Bahasa Malaysia Version
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan :
a. rancangan Kerajaan dalam menangani kesesakan di Jalan Besar Seri Kembangan
b. lorong pusingan U di Jalan Besar Seri Kembangan telahpun ditutup tanpa dinaik taraf. Apakah sebab dan rancangan.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
(a) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jalan yang dimaksudkan ialah FT3215 Jalan Masuk Kawasan Perindustrian Seri Kembangan. Kementerian ini mengambil maklum masalah kesesakan di FT3215 Jalan Masuk Kawasan Perindustrian Seri Kembangan yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat. Kementerian ini mengesyorkan cadangan projek bagi menaik taraf FT3215 Jalan Masuk Kawasan Perindustrian Seri Kembangan tersebut dikemukakan kepada pihak Kerajaan Negeri melalui penyelarasan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan JKR Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan Negeri dalam Rolling Plan (RP) yang akan datang. Kementerian ini akan meneliti cadangan projek apabila dimohon oleh Kerajaan Negeri berdasarkan senarai keutamaan Negeri pada masa yang akan datang dan akan diberi pertimbangan yang sewajarnya untuk diangkat kepada Agensi Pusat jika memenuhi keperluan teknikal untuk dilaksanakan, tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan kepada Kementerian ini.
(b) Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian ini telah dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling bahawa pihak JKR Selangor telah memohon peruntukan untuk kelulusan bagi kerja-kerja pemasangan New Jersey Barrier bagi penutupan kekal U-turn serta kerja-kerja berkaitan yang lain. New Jersey Barrier adalah penghadang konkrit yang digunakan untuk mengawal lalu lintas dan meningkatkan keselamatan jalan raya dengan mengurangkan risiko kemalangan. JKR Petaling juga memaklumkan bahawa berdasarkan laporan Traffic Impact Assessment (TIA), penutupan U-turn di jalan tersebut akan memperbaiki aliran trafik di jalan tersebut, menjadikannya lebih lancar berbanding penggunaan Uturn sebelum ini. Laporan TIA ini adalah alat penting yang digunakan untuk menilai kesan lalu lintas yang dihasilkan oleh pembangunan tapak yang dicadangkan terhadap sistem jalan raya dan pengangkutan sekeliling. Ia juga mengenal pasti keperluan untuk langkah-langkah mitigasi bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan jalan raya. Selain itu, JKR Petaling telah menjalankan kajian terperinci mengenai kesan penutupan U-turn ini terhadap aliran trafik dan mendapati bahawa langkah ini akan mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan kecekapan lalu lintas di kawasan tersebut. Kajian ini juga mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada penduduk setempat serta pengguna jalan raya untuk memastikan keputusan yang diambil adalah yang terbaik untuk semua pihak.
Sekian, terima kasih.