikat RE100 untuk beroperasi di negara ini. Oleh itu, fokus Kerajaan pada masa ini adalah untuk mempertingkatkan sumber penjanaan tenaga elektrik daripada sumber TBB yang lebih mesra alam dan lestari.

Sekian, terima kasih.