DEWAN RAKYAT WRITTEN QUESTION AT THE SECOND PROCEEDING, TERM 2, THE 15TH PARLIAMENT, 2023 (BAHASA MALAYSIA VERSION)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan metodologi yang digunakan oleh Kementerian dalam menilai exclusive breastfeeding rate (EBF), apakah sasaran Kementerian dan langkah-langkah yang diambil untuk mencapai sasaran.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Metodologi yang digunakan kini oleh Kementerian dalam menilai prevalen penyusuan susu ibu secara esklusif (Exclusive Breastfeeding, EBF) adalah melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi (National Health and Morbidity Survey, NHMS) - Kesihatan Ibu dan Anak. Penilaian adalah berdasarkan saranan daripada WHO/ UNICEF (2021) dalam dokumen bertajuk “Indicators for assessing infant and young child feeding practices: Definitions and measurement methods”. Prevalen penyusuan susu ibu eksklusif bawah umur enam bulan dalam kalangan populasi Malaysia adalah 47.1% (NHMS 2016). Tinjauan seterusnya akan diadakan dalam NHMS 2024.
2. Sasaran penyusuan susu ibu secara eksklusif dari lahir hingga bayi berumur 6 bulan adalah 70% dan telah dijadikan indikator asas dalam:
i. Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia, NPANM III 2016 – 2025;
ii. Pelan Strategik Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan (BBM) Dalam Kalangan Kanak-kanak, 2023 – 2030; dan
iii. Key Performance Indicator, (KPI) Kementerian Kesihatan Malaysia.
3. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak KKM bagi mempromosi, melindungi dan menyokong amalan menyusukan anak secara eksklusif sehingga anak berumur enam bulan adalah:
i. Menyediakan persekitaran mesra bayi yang menggalakkan amalan menyusu di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta melalui pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi dan Klinik Rakan Bayi; serta di tempat awam seperti kompleks membeli belah dan stesen pengangkutan awam;
ii. Memberi latihan pengukuhan penyusuan susu ibu kepada anggota kesihatan yang menjalankan perkhidmatan ibu dan anak di fasiliti kesihatan;
iii. Menyokong insentif sosial oleh kerajaan dan swasta seperti kemudahan cuti bersalin, cuti paterniti bagi suami untuk menguruskan isteri yang bersalin, pengecualian cukai pembelian peralatan penyusuan susu ibu, kemudahan untuk ibu memerah dan menyimpan susu ibu di tempat awam, sudut penyusuan di tempat kerja, serta pelaksanaan waktu kerja anjal diberi bagi menyokong para ibu bapa supaya terus menyusukan bayi;
iv. Menggalakkan aktiviti pembimbing penyusuan susu ibu samada berkumpulan atau individu di peringkat komuniti yang boleh memberi tunjuk ajar, bimbingan dan sokongan berkaitan penyusuan susu ibu; dan
v. Menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai Kementerian/Jabatan dan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan bagi aktiviti-aktiviti advokasi penyusuan susu ibu, melalui semua platform konvensional dan sosial media.
Sekian, terima kasih.