3 MAC 2025 (ISNIN), Bahasa Malaysia Version
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan rancangan Kementerian bagi mengawal inflasi kos kesihatan swasta di Malaysia (lebih daripada 10%) supaya setaraf dengan atau kurang daripada purata inflasi global (kira-kira 5%) setiap tahun.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Dalam usaha menangani inflasi kos perubatan, Kementerian Kesihatan sedang menjalankan pendekatan berikut:
i. Memperluaskan mekanisme pembelian strategik perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti secara bundled, dengan izin, bagi mendapat harga yang berpatutan dengan penawaran jumlah pesakit yang lebih untuk membolehkan penurunan harga.
ii. Menggalakkan ketelusan harga (dengan izin, price transparency) dalam sektor penjagaan kesihatan swasta. Ini akan membolehkan rakyat membuat perbandingan dan membuat keputusan yang lebih tepat mengenai perkhidmatan kesihatan yang mereka perlukan.
iii. Memperkenalkan pilihan penjagaan kesihatan premium melalui Rakan KKM yang juga akan berperanan sebagai satu penanda aras kompetitif (dengan izin, competitive benchmarking) kepada perkhidmatan kesihatan swasta.
iv. Memperkenalkan kaedah pembayaran berasaskan kumpulan diagnosis (dengan izin, diagnosis related group) atau DRG untuk mendapatkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (dengan izin, value-based healthcare). Kementerian pada masa ini sedang membangunkan kerangka dan mekanisme untuk pelaksanaan pembayaran melalui kaedah DRG ini.
Sekian, terima kasih.