Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Written Question 2023 to the Minister of Education

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengatasi masalah kesesakan sekolah di kawasan Parlimen Puchong (jumlah sekolah setiap 1,000 kanak-kanak di Puchong adalah terendah berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen yang lain di Malaysia).


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha secara berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kesesakan murid di kawasan yang mempunyai kependudukan yang tinggi termasuk di sekitar kawasan Puchong adalah dalam perhatian KPM.

Dalam hal ini, KPM telah mengambil langkah yang proaktif untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah tersebut. Perkara ini penting bagi memastikan murid-murid boleh belajar dengan selesa, kondusif dan dapat memberi fokus kepada pembelajaran dengan baik.

Antara langkah dan usaha yang diambil oleh pihak KPM bagi mengatasi masalah tersebut adalah melalui penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak, atau pembinaan sekolah baharu.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, khusus di kawasan Puchong, KPM telah diluluskan pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Seksyen 5 Bandar Kinrara, Selangor dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan 2 Tahun 2022. Status projek adalah di peringkat prabina.

Selain itu, KPM juga telah mengemukakan permohonan pembinaan sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Intan, Selangor untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 Tahun 2024. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan. 

KPM meyakini bahawa melalui langkah yang sedang dan akan dilaksanakan ini, isu kepadatan sekolah akan dapat dikurangkan dengan jayanya.

Sekian, terima kasih.