Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Rural and Regional Development

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE THIRD PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH menyatakan berapa jumlah murid dalam waiting list Tabika KEMAS mengikut negeri. Apakah rancangan Kementerian untuk meningkatkan aksesibiliti pendidikan awal kepada lebih ramai kanak-kanak di desa dan pinggiran bandar. 


JAWAPAN

Untuk makluman Yang Berhormat,

Saban tahun TABIKA KEMAS menerima permohonan pendaftaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat pinggir bandar mahupun luar bandar. Pada tahun 2023, TABIKA KEMAS seluruh Malaysia menerima sebanyak 212,581 permohonan pendaftaran kanak-kanak. Terdapat lebih 3,787 orang kanak-kanak dalam senarai menunggu disebabkan kapasiti kelas yang padat. Jumlah terkini keseluruhan kanak-kanak TABIKA dan TASKA pada tahun 2023 adalah seramai 227,946 orang. Data menunjukkan permintaan permohonan di bandar sangat tinggi dan Jabatan tidak mampu menampung permintaan semasa.

Sehingga kini KEMAS mempunyai sebanyak 10,707 buah kelas TABIKA dan 563 buah kelas TASKA yang dikendalikan oleh seramai 11,999 orang Pendidik Masyarakat dan telah memberikan akses pendidikan awal kepada seramai 227,946 orang kanak-kanak seawal usia 2 hingga 6 tahun.

KEMAS sentiasa berusaha untuk menambahkan lagi akses pendidikan awal ke kawasan berkeperluan dan bersesuaian. Walaubagaimanapun, bina baharu pusat pendidikan awal kanak kanak adalah tertakluk kepada tapak tanah milik Pesuruhjaya Persekutuan.

Selaras dengan itu, melalui Rolling Plan-4, KEMAS telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Ekonomi untuk cadangan pembinaan sebanyak 15 buah projek pembinaan baharu melibatkan kos sebanyak RM49.3 juta yang akan memberikan akses pendidikan awal berkualiti serta manfaat kepada seramai 375 orang kanak-kanak.

Sekian, terima kasih.