Bahasa Malaysia Version
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan :
a. status penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)
b. mengapa MAHB menerima tawaran RM11 per syer apabila penasihat Hong Leong Investment Bank berpendapat bahawa tawaran ini adalah 'unfair' dan kelima-lima pengarah bebas berpendapat 'unfair' dan 'unreasonable'
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada 12 Februari 2025, Konsortium Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA) yang diterajui oleh UEM Group Berhad (UEM) (anak syarikat Khazanah Nasional Berhad) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ia telah berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 98.68% daripada para pemegang saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di bawah tawaran pengamblialihan tersebut, sekaligus memenuhi syarat penerimaan tawaran dan menjadikan tawaran tersebut tidak lagi bersyarat atau ‘unconditional’.
2. Oleh kerana GDA telah pun memiliki lebih daripada 90% saham MAHB dan tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian MAHB di Pasaran Utama, urus niaga dagangan saham MAHB telah dihentikan pada 20 Februari 2025, iaitu lima (5) hari dagangan setelah tarikh akhir penerimaan tawaran pada 12 Februari 2025.MAHB telah memulakan langkah dan prosedur yang diperlukan bagi dinyahsenaraikan daripada Pasaran Utama.
3. Hong Leong Investment Bank selaku penasihat kewangan bebas beranggapan bahawa harga tawaran RM11 bagi setiap saham adalah munasabah, dan menyarankan kesemua pemegang saham MAHB menerima tawaran berkenaan.
4. Saranan yang dibuat oleh lima (5) pengarah bebas MAHB supaya pemegang saham MAHB menolak tawaran berkenaan adalah bersandarkan kepada justifikasi bahawa MAHB memiliki prospek pertumbuhan yang lebih baik. Walau bagaimanapun, Konsortium GDA berpendapat bahawa prospek yang dibangkitkan oleh pengarah bebas MAHB tersebut adalah terlalu optimistik dan tidak akan dapat direalisasikan dalam keadaan sedia ada mengambil kira cabaran berlarutan yang dihadapi.
5. Pemegang saham minoriti MAHB bebas membuat sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak tawaran Konsortium, berdasarkan pertimbangan peribadi mereka dengan mengambil kira saranan dan justifikasi yang diberikan. Hakikatnya, hampir kesemua para pemegang saham MAHB telah membuat keputusan untuk menerima tawaran ini, di mana setakat 12 Februari 2025, Konsortium GDA telah berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 98.68%.
6. Usaha untuk merealisasikan prospek pertumbuhan MAHB ini memerlukan pelaburan berskala besar serta kepakaran teknikal yang tinggi. Kekangan yang ada pada MAHB ketika ini membataskan kemampuan mereka untuk melaksanakan transformasi menyeluruh, seperti yang dapat disaksikan menerusi pelaksanaan penggantian aerotren yang masih tergendala dan belum dapat disempurnakan sehingga kini.
Sekian, terima kasih.