Bahasa Malaysia Version
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN
KELESTARIAN ALAM menyatakan :
a. Status 25 stesen Photo-Ionised-Detectors (PID) yang dipasang di Pasir Gudang pada Februari 2020. Adakah ia berkesan dalam memberi amaran awal pencemaran. Nyatakan statistik
b. Status dan kadar penggunaan stesyen bergerak Gas-Chromatography-Mass- Spectrometry (GCMS) yang telah diperoleh selepas krisis Sungai Kim Kim.Nyatakan statistik.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Soalan (a)
1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah memasang sebanyak 25 buah stesen Photo-Ionised-Detectors (PID) di Pasir Gudang pada tahun 2019. Berdasarkan aspek spesifikasi, peralatan dan sistem yang dibekalkan, pemasangan PID ini dapat memberi amaran awal sepertimana objektif pemasangan stesen yang telah ditetapkan pada peringkat awal perolehan.
2. Memandangkan usia peralatan telah lebih 3 tahun, keperluan untuk penggantian komponen peralatan perlu dilaksanakan berdasarkan pengauditan stesen yang dijalankan pada tahun 2024 bagi 25 buah stesen Photo-Ionised Detectors (PID) yang dipasang di Pasir Gudang. Stesen-stesen tersebut perlu menjalani penyelenggaraan kerana banyak peralatan seperti sensor, sampling tube dan antenna modem perlu ditukar. Kementerian telah mendapat kelulusan sebahagian peruntukan bagi penyelenggaraan peralatan tersebut pada tahun 2025 dan kerja-kerja perolehan bagi penyelenggaraan 10 stesen PID sedang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Soalan (b)
3. Bagi stesen bergerak Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS), Kementerian telah menggunakan peralatan ini dalam menganalisis Total Volatile Organic Compounds, (TVOC) di persekitaran atau ambien.
4. Statistik penggunaan peralatan ini adalah seperti di Lampiran.
Sekian, terima kasih.