Monday, November 4, 2024

Dewan Rakyat Written Question 2024 to the Minister of Energy Transition and Water Transformation

DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 3, THE 15TH PARLIAMENT, 2024 (BAHASA MALAYSIA VERSION)


SOALAN

Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan senarai syarikat yang mendapat kelulusan dalam kategori solar self-consumption (SELCO) dan kapasiti masing-masing. Adakah setiap syarikat yang memenuhi kriteria-kriteria tertentu boleh mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga. Nyatakan proses dan berapa panjang tempoh permohonan.


JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga bulan Disember 2023, Suruhanjaya Tenaga (ST) telah meluluskan seramai 296 pemegang lesen bagi kategori solar self-consumption (SELCO) dengan kapasiti keseluruhan berjumlah 380MW.

2. Secara umumnya, terdapat dua (2) jenis lesen yang dikeluarkan oleh ST iaitu Lesen Persendirian dan Lesen Awam bagi kategori solar self consumption (SELCO) ini di mana kedua-dua jenis lesen ini akan dikelaskan berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Setiap permohonan yang diterima akan disemak berdasarkan kriteria dan dokumen yang telah ditetapkan oleh ST serta garis panduan sedia ada iaitu Guidelines On The Connection Of Solar Photovoltaic Installation for Self-Consumption (Versi 2 bertarikh 15 Julai 2023).

3. Bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti kurang 5MW, permohonan lesen boleh dilakukan secara atas talian melalui ecos.st.gov.my. Manakala bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti 5MW dan ke atas serta Lesen Awam, permohonan lesen boleh dilakukan melalui oas.st.gov.my.

4. Tempoh kelulusan permohonan baharu Lesen Persendirian berkapasiti kurang 5MW adalah 30 hari bekerja, manakala bagi permohonan Lesen Persendirian berkapasiti 5MW dan ke atas serta Lesen Awam, tempoh kelulusan adalah 60 hari bekerja.

Sekian, terima kasih.