Wednesday, February 19, 2025

Dewan Rakyat Oral Question 2025 to the Minister of Health | 19 February 2025

 19 February 2025, Wednesday (Bahasa Malaysia Version)

SOALAN

YB PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan :

(a) berapa jumlah pegawai perubatan psikiatri dan psikologi di hospital Kerajaan berbanding permintaan. Apakah purata tempoh menunggu untuk mendapat perkhidmatan pakar

(b) langkah yang diambil oleh Kementerian untuk memastikan kesihatan mental juga dilindungi dalam pakej insurans kesihatan.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Bagi tahun ini, KKM mempunyai sebanyak 387 orang pakar psikiatri yang berkhidmat di 70 buah hospital KKM di seluruh negara. Jumlah pegawai perubatan yang berkhidmat di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di hospital KKM di seluruh negara adalah sebanyak 748 orang.

2. Manakala Jumlah Pegawai Psikologi yang berkhidmat di fasiliti KKM adalah seramai 437 orang yang merangkumi:

    a. Pegawai Psikologi (klinikal) seramai 63 orang; dan

    b. Pegawai Psikologi (Kaunseling/Umum) seramai 374 orang (lantikan tetap: 174 orang, lantikan kontrak: 200 orang).

2. Purata tempoh menunggu pesakit untuk dilihat di klinik pakar psikiatri hospital kerajaan adalah di dalam lingkungan 60-90 minit. 97% daripada pesakit baru telah dilihat oleh pakar psikiatri dalam tempoh masa sekurang-kurangnya 30 hari.

Tuan Yang di-Pertua,

3. Selari dengan agenda reformasi kesihatan, pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan swasta dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan mental iaitu bersama pihak industri insurans telah dilaksanakan. Melalui libat urus oleh KKM bersama Bank Negara Malaysia berkenaan polisi perlindungan insurans, pihak Bank Negara Malaysia menyatakan polisi sedia ada berkaitan perlindungan insurans adalah tidak bersifat mandatori dan faedah perlindungan adalah mengikut polisi yang ditetapkan oleh pihak industri.

4. Pada masa kini, 45 produk polisi perlindungan insurans kesihatan mental ditawarkan melalui 21 syarikat insurans dan takaful. Antaranya termasuk AIA Bhd., Prudential Assurance Malaysia Berhad, Great Eastern Life Assurance, Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, AmMetLife Insurance Berhad dan lainlain.

5. Majoriti perlindungan yang ditawarkan dalam pakej insurans kesihatan adalah untuk rawatan pesakit dalam. Manakala kebanyakan rawatan kesihatan mental adalah secara pesakit luar yang boleh diakses mengikut keperluan pesakit. Buat masa kini, masih tiada cadangan untuk mewajibkan rawatan kesihatan mental dalam pakej insurans kesihatan bagi pesakit dalam. Walau bagaimanapun, seseorang boleh memilih untuk mendapatkan pakej insurans kesihatan yang mengandungi perlindungan untuk rawatan kesihatan mental dengan bayaran premium tertentu.

6. Namun begitu, KKM berpendirian masih terdapat ruang untuk penambahbaikan bagi polisi perlindungan insurans kesihatan mental di mana masih ada diskriminasi kepada pesakit mental untuk mendapatkan perlindungan insurans serta faedah perlindungan yang ditawarkan mengambil kira perkhidmatan perlindungan yang ditawarkan oleh pihak industri adalah berbezabeza mengikut polisi pakej dan skim insurans yang ditawarkan.

Sekian, terima kasih.