Monday, March 3, 2025

Dewan Rakyat Oral Question 2025 to the Minister of Health | 3 March 2025

3 MAC 2025 (ISNIN), Bahasa Malaysia Version

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan langkah yang akan diambil oleh Kementerian untuk memastikan bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta adalah sama di antara pemegang insurans dan bukan pemegang insurans. Begitu juga antara pembayaran menggunakan surat jaminan dan pembayaran pay-and-claim.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan Peraturan-Peraturannya sejak 1 Mei 2006 yang turut mengawal fi yang dikenakan oleh kemudahan jagaan kesihatan swasta melalui Jadual Fi (Jadual Ketujuh dan Ketiga Belas). Jadual Fi ini mengawal selia fi profesional (perundingan dan prosedur) dengan memperuntukkan harga siling atau had maksimum yang boleh dikenakan oleh pengamal perubatan di hospital atau klinik swasta.

2. Kos rawatan di fasiliti kesihatan swasta merangkumi fi profesional pengamal perubatan dan fi fasiliti kesihatan swasta. Fi fasiliti yang antara lainnya terdiri daripada caj perkhidmatan kejururawatan, caj peralatan perubatan, caj alat pakai buang (jarum, picagari, gauze dan lain lain) dan caj ujian makmal tidak dikawal selia oleh KKM.

Tuan Yang di-Pertua,

3. Bagi memastikan bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta adalah sama di antara pemegang insurans dan bukan pemegang insurans, KKM telah mengambil langkah-langkah berikut:

    a. Memastikan hospital mengadakan prosedur ketidakpuasan hati (grievance procedure) ke atas semua aduan;

    b. Memastikan hospital swasta serta pengamal perubatan dan pergigian swasta mematuhi fi profesional seperti yang termaktub di dalam Jadual Ketiga Belas; dan

    c. Membolehkan pesakit mendapat maklumat mengenai anggaran caj yang akan dikenakan sebelum rawatan dimulakan melalui financial counselling oleh hospital swasta.

Sekian, terima kasih.