DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan anggaran kos projek bagi pembinaan sekolah baru seperti Sekolah Kebangsaan Cyberjaya (2), Sepang, Selangor, Sekolah Kebangsaan Setia Alam (2), Petaling Perdana, Selangor, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun, Dungun, Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan Denai Alam, Shah Alam, Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Johan Setia, Klang, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu, Tuaran, Sabah.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan 3 (RP3) tahun 2023, KPM telah diluluskan sebanyak tujuh projek pembinaan sekolah baharu seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat Puchong. Anggaran kos untuk kesemua tujuh projek tersebut adalah berjumlah RM560 juta. Skop projek bagi pembinaan sekolah baharu adalah melibatkan kerja awalan, kerja tanah, kerja infrastruktur, pembayaran fee dan caj pembangunan, kerja pembinaan struktur bangunan iaitu blok akademik, blok pentadbiran, kemudahan lain mengikut piawai serta perabot, peralatan dan perkakasan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, anggaran kos semasa permohonan projek dilaksanakan melalui Public Sector Comparator oleh berdasarkan kos projek terdahulu serta pembolehubah lain yang berkaitan. Anggaran kos projek ini adalah secara kasar dan perlu dinilai serta diteliti semula oleh pelbagai pihak seperti Kementerian Ekonomi dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebaik sahaja projek diluluskan. Preliminary Details Abstract (PDA) akan dibangunkan oleh agensi teknikal setelah menjalankan kerja ukur serta siasatan tanah dengan mengambil kira situasi semasa di tapak. Selain itu, selaras dengan Pekeliling Unit Perancang Ekonomi Bil. 1 Tahun 2015, kos projek yang terbaik dan optimum akan ditentukan melalui pelaksanaan pengurusan nilai projek melalui Makmal Kajian Nilai oleh Kementerian Ekonomi serta Makmal Kejuruteraan Nilai oleh pihak JKR.
Sekian, terima kasih.